Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz . Diterbitkan
Beberapa perkara asas perlembagaan yang sering dianggap sensitif dan tidak mudah untuk dibincangkan secara terbuka ialah hal-hal berkaitan hubungan antara penganut agama. Ini kerana agama merupakan satu perkara yang begitu dekat dengan diri dan hati para penganutnya. Soal sensitiviti ini amat benar kerana kita telah dapat saksikan sejarah dunia tentang persengketaan, bahkan peperangan akibat daripada kegagalan sistem sosial dan perundangan mennagani permasalahan antara penganut agama.
Bagi negara dan masyarakat kita, sistem sosial dan perundangan sentiasa mengambil berat tentang perkara ini. Perlembagaan kita yang digubal dalam keadaan di mana soal sensitiviti agama dan perubahan lanskap kewarganegaraan begitu terzahir telah menagmbil perhatian yang begitu mendalam tentag sensitiviti agama.
Perlembagaan telah mencipta formula penting dalam hubungan antara penganut agama ini. Perlembagaan juga mengambil perhatian tentang sensitiviti agama masyarakat Islam selaku kumpulan terbesar dari segi bilangan dan penganutnya.
Dalam soal ini juga Perlembagaan mengambil pendekatan yang begitu baik dalam menjaga sensitiviti masyarakat beragama yang bukan menganut agama Islam. Mereka dibenar dan dijamin oleh Perlembagaan tentang hak dan kebebasan menganut dan mengamal agama mereka.
Agama telah membentuk satu konsep penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Semasa penggubalannya Perlembagaan tidak lupa tentang hubungan antara penganut agama. Apatah lagi apabila Perlembagaan kita ini digubal dalam keadaan kesukaran pengaruh komunis yang diketahui sebagai satu fahaman yang menolak ketuhanan.
Dalam proses kemerdekaan itu telah dizahirkan kebimbangan dalam kalangan penganut agama bukan Islam tentang hak-hak mereka, terutamanya hak kebebasan beragama. Dalam usaha menjaga kedudukan Islam sebagai agama negara, Perlembagaan meletakkan dasar yang sangat jelas tentang agama dan hubungan antara penganut agama, iaitu setiap agama boleh diamalkan dalam keadaan “aman dan damai”.
Formula ini disebut dengan jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tentang kedudukan agama Islam sebagai agama bagi negara. Formula ini tidak diberikan penjelasan secukupnya dalam dokumen-dokumen sejarah Perlembagaan.
Walaupun tiada dokumen yang memberikan penjelasan secukupnya tentang formula itu, saya fikir kita sudah begitu jelas dengan prinsip yang ada, iaitu, setiap anutan atau amalan agama hendaklah sentiasa mementingkan keamanan dan keharmonian atau kedamaian dalam negara. Keamanan dan kedamaian ini bukan hanya merujuk kepada tanggungjawab yang dipikul oleh penganut agama, termasuklah juga hal-hal berkaitan agama Islam. Maksudnya saya di sini ialah, walaupun Islam itu adalah agama negara, tetapi anutan dan amalan agama tersebut juga perlu diamalkan dengan aman dan damai sebagaimana ajaran dan kehendak agama Islam itu sendiri.
Sekiranya dirujuk kepada ajaran agama Islam, peruntukan Perlembagaan kita adalah menepati prinsip Islam sebenar, iaitu mementingkan kesejahteraan awam dalam menentukan perhubungan antara penganut agama.
Antara kebimbangan yang dizahirkan semasa cadangan Parti Perikatan untuk memasukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan ialah tentang paksaan yang mungkin dikenakan oleh Islam ke atas penganut agama lain. Penzahiran kebimbangan ini telah diambil perhatian oleh Parti Perikatan dengan menyatakan jaminan tentang kebebasan beragama. Oleh itu kebebasan beragama disebut dalam Perkara 3 yang menyatakan tentang bolehnya agama-agama lain diamalkan. Selain itu, kebebasan beragama juga dijamin oleh Perkara 11.
Sebenarnya penzahiran kepada kebimbangan itu telah dapat menyelesaikan polemik pada ketika itu. Menurut ajaran agama Islam yang sebenar, masyarakat yang menganut agama lain tidak perlu bimbang kepada “paksaan” kerana agama Islam sendiri tidak membenarkan umatnya membuat paksaan bagi tujuan pemelukan kepada agama Islam. Ini jelas dalam ayat suci al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 157. Pendekatan Islam ini disokong oleh peruntukan Perlembagaan dengan adanya peruntukan dalam perkara 3(1) dan Perkara 11.
Oleh itu, penganut agama lain tidak lagi perlu gusar kepada “paksaan” ke atas mereka untuk menganut agama Islam. Hak kebebasan tersebut bukan sahaja dalam ajaran agama Islam, tetapi telah dimaktub dan seterusnya dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk orang-orang Islam, Perlembagaan menjaga mereka dengan baik untuk menganut dan mengamal agama mereka. Janganlah pula mereka sendiri yang menentang ajaran agama sendiri.