Ketika ini umat Islam khususnya di negara ini sedang menyaksikan pelbagai kemelut kehidupan yang melanda saudara seagama mereka di negara lain. Kemelut yang melanda mereka ini amat ketara terutama di negara-negara bukan Islam atau di mana mereka sebagai penduduk minoriti sahaja. Mereka ini dilihat amat sukar untuk menjalankan aktiviti keagamaan secara bebas dan dengan perasaan dan jiwa yang tenteram.
Walhal mereka juga adalah warganegara tetap di negara tersebut, tetapi pemerintah mereka sendiri tidak bersedia untuk membela mereka akibat daripada perbezaan fahaman agama, tidak kira agama apa pun, lebih-lebih lagi agama Islam yang sedari dulu lagi menjadi mangsa diskriminasi, prejudis dan ketidakadilan.
Kebebasan beragama dan menjalankan aktiviti keagamaan seolah-olah disekat. Berbanding di negara ini, umat Islam dan penganut ajaran agama-agama lain bebas menjalankan aktiviti keagamaan mereka tanpa sebarang sekatan atau rasa ketakutan sebagaimana yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan negara ini. Inilah hak dan maruah yang perlu mereka pertahankan setiap masa.
Dunia menyaksikan bagaimana umat Islam ditindas dan dibunuh dengan kejam oleh musuh-musuh mereka yang pernah mengaku sebagai kawan atau pemerintah mereka. Dunia juga tidak pernah sepi melihat keadaan umat Islam yang sering didiskriminasi dan dilabel sebagai pengganas, pemberontak dan sebagainya.
Terdapat juga negara Islam yang mereka tuduh secara membabi buta sebagai tidak mengamalkan kebebasan beragama. Dan kini, dilihat pula hak dan kewajipan untuk mengamalkan ajaran keagamaan mereka dihalang oleh pemerintah mereka sendiri sebagaimana yang berlaku di beberapa negara Barat, Eropah dan Asia Tenggara kini, atas alasan mengukuhkan kewibawaan pemerintahan negara yang didukung oleh dasar sekularisme dan mengelakkan aktiviti pelampau serta keganasan. Pemerintahan negara berkenaan yang sepatutnya membela hak segenap rakyatnya dipatuhi sebaliknya berperangai seperti gunting dalam lipatan yang amat berbahaya.
Pemerintahan negara berkenaan yang menyekat ajaran dan tuntutan agama itu tidak pula dianggap sebagai menghalang kebebasan agama. Ini membayangkan bahawa perasaan prasangka buruk dan jahat serta prejudis mereka terhadap kemuliaan agama Islam dan ajarannya masih lagi menebal sehinggakan tidak sanggup untuk berkompromi lagi lantaran hilanglah nilai toleransi beragama di kalangan mereka.
Jika dilihat kini, pelbagai ancaman dan tekanan yang ditujukan kepada umat Islam tidak lagi diluahkan secara halus atau sembunyi-sembunyi, tetapi dilontar secara terang-terangan dengan penuh kebencian, tanpa ada rasa simpati, apatah lagi rasa bersalah bagi mereka.
Ancaman ini pula datangnya dari negara-negara berkuasa besar yang sepatutnya membela negara-negara kecil dan miskin yang sudah pasti majoritinya adalah negara Islam. Mungkin kini barulah akan timbul kesedaran di kalangan negara Islam bahawa tiada siapa yang boleh menjadi pembela mereka, bukan negara Eropah dan bukan juga negara Barat, melainkan mereka sendiri.
Sebagai sebuah negara kuasa besar, setiap tindakan mereka sudah pasti akan memberi kesan mendalam kepada masyarakat antarabangsa. Dan tidak mustahil juga tindakan mereka itu akan diikuti pula oleh negara-negara lain yang bersikap talam dua muka serta sering mencari keuntungan akibat polemik yang berlaku ini, termasuklah dari sesetengah negara Islam sendiri.
Jika diteliti secara mendalam, perangai menyekat kebebasan aktiviti keagamaan secara besar-besaran ini akan mengundang implikasi buruk. Pertamanya, ia akan mengelirukan pandangan masyarakat terhadap fahaman keagamaan. Agama akan dilihat sebagai sumber perpecahan dan keganasan selain menyekat kemajuan hidup dan kreativiti pemikiran. Terdapat ramai tokoh dari Barat yang mengakui perkara ini. Umpamanya, Sigmund Freud yang menganggap agama adalah umpama racun kehidupan manusia dan banyak kes gangguan mental dan kejiwaan berpunca dari ideologi agama. Begitu juga negara Turki yang mana pemimpinnya yang kontroversial Mustafa Kamal Attartuk sendiri cuba membuang identiti agama Islam dalam pemerintahan negaranya apabila mengagungkan Barat demi mengejar kemajuan.
Fahaman sekularisme yang menafikan peranan agama dalam aktiviti kehidupan dan kenegaraan telah diakui Barat sebagai alternatif kepada anutan agama. Fahaman ini yang turut menghalalkan pergaulan bebas masyarakat dan pemikiran kreatif tanpa batasan akhirnya mengundang pelbagai masalah sosial. Dan secara tidak langsung, masyarakat diajak untuk mengagung-agungkan fahaman hedonisme dan ateisme yang mana akhirnya akan membenci terus ajaran dan hukum-hakam agama. Mungkin juga masyarakat akan berasa malu atau takut untuk menonjolkan identiti agama mereka di khalayak ramai sebagaimana yang pernah dilalui oleh bangsa Yahudi satu ketika dahulu.