Perancis digegarkan lagi oleh protes besar-besaran di seluruh negara. Kali ini mereka bukan berkumpul untuk membantah dasar kerajaan, tetapi bagi menunjukkan solidariti warga Perancis berikutan pembunuhan seorang guru, Samuel Paty. Menurut laporan akhbar, Samuel Paty telah dipenggal kepalanya pada hari Jumaat di luar sekolahnya di Saint-Honorine yang terletak di pinggir Paris, oleh seorang lelaki Chechen yang berusia 18 tahun yang kemudiannya telah ditembak mati oleh polis. Sebelum kejadian, seorang bapa kepada pelajar di sekolah itu dikatakan telah mengadu kepada pihak sekolah tentang perbuatan Paty. Menurut bapa berkenaan, Paty telah menunjukkan kepada para pelajar dalam kelasnya, yang membincangkan isu kebebasan bersuara, gambar kartun yang memaparkan seorang lelaki bogel yang dia dakwa sebagai “Nabi orang Islam.” Perbuatannya itu telah menimbulkan kemarahan ramai ibu bapa, dan dikatakan sebagai punca yang membawa kepada pembunuhannya.
Pembunuhan Paty sebenarnya tidaklah mengejutkan memandangkan sebelum ini pada tahun 2015, dua lelaki bersenjata telah menyerang pejabat Charlie Hebdo, sebuah majalah satira, berikutan penyiaran kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad. Dalam kejadian itu beberapa orang telah dibunuh.
Kesemua itu berlaku atas nama “kebebasan bersuara” dan “hak asasi manusia” apabila Islam sering diletakkan dalam kandang orang yang dituduh, kerana didakwa tidak menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara yang merupakan di antara perkara-perkara asasi dalam falsafah liberal. Barangkali bagi Samuel Paty, Charlie Hebdo, dan semua pendokong faham liberalisme sekular, mereka hanya menzahirkan “hak” dan “kebebasan” mereka melalui kartun yang bertujuan menghina seorang yang dianggap Nabi dan Utusan Allah oleh kira-kira seperempat penduduk dunia hari ini. Barangkali bagi mereka perbuatan mereka itu wajar dan tiada yang salah padanya kerana bagi mereka tiada pun Tuhan yang dipercayai wujud, maka sudah tentulah tiada Nabi atau Rasul yang diutuskan. Maka, sesiapa pun yang mendakwa dirinya Nabi atau Rasul, pada pandangan mereka, hanyalah pembohong semata-mata dan, oleh itu, tiada salahnya mempersendakan orang itu.
Bagi pihak kaum Muslimin sudah tentulah penghinaan ini tidak boleh diterima. Tidak semestinya apabila kita tidak mempercayai sesuatu, kita berhak menghina dan mempersendakannya. Bahkan menurut ajaran Islam sendiri, haram hukumnya menghina atau mencerca sembahan orang-orang kafir walaupun perbuatan mereka itu bertentangan dengan akidah Islam. Maka kita lihat dalam masyarakat Islam, orang-orang bukan Islam bebas mengamalkan agama dan adat resam masing-masing sebagaimana dibuktikan dengan kewujudan mereka sehingga ke hari ini walaupun setelah beratus tahun berada di bawah pemerintahan Islam. Demikianlah caranya Islam menunjukkan contoh kebebasan dan hak asasi manusia—iaitu dengan perbuatan, bukan semata-mata dakwaan.
Perancis dan negara-negara Barat, menurut Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan, tidak memiliki hak dari segi moral untuk mengajar orang lain tentang kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka seharusnya mencermin diri dengan melihat sejarah sendiri dan apa yang telah mereka lakukan kepada manusia. Semua orang tahu bahawa Perancis adalah bangsa penjajah yang rakus dan kejam dan jutaan nyawa telah terkorban hasil daripada peperangan yang mereka lancarkan ke seluruh dunia, penjajahan di Afrika, dan campurtangan yang tidak sudah-sudah hingga ke hari ini.
Bagi sesiapa yang mengkaji sejarah, penghinaan terhadap Rasulullah dan orang-orang beriman itu bukanlah perkara yang baharu atau mengejutkan. Apa yang membezakan penghinaan dahulu dengan sekarang adalah kesannya kepada masyarakat umum berikutan kecepatan tersebarnya maklumat hasil daripada kewujudan platfom media sosial. Akibatnya, apa yang pada asalnya berlaku di sebuah bilik darjah di Perancis boleh tersebar ke seluruh dunia dalam masa beberapa jam sahaja, dan kita hanya boleh bayangkan kemungkinan-kemungkinan tindak balas yang boleh berlaku. Tidak dapat dinafikan seluruh umat Islam marah dengan penghinaan itu dan tentulah tidak menghairankan kalau dalam kalangan 2 bilion umat Islam itu ada seorang dua yang sanggup bertindak sehingga ke tahap membunuh dan dibunuh. Barangkali tindakan mereka itu dianggap melampau berdasarkan kepada kayu ukur sekarang, akan tetapi ia adalah tindak balas terhadap perbuatan yang juga melampau batas. Kita tidak boleh menafikan bahawa dalam kalangan mereka yang mendokong ideologi dan cara hidup sekular itu, tidak kurang juga mereka yang berlagak melampau dan Charlie Hebdo dan Samuel Paty telah membayar akibat perbuatan mereka yang melampau itu dengan nyawa mereka. Sebenarnya tidak sukar untuk kita memahami perkara itu. Apakah yang kita boleh fahami daripada “bahasa penghinaan?” Sesiapa pun tidak boleh menerima maruah dirinya, bangsanya atau agamanya dihina dan diperlecehkan apabila ia dilakukan secara berterusan maka ia dianggap suatu provokasi yang mesti dijawab. Charlie Hebdo dan Samuel Paty telah memilih untuk mencemarkan kehormatan orang dan mereka tidak seharusnya mengharapkan orang yang penghormatannya mereka cemari itu akan membalas perbuatan mereka itu dengan penghormatan.
Bahasa yang lebih baik dalam menangani perbezaan tentulah bahasa dialog, dan asas kepada bahasa dialog adalah hormat-menghormati. Hanya yang tahu menghormati orang lain sahaja yang boleh dibawa berbincang, sedangkan yang tahu menghina hanya layak menerima penghinaan.