Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekaligus telah mengubah gaya hidup masyarakat ke arah penggunaan teknologi, khususnya teknologi digital. Pelbagai perubahan telah berlaku apabila aplikasi dan solusi teknologi telah dijadikan sebagai medium untuk kelangsungan hidup manusia.
Covid-19 telah memaksa aktiviti perniagaan bergantung lebih banyak kepada akses internet. Aktiviti jual beli dalam talian mencatat peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April 2020, iaitu ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020.
Menurut Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata pada tahun lalu hampir tiada yang menjual dan membeli hasil segar seperti ikan, ayam, daging lembu dan juga durian di platform e-dagang tetapi pada April 2020 sahaja, kira-kira 1,000 penjual hasil segar dan beku termasuk petani dan nelayan mula menjual di laman web Shopee itu.
Syarikat Grab pula bukan hanya menawarkan perkhidmatan tempahan kenderaan tetapi juga turut menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan lain dalam talian, seperti pembelian makanan di restoran terpilih, membeli barangan di kedai, membuat penghantaran barangan dari lokasi A ke lokasi B, menyediakan kemudahan tambah nilai, perkhidmatan membeli insurans, menempah kad ucapan, membuat tempahan hotel, membuat tempahan pembersihan rumah, tempahan untuk memperbaiki kerosakan kecil di rumah dan juga tempahan untuk melawati tempat-tempat menarik. Kesemuanya ini dikendalikan hanya menggunakan aplikasi di telefon pintar.
Teknologi digital ini dilihat bukan hanya terhad kepada urus niaga atau e-dagang semata-mata, tetapi turut merangkumi berbagai-bagai aktiviti yang lain seperti mengadakan mesyuarat atas talian, hiburan atas talian atau dikenali sebagai e-buskers dan bermacam-macam lagi.
Sebenarnya, isu yang ingin diutarakan dalam penulisan ini adalah lebih kepada faktor keselamatan siber melalui penggunaan “Identiti Digital” (ID). Terdapat banyak cara penggunaan ID ini. Ada yang menggunakan ID pada e-mel sebagai pengenalan diri, ada yang menggunakan ID pengguna atau username, penggunaan ID pada kata laluan atau password, menggunakan nombor kad pengenalan sebagai ID dan sebagainya.
ID yang menggunakan nombor kad pengenalan telah banyak menyebabkan kebocoran data peribadi. Sebagai contoh, masyarakat kini semakin gelisah dan tertekan apabila menerima pelbagai panggilan palsu yang mengaku daripada pihak mahkamah, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan lain-lain semata-mata untuk menipu. Percaya atau tidak, pengguna internet di negara ini lebih terdedah kepada penipuan dalam talian berbanding negara lain di rantau ini. Kajian ini dilakukan oleh Telenor Group iaitu sebuah syarikat telekomunikasi berpusat di Norway.
Statistik pula merekodkan sebanyak 4,487 kes penipuan telekomunikasi dengan jumlah wang sebanyak RM203 juta; pembelian dalam talian sebanyak 2,947 kes (RM24.7 juta), 419 scam atau African Scam sebanyak 1,303 kes (RM67.7 juta) dan penipuan e-kewangan sebanyak 753 kes (RM122 juta).
Perkara ini antara lain disebabkan terdapat pihak tertentu yang mempunyai dan menyimpan maklumat seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon serta menjualnya kepada penjenayah siber. Perkara ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2017. Penjualan data peribadi ini tidak seperti penjualan barang-barang yang berpindah hak milik. Penjualan data-data ini melibatkan “salinan data asal” sama ada melalui tangkap layar dengan kamera atau menggunakan teknik-teknik lain.
Seperkara lagi, ID yang menggunakan e-mel, nama pengguna serta kata laluan menjadi semakin tidak selamat apabila terdapatnya perisian-perisian yang dijual di pasaran gelap yang mampu memecah kata kunci “crack password” setelah beberapa kali percubaan dilakukan.
Oleh sebab itu, bagi mengatasi masalah ini kita perlu beralih kepada penggunaan ID yang berdasarkan kepada ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan sebagainya bagi mendapatkan perkhidmatan digital yang selamat serta terjamin.
ID biometrik ini amat diperlukan ketika pandemik Covid-19 bagi menyokong aktiviti atas talian seperti pelaksanaan kerja, pembelajaran, urus niaga, jual beli, penggunaan e-dompet dan lain-lain lagi.
ID biometrik ini juga dapat menambah kualiti hidup rakyat dan sekaligus dapat mengekang gejala rasuah. Kesemua transaksi dapat dikesan atau dapat dijejak. Jika sebelum ini transaksi boleh dilakukan menggunakan akaun orang lain sekiranya kita tahu ID pengguna dan kata laluan tetapi tidak dengan ID biometrik.
Jika ditinjau dalam lensa yang lebih luas, beberapa negara seperti United Kingdom, Kanada, India dan beberapa negara lain telah menggunakan ID biometrik ini. Untuk jangka masa panjang ID biometrik ini dapat digunakan untuk membuka akaun bank tanpa perlu hadir di bank, mengundi tanpa perlu hadir di pusat-pusat pengundian, melakukan konsultansi dengan doktor secara atas talian dan lain-lain.
Jika dilihat dari perspektif Islam, mengapa al-Quran menerangkan penentuan identiti setiap individu menyebut secara khusus tentang jari-jari tangan atau ciri-ciri biometrik? Pada tahun 1892, kajian telah dilakukan oleh Sir Francis Golt mengenai corak cap jari manusia dan beliau mendapati tiada seorang manusia pun yang mempunyai corak cap jari yang sama. Disebabkan perbezaan ini yang telah diciptakan oleh Allah SWT maka zahirlah hikmah penciptaan Allah untuk dijadikan pengenalan diri seseorang yang menjadi teras penyelesaian banyak masalah. Adalah sesuatu yang mustahil untuk melenyapkan identiti diri kerana setiap penciptaan manusia ada identiti diri yang mengandungi hikmah yang tersurat dan tersirat.