Islam adalah antara agama-agama yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. melalui Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Di samping Islam, terdapat agama-agama wahyu lain seperti Yahudi dan Nasrani (Nasara). Masing-masing mempunyai kitab iaitu al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur. Nabi bagi orang Islam ialah Muhammad s.a.w., nabi bagi agama Yahudi ialah Musa dan bagi orang Nasrani adalah Isa. Dalam al-Quran terdapat cerita-cerita tentang Ahlul Kitab ini. Mereka telah menetap di Madinah sebelum baginda Rasulullah s.a.w. berhijrah.
Terdapat tiga golongan Yahudi yang tinggal di Madinah ketika itu iaitu Bani Quraisah, Bani Nadzir dan Bani Qainuqqa. Di samping itu terdapat juga suku Arab yang menganut agama Yahudi. Sungguhpun begitu, mereka tidak pula dikatakan golongan yang berkuasa di Madinah.
Pada masa Rasulullah s.a.w. menjadi ketua negara, Madinah telah dijadikan pusat pemerintahan. Pada ketika itu negara Madinah berjiran dengan kerajaan Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar. Raja pemerintah Rom adalah ketua kaum Nasrani dan Raja Parsi pula ketua pengikut wathaniyah. Empayar Rom menguasai Syria dan Mesir. Sementara kerajaan Parsi menguasai hingga ke Yemen.
Setelah beberapa tahun memerintah, baginda telah merangka dasar luar dengan mengutuskan perutusan diplomat. Ada pendapat yang menyatakan diplomat yang diutus itu menguasai bahasa negara yang berkenaan. Ini tidak menghairankan kerana sebelum Islam pun orang Arab telah mengadakan hubungan perniagaan dengan negara-negara jiran. Di samping itu terdapat di kalangan mereka telah menolak agama Islam seperti Sulaiman al-Farisi.
Hubungan diplomasi ini berlaku rancak selepas peristiwa Sulh Hudaibiyah atau perdamaian Hudaibiyah dengan golongan Quraisy Mekah. Bagimanapun sebelum itu, ketika Rasulullah s.a.w. berada di Mekah pun perutusan telah dihantar ke Habsyah yang diperintah oleh Raja Najjasi beragama Kristian.
Baginda dikatakan telah menulis warkah dan mengutus diplomat kepada Raja Rom (Byzantium), Raja Parsi (Sasan) dan al-Muqawqis penguasa Iskandariah di Mesir. Sekurang-kurangnya tiga perutusan telah dihantar oleh baginda Rasulullah s.a.w. ke Syria yang dikuasai oleh pemerintahan Rom yang berpusat di Constatinople.
Beberapa prinsip telah diasaskan dalam hubungan dua hala antara pemerintahan Rasulullah s.a.w. dengan negara jiran seperti Rom. Ini boleh kita amati berdasarkan warkah-warkah yang dihantar kepada negara-negara berkenaan. Antaranya baginda menyatakan kedudukannya sebagai Nabi dan Rasul, sebagai ketua pemerintah, dan menyeru supaya menerima ajaran agama yang dibawanya – Islam. Ada negara yang begitu tersinggung dan marah dengan kenyataan tersebut seperti Raja Parsi dan memerintah gabenor di Yemen mengambil tindakan ke atas baginda.
Terdapat pembesar-pembesar yang menerima dengan baik seperti al-Muqawqis dan al-Najjasi. Al-Muqawqis diceritakan telah memberi hadiah kepada baginda. Al-Najjasi pula telah diminta supaya membantu dan memberikan kemudahan kepada orang Islam yang berada di Habsyah untuk pulang ke Madinah. Raja tersebut telah menyedia dua buah kapal bagi tujuan tersebut. Malah lebih dari itu Raja al-Najjasi telah menganut agama Islam.
Sikap pemerintahan Rom, pada peringkat permulaan adalah baik. Perutusan baginda telah membawa pulang hadiah-hadiah daripada pembesar Byzantium dari Basra untuk Rasulullah s.a.w. Hubungan baik ini diperlukan kerana pedagang-pedagang Islam sering berulang-alik dari Madinah ke Syria dan begitu juga dengan pedagang-pedagang dari Syria ke Madinah.
Dalam satu perutusan Rasulullah s.a.w. kepada kaum Yahudi di Khaibar, baginda antara lain menulis di atas warkah perutusannya, “Wahai penganut ahli Taurah, sesungguhnya kamu telah mendapati dalam kitab kamu, mengenai agama yang dibawa oleh Muhammad. Beritahu kepada aku, adakah kamu mendapati dalam kitab yang diturunkan oleh Allah supaya kamu beriman dengan Muhammad. Jika kamu tidak mendapatinya, maka Aku tidak sekali memaksa ke atas kamu.”
Terdapat beberapa dasar yang dibawa dalam ikatan perhubungan ini, antaranya tidak ada paksaan dalam menganuti ajaran Islam ke atas ahlul kitab. Ini jelas dalam ajaran Islam bahawa tiada paksaan dalam agama. Dan dapat dibuktikan apabila piagam Madinah dimeteri dan dipersetujui.
Bagi orang Islam mereka hendaklah patuh kepada agama Islam dan kekal dalamnya. Bagi pengikut agama ahlul kitab mereka boleh kekal dalam agama mereka seperti yang tercatat dalam dokumen pembentukan negara Madinah yang diterajui oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Dalam aspek kemasyarakatan orang Islam lelaki dibenarkan berkahwin dengan wanita ahlul kitab. Begitu juga dengan makanan dan sembelihan mereka. Orang Islam dibenarkan memakannya. Keadaan ini boleh menjalinkan hubungan yang baik dan harmoni.
Baginda Rasulullah s.a.w. terkenal dengan sikap adil, lapang dada, dan menghormati tetamu dengan cara yang lembut dan hikmah. Baginda pernah membenarkan mereka melakukan ibadat didalam Masjid baginda. Bahkan apabila baginda memilih diplomat ke sesebuah negara seperti ke Najran (Yemen) baginda memilih wakil yang mempunyai sikap amanah. Baginda memilih Abu Ubaidah bin al-Jaarah – seorang sahabat yang amanah sebagai diplomat ke Najran.
Dalam hubungan antara Islam dan ahlul kitab sepatutnya tiada konfrantasi. Kerana kesemua agama-agama ini bersumberkan dari wahyu. Dalam surah al-Qasas, ayat 52 yang bermaksud: Orang-orang yang kami beri Kitab sebelum turun al-Quran mereka beriman kepadanya.
Ayat tersebut menjelaskan bahawa terdapat daripada kalangan orang Yahudi dan Nasrani/Nasara termasuk pendita-pendita yang beriman dengan al-Quran dan telah memeluk agama Islam di zaman nabi.
Dalam hubungan antara Islam dan ahlul kitab, al-Quran ada beberapa titik persamaan. Al-Quran juga ada menjelaskan bahawa di kalangan ahlul kitab terdapat mereka yang baik.
Jelas bahawa dalam menjalin hubungan luarnya, baginda Rasulullah s.a.w. memilih pendekatan berbaik-baik dengan negara jiran dengan menjalin ikatan persahabatan dan ini bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia seperti yang dijelaskan dalam al-Quran bahawa manusia itu dijadikan dengan perbezaan bangsa dan kabilah adalah untuk berkenalan dan bersahabat. Semangat yang mulia dalam hubungan antara pelbagai pihak, Islam menghulur tangan kepada perdamaian dan keamanan. Sifat dan sikap begini patut ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Islam.