Penurunan al-Qur’an yang mulia pada salah satu malam Ramadan (Lailatul Qadr) menjadikan penghulu segala bulan ini lebih istimewa. Al-Qur’an yang merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w. memiliki pelbagai peranan penting dalam kehidupan manusia. Kitab yang memiliki pelbagai nama itu antaranya bertindak sebagai panduan dan bimbingan, iaitu yang membawa manusia daripada kesyirikan dan kejahilan kepada cahaya keimanan, ilmu, dan ketaatan bagi tujuan mendorong mereka melakukan kebaikan untuk urusan dunia serta akhirat. Demikian juga al-Qur’an bertindak sebagai pemberi sebesar-besar dan setinggi-tinggi nasihat, peringatan, dan pengajaran.
Al-Qur’an juga membentangkan sebaik-baik kisah sebagai renungan, panduan serta pengajaran untuk dihayati. Ini misalnya dapat dilihat dalam Surah Yusuf yang sebahagian besarnya menceritakan kegetiran ujian yang menimpa Nabi Yusuf a.s. dan kejayaan baginda menghadapinya dengan bijaksana. Al-Qur’an juga merupakan penerang dan bukti, misalnya tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. dan sifat serta kedudukan Islam sebagai agama tanzil (wahyu). Al-Qur’anlah yang menegaskan penyempurnaan agama Islam oleh Allah s.w.t. selain pengiktirafan sebagai satu-satunya agama yang diterima oleh Allah s.w.t. Bahkan al-Qur’an juga menjadi penyembuh bagi penyakit-penyakit hati, iaitu keraguan dan kesangsian serta penyakit-penyakit fizikal.
Dengan manfaat besar yang ada pada al-Qur’an malang seandainya rahsianya tidak dibongkar dan kandungannya tidak dihayati, dijadikan panduan dalam perencanaan dasar kehidupan serta dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Apatah lagi jaminan kesejahteraan kehidupan dan perlindungan daripada kesesatan bergantung padanya selain Sunnah Nabi Muhammad s.a.w., sebagaimana diingatkan Nabi s.a.w. dalam khutbah terakhir Baginda.
Amat sedih melihat kedudukan al-Qur’an dalam kehidupan umat Islam hari ini. Selain jarang-jarang dibaca, al-Qur’an juga sekadar menjadi hadiah atau perhiasan, dan jika pun dibaca hanya untuk sesebuah majlis atau pada waktu tertentu, khususnya saat-saat yang mendesak. Umum mengetahui keberkatan yang dibawa oleh al-Qur’an bukan sahaja kepada pembaca bahkan juga persekitarannya. Misalnya jika ia dibaca oleh penghuni sesebuah keluarga, maka kediaman tersebut seolah-olah memiliki roh dan jiwa dan diliputi ketenangan manakala penghuninya dikurniai keselamatan dan kebahagiaan. Dalam sebuah Hadith Baginda, Nabi s.a.w. mengingatkan umat Baginda agar tidak menjadikan rumah mereka seperti sebuah tanah perkuburan, iaitu yang sunyi daripada tilawatul Qur’an. Ia akan mengundang kehadiran syaitan, makhluk yang diingatkan Allah s.w.t. sebagai musuh utama manusia yang akan menimbulkan ketidaktenteraman dan permusuhan sesama mereka. Amalan membaca (tilawatul) Qur’an secara berterusan perlu disemarakkan kerana ia penting dalam menjamin kejayaan langkah seterusnya, iaitu penghayatan isi kandungan al-Qur’an dan penerokaan prinsip penting yang menjamin kesejahteraan kehidupan.
