Pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun, ramai umat Islam tidak akan melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah Haji di kota suci Mekah. Ibadah ini boleh dilaksanakan dalam tempoh empat (4) hari bermula dari 10 Zulhijjah dan berterusan hingga ke 13 Zulhijjah. Ia merupakan syiar yang mulia dan dituntut dalam Islam serta menjanjikan ganjaran yang besar kepada yang melaksanakannya.
Selain daripada nilai kerohanian, ibadah korban juga memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan dalam pelaksanaannya. Amalan seperti bergotong-royong, melapah, mengagihkan dan memasak daging korban secara bersama secara tidak langsung mewujudkan suasana harmoni dan merapatkan hubungan silaturrahim sesama individu dan masyarakat. Malah, jurang sosial dalam kalangan penduduk dan masyarakat setempat juga dapat dirapatkan melalui kerjasama yang dibawakan melalui pelaksanaan ibadah korban itu sendiri.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan ibadah mulia ini haruslah dibuat selaras dengan tuntutan syarak serta undang-undang yang tersedia agar hak setiap individu dapat dipelihara. Hal ini juga bagi memastikan keharmonian dapat dikekalkan dalam kehidupan bermasyarakat yang berbilang agama, bangsa dan kaum.
Memilih lokasi yang bersesuaian
Secara kebiasaannya, ibadah korban di Malaysia dilaksanakan di perkarangan masjid atau surau. Terdapat juga sebahagian komuniti yang memilih kawasan tanah lapang atau perkarangan kediaman mereka sendiri untuk melaksanakan korban. Dalam hal ini, adalah penting untuk membuat pemilihan lokasi yang bersesuaian serta tidak menganggu ketenteraman penduduk dan kejiranan sekitar. Hal ini kerana proses korban akan menghasilkan sisa-sisa seperti darah, najis, dan tulang. Jika tidak diuruskan dengan baik, sisa-sisa ini boleh menyebabkan bau busuk yang mengganggu, menarik serangga perosak, malah berisiko menyebarkan penyakit.
Islam amat menitikberatkan soal penjagaan kebersihan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim:
“Kebersihan adalah sebahagian daripada iman”
Selain itu juga, Islam juga memberi penekanan terhadap tuntutan menjaga hak jiran dan larangan menyakiti mereka dalam apa jua bentuk seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:
“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.”
Oleh itu, melaksanakan ibadah secara tertib, tidak mengganggu atau mencemarkan kawasan sekitar adalah sebahagian daripada adab berjiran. Ia juga adalah sebahagian daripada akhlak yang dianjurkan Islam.
Di samping itu, Akta Binatang 1953, Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 dan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia juga memperuntukkan peraturan dan garis panduan berkaitan kesihatan haiwan dan penyembelihan. Perkara ini juga meliputi aspek kebersihan, pelupusan sisa dan pencegahan penyakit zoonotik (penyakit yang berpindah daripada haiwan kepada manusia). Sisa-sisa penyembelihan ternakan korban sama ada pepejal atau cecair hendaklah diuruskan menurut garis panduan yang disediakan untuk mengelakkan pencemaran. Ia juga bagi memastikan daging korban yang diagihkan bersih dan selamat untuk dimakan.
Selain itu, pemilihan lokasi juga penting untuk mengelakkan gangguan bunyi daripada binatang korban atau aktiviti yang dijalankan kepada kejiranan setempat baik dalam kalangan Muslim sendiri ataupun bukan Islam. Ia juga bertujuan mengelakkan berlakunya kesesakan jalan raya dan gangguan lalu lintas sekiranya pelaksanaan aktiviti korban dijalankan di kawasan berkepadatan tinggi dan sempit.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim).
Tambahan lagi, terdapat kaedah fiqh yang menyatakan bahawa tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain (La Dharar wa La Dhirar). Justeru, sebarang tindakan dalam melaksanakan ibadah yang membawa mudarat kepada masyarakat adalah bertentangan dengan prinsip syarak. Pengurusan sisa korban yang tidak baik dan lokasi yang tidak sesuai boleh dikategorikan sebagai tindakan yang memudaratkan jiran.
Dari sudut perundangan pula, perkara-perkara ini bertentangan dengan peruntukan dan peraturan yang ditetapkan dalam Akta Kesalahan Kecil 1955 dan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam penguatkuasaan undang-undang kecil berkaitan pengurusan sampah, kebersihan awam dan kawalan kacau ganggu (nuisance). Mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan pencemaran atau gangguan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda.
Kebajikan haiwan korban
Hampir setiap tahun, kita dapat melihat isu binatang korban terlepas atau melarikan diri daripada lokasi korban. Lebih menyedihkan, apabila ia terbunuh dalam kemalangan jalan raya dan mengakibatkan kecederaan malah kematian kepada pengguna jalan raya yang lain. Isu ini dilihat remeh malahan sebagai jenaka oleh sesetengah pihak. Namun, ia sebenarnya memperlihatkan ketidakcekapan dan kelemahan tadbir urus umat Islam dalam ibadah korban walaupun melaksanakannya setiap tahun. Hal ini memberikan imej dan impresi buruk kepada agama Islam yang mempromosikan kedamaian dan belas ihsan kepada makhluk termasuk haiwan.
Oleh yang demikian, pelaksanaan ibadah suci ini tidak seharusnya dicemarkan dengan mendatangkan kemudharatan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Cadangan
Penganjuran berpusat boleh dibuat bagi pelaksanaan aktiviti korban di tempat atau kawasan yang telah diluluskan oleh pihak berautoriti. Hal ini dapat mengurangkan bilangan lokasi sembelihan terutamanya di kawasan perumahan yang berisiko menimbulkan gangguan kepada kejiranan. Tempat seperti masjid utama di daerah atau kawasan tanah lapang yang bersesuaian boleh dijadikan lokasi ibadah korban termasuklah aktiviti menyembelih, melapah dan menguruskan sisa sembelihan.
Selain itu, sesi penerangan komuniti juga dilihat sebagai salah satu cara untuk memberikan kefahaman serta memupuk kesedaran tentang pelaksanaan korban kepada umat Islam dan bukan Islam. Perkara ini penting untuk mengelakkan salah tanggap terutamanya dalam kalangan orang bukan Islam terhadap ibadah korban. Selain itu juga, umat Islam khususnya mereka yang terlibat dalam pengurusan aktiviti korban perlu diberi latihan dan ilmu supaya menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya untuk menjamin kesejahteraan seluruh golongan masyarakat dan tidak hanya bertindak mengikut sentimen agama semata.
Kesimpulan
Akhir kalam, korban bukan sekadar ibadah tetapi manifestasi perpaduan dan keprihatinan terhadap hak serta pengurusan haiwan korban. Ibadah korban membawa seribu satu kebaikan dan manfaat kepada seluruh golongan masyarakat. Oleh yang demikian, seharusnya ia dilaksanakan dengan menuruti lunas perundangan dan hukum-hakam berkaitan.