Kesan pandemik Covid-19 amat mempengaruhi dan telah mengubah landskap kesihatan awam, psikologi, tingkah laku dan aktiviti sosial serta pembangunan ekonomi masyarakat. Masyarakat Malaysia turut merasai gelombang yang sama. Di sebalik pandemik yang sedang melanda, wujudnya perasaan paranoid yang perlu dihadapi oleh setiap individu malah implikasinya menjadi semakin parah disebabkan kemunculan pelbagai spekulasi mengenai maklumat Covid-19 yang masih belum dapat dipastikan kesahihannya beredar dalam kalangan masyarakat.
Coronavirus kini telah menunjukkan kriteria pantas bermutasi untuk beradaptasi dengan pelbagai situasi epidemiologi dan status imuniti sistem badan perumah. Kadar mortaliti dan morbiditi terus meningkat saban hari disebabkan ketiadaan rawatan yang berkesan untuk pesakit. Justeru, lonjakan kes penularan jangkitan kini hampir dialami oleh semua peringkat usia dan berupaya mengancam nyawa. Keadaan ini menyebabkan ramai yang menaruh harapan dengan keberkesanan penemuan vaksin Covid-19. Vaksin tersebut juga mencetuskan keterujaan di semua peringkat lapisan masyarakat yang menanti agar ada sinar kemujaraban malah menjamin tahap keselamatan yang boleh mengubah situasi pandemik dunia ke arah yang lebih baik dan sejahtera.
Pembangunan dan penghasilan vaksin terapeutik dan ubat antivirus spesifik sudah pasti bukanlah sesuatu yang mudah dan mengambil masa kerana perlu melalui beberapa fasa ketat dan menyeluruh sebelum disahkan keberkesanan dan keselamatannya. Vaksin ialah usaha manusia untuk mencegah dan mengubati penyakit tersebut melalui pemerhatian dan pengkajian empirikal. Sebagai umat Islam, sudah pasti mempercayai bahawa Allah SWT yang berkuasa menyembuhkan segala penyakit. Setelah segala usaha dilaksanakan, maka urusan tersebut diserahkan sebulatnya kepada Allah (Ya Musabbib).
Wabak Covid-19 merupakan sesuatu yang boleh difikirkan dan dinilai untuk mencari solusi terbaik sebagai suatu usaha yang mungkin boleh menyelamatkan ramai nyawa manusia dan bukan bersifat kepentingan individu. Sepertimana firman Allah dalam surah al Maidah ayat 32 yang membawa maksud “dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”
Pertikaian segelintir masyarakat dalam mengutarakan pandangan tentang usaha pembangunan vaksin yang dijalankan oleh ahli yang berkepakaran seolah-olah merencatkan perkembangan sihat dalam pembangunan penyelidikan dalam apa jua bidang. Ikhtiar mencari solusi bukan satu bentuk kesyirikan kerana tidak meletakkan kekuasaan Allah yang utama tetapi adalah usaha memanfaatkan akal untuk menamatkan penderitaan yang dialami oleh seluruh populasi dunia selaras dengan firman Allah ayat 44 surah an-Nahl yang membawa maksud: “(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan), dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya.”
Sehubungan dengan itu, umat manusia disarankan untuk mengkaji apa yang sedang dilalui kini, mengambil ibrah dan menyesuaikan dengan kebolehan akal dan kepakaran dalam mencari penyelesaian permasalahan. Mencari solusi yang ampuh merupakan ikhtiar dengan melaksanakan kajian-kajian evolusi dan saintifik dalam masa yang sama tidak meletakkan ikhtiar tersebut sebagai satu-satunya harapan paling tinggi kerana sebagai umat Islam, kita beriman bahawa hanya Allah yang Maha Penyembuh. Vaksin dan ubat hanyalah sebab dan pelengkap kepada usaha penyembuhan dan rawatan agar kemudaratan wabak tidak terus berleluasa. Tahap kebergantungan manusia kepada Allah menjadikan sebab (vaksin dan ubat) tersebut berfungsi mengikut ketetapan Nya.
Dunia hari ini dimomokkan dengan maklumat kemudaratan vaksin dan kewujudan teori-teori yang belum disahkan kebenarannya tetapi diangkat dan dimartabatkan oleh segelintir golongan. Cara berfikir yang rancu tersebut memperlihatkan satu trend yang muncul dan menjadi ikutan masyarakat. Situasi ini akan menimbulkan kegusaran dan keributan dalam masyarakat lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik ini. Masyarakat seharusnya dipupuk untuk melatih cara berfikir dengan kemahiran penaakulan yang mantap apabila mendapat sesuatu maklumat. Bukan hanya menerima segala maklumat tanpa ada pertimbangan dan penilaian, yang akhirnya hanya boleh menambahkan kebimbangan.
Di samping berikhtiar dengan pelbagai kajian vaksin yang diusahakan, rawatan berbentuk pencegahan atau pemulihan yang bersifat tempatan seharusnya dapat dirintis oleh pengkaji atau saintis. Ini kerana negara kita mewah dengan kepelbagaian biodiversiti malah rumpun Melayu juga kaya dalam ilmu etnofarmakologi. Dengan potensi ini, wajarlah pakar-pakar menerajui kajian dan pemerhatian dengan memanfaatkan sumber-sumber tumbuhan tempatan sebagai asas ubatan baharu bagi merawat dan mencegah wabak penyakit sedia ada daripada berulang atau tercetus lagi.
Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 60-61 wajar dijadikan pedoman buat umat Islam dalam menghadapi wabak Covid-19. Elemen usaha dan ikhtiar serta berharap perlu digarapkan agar tiada unsur putus asa dalam menghadapi ancaman wabak sehingga membawa kemerosotan kesihatan fizikal dan mental. Seterusnya bertawakal kepada Allah SWT setelah semua usaha digembleng kan. Selaras dengan itu, Nabi SAW bersabda: “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (jahil) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan agar Allah SWT meredainya (riwayat at-Tirmizi, no. hadith : 2459).
Dalam mendepani krisis pandemik ini, golongan yang bijaksana ialah mereka yang beramal dan berikhtiar dengan harapan agar semua permasalahan menemui solusi, bukan hanya berserah kepada takdir kekuasaan Allah semata-mata. Justeru, mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan, meletakkan kepercayaan kepada autoriti agama mahupun pihak berkuasa kesihatan serta mengamalkan cara hidup yang sihat dan bersih ialah bentuk-bentuk usaha dan ikhtiar bagi orang yang boleh berfikir untuk mencari jalan keluar daripada ujian yang dihadapi di samping doa yang tidak putus.