Salah satu prinsip penting yang digariskan al-Qur’an dalam banyak ayat ialah pemeliharaan persaudaraan antara sesama Muslim. Prinsip-prinsip penting ini seterusnya dikukuhkan pula oleh Hadith-Hadith Nabi s.a.w. Al-Qur’an misalnya menegaskan jalinan yang mengikat antara seorang Mu’min dengan yang lain. Sehubungan itu, mereka perlu berusaha memelihara jaminan yang diasaskan pada keimanan kepada Allah s.w.t. itu dengan sebaik mungkin. Maksud sebuah Hadith Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa seseorang Muslim merupakan saudara kepada Muslimnya yang lain. Justeru ia bertanggungjawab untuk tidak menzalimi saudara Muslimnya atau membiarkan ia dizalimi. Seterusnya ditegaskan bahawa jika seseorang Muslim memenuhi hajat saudaranya, maka hajatnya juga akan dipenuhi oleh Allah s.w.t. dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesulitan maka Allah akan melepaskan kesulitan dan penderitaan hari kiamat. Demikian pula seandainya seseorang Muslim menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat (Bukhari dan Muslim). Sudah menjadi resam kehidupan, hubungan yang terjalin antara sesama insan pasti ada ujiannya. Justeru, jika berlaku sesuatu perbalahan atau pertikaian antara sesama umat Islam, al-Qur’an menganjurkan supaya pihak ketiga daripada kalangan umat Islam berusaha mendamaikan mereka (Surah al-Hujurat, ayat 10).
Dalam menangani kemelut, al-Qur’an juga menganjurkan supaya umat Islam sentiasa mengutamakan sikap berlapang dada serta memaafkan (Surah al-Nur, ayat 22) selain menolak kejahatan dengan kebaikan (Surah Fussilat, ayat 34) dan ia merupakan sifat Nabi-Nabi a.s. Sifat-sifat terpuji ini misalnya dipamerkan oleh Nabi Yusuf a.s. sebagaimana dikisahkan oleh al-Qur’an ketika memaafkan perbuatan buruk sebelas orang saudaranya (Surah Yusuf, ayat 92) yang telah menyebabkan perpisahannya dengan bapanya, Nabi Ya`qub a.s., menurut sesetengah riwayat, selama kira-kira 80 tahun. Sikap yang sama jugalah yang diambil oleh Nabi s.a.w. ketika memaafkan penduduk Makkah dalam peristiwa Pembukaan Makkah pada 10 Ramadan 8 H., meskipun penduduknya telah menyakiti, memusuhi, serta memerangi Baginda dan pengikut-pengikutnya selama lebih dua puluh tahun.
Dengan menghayati semangat Ramadan yang menggesa penyucian jiwa, bersama-samalah kita bermuhasabah dan menilai sikap kita terhadap saudara-saudara Muslim yang lain. Bersungguh-sungguhkah kita dalam menunaikan segala hak mereka? Atau sebaliknya kita sentiasa sahaja menyakiti dan meluahkan kebencian terhadap mereka dengan tidak mengambil kira suasana dan lokasi? Adakah kita sentiasa bersedia untuk berunding, berlapang dada, dan memaafkan, sekiranya berlaku pertikaian antara kita dengan mereka? Atau sebaliknya kita menggunakan segala ruang dan kuasa yang dimiliki untuk membalas dendam, menyakiti, dan memudaratkan mereka dengan sehabis daya? Seandainya pula terjadi perbalahan antara sesama umat Islam, apakah sikap yang diambil oleh kita? Adakah kita melaksanakan tanggungjawab mendamaikan antara kedua-duanya atau hanya menjadi saksi yang membisu? Atau lebih buruk lagi hanya bertindak mengeruhkan lagi keadaan dengan tidak memberikan nasihat yang benar selain mengadu domba antara kedua-duanya sehingga hubungan antara kedua-duanya hancur musnah.
Harus diingat bahawa apa pun juga sikap kita, ia menjadi cerminan kepada wajah Islam pada mata orang lain. Jika mulia amalan dan sikap kita maka yang terpancar pada wajah Islam ialah keindahan dan kemuliaan. Demikianlah pula sebaliknya. Mengambil kira tirai Ramadan yang baru sahaja disingkap dan peluang memperbaiki diri terbuka luas, sama-samalah kita memohon keampunan, menjernihkan hati, dan memperbaiki hubungan antara sesama kita. Ini kerana Allah s.w.t memberikan jaminan-Nya bahawa sesiapa jua daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang menganiayai diri sendiri dengan melakukan dosa lalu segera bertaubat dengan sejujurnya, Dia pasti akan mengampunkan dosa-dosa mereka (Surah Ali `Imran, ayat 135).