Sudah hampir seminggu berlalu dua pilihanraya kecil parlimen di dua buah negeri.
Barangkali, kehangatan politik di kedua-dua kawasan tersebut semakin menyejuk.
Namun, bahang politik di peringkat negara mungkin sebaliknya.
Bagi segelintir anggota masyarakat, perasaan gelisah dan resah dengan permainan politik yang tiada kunjung reda semakin meningkat.
Pada segolongan anggota masyarakat yang telah atau semakin berumur pula, suasana politik sepanjang masa sememangnya begitu, meskipun kerisauan tentang untung-rugi dan baik-buruknya nasib agama, bangsa dan tanahair kerap melanda hati dan fikiran.
Sudah sekian lama politik dilihat sebagai sepak-terajang untuk mendapatkan kuasa dan setelah berjaya meraihnya, untuk kekal berkuasa pula.
Kuasa sering memabukkan si penguasa.
Malah, oleh kerana sifat memabukkan yang lazim bersama kuasa dan pengaruh inilah maka sang penguasa sering tergelincir daripada landasan yang benar.
Namun, bagi orang-orang Islam yang sentiasa sedar akan ajaran agama mereka, al-Qur’an—khasnya melalui surah al-A‛raf (7): 20 dan Ta Ha (20): 120—telah lama mengkhabarkan tabiat inginkan kuasa dalam diri insan seawal pencipta insan pertama, Nabi Adam A. S.
Malah, dalam kedua-dua peringatan Qur’ani di atas, dikhabarkan bahawa Iblis menggunakan rangkaian dua faktor—iaitu: kuasa dan kekekalan—untuk menggoda dan seterusnya menggelincirkan pasangan Adam dan Hawa A.S..
Kuasa untuk kekekalan sekaligus kekal untuk berkuasa, sememangnya rangkaian yang sungguh mempesonakan!
Sekiranya ayat-ayat tersebut ditekuni pula bersama-sama dengan surah al-Humazah (104): 2-3, maka akan semakin jelas petunjuk Qur’ani bahawa wujud sebahagian manusia yang silap beranggapan bahawa harta yang mereka kumpulkan dapat mengekalkan mereka.
Sangat penting untuk diperhatikan bahawa ketergelinciran Adam A.S. masih berlaku meskipun al-Qur’an dalam surah al-Baqarah (2): 30-39 secara terang-terangan menobatkan baginda kerana ilmu yang Allah S.W.T kurniakan padanya, khasnya ilmu perihal sekelian nama (al-asma’ kullaha).
Malah, ekoran daripada kealpaan dan kekurangan azam Adam A.S., ilmu yang diharapkan dapat memandu kelihatan masih belum mampu mengawal diri baginda daripada pesona dua faktor yang dimainkan dengan licik oleh Iblis sehingga menelanjangkan baginda dan pasangannya.
Apatah lagi dalam suasana semasa yang menganuti fahaman tertentu tentang Ilmu sebagai Kuasa (Knowledge is Power), usaha untuk mengendali serta memandu tabiat insan ini sesungguhnya semakin mencabar.
Bagaimana tidak mencabar?; ilmu yang sepatutnya memimpin serta membimbing turut dapat disalahgunakan demi mengekal dan menambah kuasa!
Apakah sudah tiada jalan?
Sesungguhnya soalan yang serupa juga dipertanyakan oleh ilmuwan-ilmuwan agung yang silam dan kini.
Dan jawapan utamanya masih kekal sama dan merujuk kepada hakikat yang juga sama.
Sayugia diingati bahawa ilmu yang perlu dipupuk ke arah pengawalan sang penguasa dan si pemburu kuasa sesungguhnya bertitik-tolak dari hakikat diri mereka jua.
Kerana sememangnya wilayah pengaruh dan lingkungan kuasa yang paling hampir kepada setiap penguasa—bahkan setiap seorang insan—adalah diri masing-masing.
Malah, ilmu mengenali dan sekaligus menguasai diri sendiri dengan baik secara terus-menerus inilah asalnya intisari ilmu akhlak (atau ethics)yang berpuncakan akal yang dipandu oleh wahyu.
Bahkan perjuangan tiada berputusan untuk mengurus diri dengan betul ini telah diisytiharkan sebagai jihad terbesar.
Ilmu akhlak dalam Falsafah Ilmu Islam difahami sebagai ‛ilm tadbir al-nafs—ilmu mentadbir diri—yang merupakan dasar yang menerasi lapisan-lapisan ilmu berikutnya: ‛ilm tadbir al-manzil (economics) dan seterusnya ‛ilm tadbir al-khilafah atau ‛ilm al-siyasah (politics).
Ilmu tersebut difahami sedemikian rupa kerana hubungan ruh (juga akal) dan jasad yang mencirikan kesatuan diri insan juga difahami dalam ilmu kaji jiwa (‛ilm al-nafs; psikologi) sebagai hubungan “yang mentadbir” (akal) dan “yang ditadbir” (jasad).
Malangnya, kesinambungan sedemikian telah lama terputus dan tidak diendahkan.
Sekiranya diajar sekalipun, mutu pengisian dan pengolahannya dibiarkan terbantut pada peringkat pendidikan rendah dan menengah.
Sudak agak lama ilmu akhlak, atau etika, tidak diajar secara giat dan dinamik sebagai ilmu utama pada peringkat pendidikan lanjutan, apatah lagi dalam sistem pemupukan pemimpin dalam pelbagai bidang.
Malah, jika ditawarkan sekalipun pada tahap lanjutan, ilmu akhlak sudah tidak lagi menumpu pada pengenalan-pengawalan diri insan secara dalaman—ruhani dan jasadinya sekaligus—tetapi sudah makin terbatas pada segi-segi luaran hubungan sesama insan dan kawalan undang-undang serta peraturan duniawi yang sering kali pula perlu berubah dan diubah kerana kelicikan insan!