Di saat kita membicarakan perkembangan pesat dan keghairahan terhadap pembangunan sekarang, samada sedar atau tidak, kita sebenarnya melahirkan manusia yang bingung dan keliru, kerana semakin rancak pembangunan fizikal yang dirancang dan dilaksanakan maka semakin rancak pula keruntuhan nilai kemanusiaan yang berlaku. Namakan saja jenis keruntuhan tersebut semuanya ada dalam pembangunan masa kini. Bermula daripada institusi kekeluargaan yang kucar-kacir hinggalah kepada tandusnya akhlak yang mulia, runtuhnya pemikiran sihat, budaya rasuah, kotornya amalan politik, kedangkalan ilmu dan seribu satu macam lagi keruntuhan nilai kemanusiaan yang boleh ditulis satu persatu.
Malah manusia itu sendiri sedang menghadapi dua pilihan yang sangat penting dalam hidupnya. Iaitu, samada mampu mempertahankan kedudukan manusia sebagai manusia yang mengabdikan diri secara mutlak kepada Allah, atau mencemarkan nama baik kemanusiaannya itu kepada penghambaan kepada pembangunan. Bagi pilihan pertama, manusia itu hidup sebagai pemegang amanah Allah, dan pilihan yang kedua pula menawarkan kelonggaran ikatan yang kadang-kadang menafikan perhubungan perhambaannya dengan Allah yang seterusnya menjadi hamba kepada kebendaan. Malah tidak kurang juga mereka yang berada di antara dua keadaan ini yang sering mencampur-adukan pilihan yang pertama dengan yang kedua, yang mana akhirnya melahirkan rupabentuk manusia yang keliru dan sanggup pula menjual agamanya.
Mengapakah boleh terjadi yang sedemikian sedangkan agama Islam adalah agama yang membangun dan sangat menggalakkan pembangunan. Begitu juga, agama Islam adalah satu cara hidup yang kukuh lagi lengkap dengan faham dan amalannya sama ada dalam bidang kerohanian mahupun dalam bidang tabi’i dan pembangunan. Sebabnya banyak dan telah banyak diperkatakan oleh orang sejak kebelakangan ini. Antara banyak penyebabnya dan menjadi perkara pokok yang menjadi penyumbang utama, ialah manusia kini sudah melupakan amanah yang dipikulkan ke atasnya, dan lantas manusia melupakan Allah, Tuhan sekelian alam. Apabila lupakan Tuhan, maka manusia pun akan turut lupa akan asal usul dirinya, lupa kejadian dan tujuan hidupnya, yang seterusnya membawa kepada lupa peranan dan fitrah dirinya.
Dalam keadaan masyarakat kini, tahap melupakan Tuhan juga mempunyai beberapa peringkatnya yang tersendiri. Ada yang terus melupakan dan menolak Allah secara keseluruhan dengan terus terang mengaku keluar dari Islam. Ada pula yang sama ada secara sedar atau tidak sedar menggantikan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain, dan ada pula yang apabila sesekali teringatkan Tuhan maka disembahlah Allah dalam upacara-upacara tertentu seperti agama lain. Ada juga yang hanya meletakkan Allah hanya pada nama tetapi amalannya jauh terpesong dari landasan sebenar Islam. Tidak kurang juga ada yang memperjuangkan sesuatu yang batil tetapi meletakkan Islam sebagai tanda-nama untuk mengelirukan manusia.
Maka apabila manusia itu sudah melupakan Allah, maka Allah juga akan melupakan mereka. Mereka akan dibiarkan dan dibebaskan oleh Allah untuk seketika di dunia ini untuk bertindak sesuka hati menentukan keadaan hidup mereka di dunia. Maka berusahalah mereka menentukan keadaan ekonomi, politik, pendidikan, budaya dan masa depan mereka sendiri. Mereka tidak diberi petunjuk oleh Allah ke jalan yang benar kerana mereka tidak lagi mempedulikan Allah. Bertitik tolak dari sini, maka segala yang memiliki nilai-nilai kerohanian, tuntutan-tuntutan agama, akhlak dan nilai-nilai murni yang berpandukan agama tidak lagi mendapat tempat dan penghargaan yang penting dalam dunia perdagangan, dunia seni, dunia hiburan, dunia politik, dunia pendidikan, dan segala bentuk keduniaan yang membentuk kehidupan manusia itu sendiri.
Mereka yang menjadi perancang utama dunia dan kehidupan manusia telah melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka dengan membiarkan mereka sibuk menentukan masa depan hidup mereka sendiri. Segala-galanya yang mereka rancang dan tentukan sebenarnya diasaskan di atas landasan yang rapuh dan menunggu saat keruntuhan, dan bibit-bibit keruntuhan itu sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh masyarakat dunia masa kini terutamanya di negara-negara Barat.
Antara sebab yang membawa kepada keadaan melupakan Allah ini ialah kekeliruan terhadap ilmu. Ini bukan kerana manusia tidak mempunyai ilmu tetapi kerana manusia memiliki ilmu yang salah dan batil. Kini ilmu yang dipelajari hanya demi kerana ilmu, iaitu menuntut ilmu hanya untuk memenuhi keghairahan kegunaan duniawi yang didorong oleh runtunan nafsu. Tujuan dan faham ilmu yang sebeginilah yang telah melahirkan ramai ‘ilmuan’ yang lupakan Allah tetapi sangat ghairah dan bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi memenuhi segala keinginan nafsu.
Maka dengan itu, sekalipun kemajuan ilmu pengetahuan masa kini benar-benar hebat dan mempesonakan, namun ilmu yang dibangunkan kini lebih banyak melahirkan manusia yang sangat cepat lupakan Allah tetapi pada masa yang sama sangat cepat terpesona dengan keindahan dunia. Maka dengan itu lahirlah ‘ilmuan’ yang sering dalam keraguan terhadap Tuhannya, sering dalam kemelut dan bimbang akan masa depan dunianya, dan sentiasa sibuk mencari harta dan habuan dunia.
Perkembangan pengisian ilmu masa kini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa tujuan dan fahamannya yang salah dan kabur telah melahirkan ramai manusia yang juga kabur tentang tujuan dan faham hidupnya. Pengisiannya telah menjadikan manusia sekarang mempunyai sifat-sifat keduniaannya yang sangat menonjol. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, selalu meninggalkan apa yang disuruh Allah, melupakan Allah, memandang rendah sesama manusia dan tidak ambil peduli sebarang permasalahan yang menimpa saudara-saudara seagamanya dengannya.
Perkembangan ilmu yang sebegini sebenarnya sangat berlawanan dengan ilmu yang ingin dibangunkan oleh tamadun Islam. Baginya, ilmu adalah sesuatu yang wajib dituntut oleh setiap individu Muslim, dan ilmu juga adalah asas pembangunan insan dan juga asas kepada pembangunan tamadunnya. Menerusi ilmu juga dapat melahirnya manusia yang sentiasa ingat kepada Tuhannya, ingat kepada Kebesarannya serta menjadikan manusia yang bertaqwa dengan sentiasa cermat dan berhati-hati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Ianya memberikan kedudukan yang sangat istimewa dan kemuliaan yang tinggi kepada ilmu.
Justeru itu, wajar bagi kita kini untuk kembali menilai ke arah mana hala tuju perkembangan ilmu yang berlaku dalam negara kita sekarang. Kita akan merasa lebih senang dan selamat sekurang-kurangnya untuk generasi akan datang sekiranya ilmu yang dibangunkan itu lebih bersifat membangunkan kemanusiaan dan keinsanan berbanding sekiranya ianya lebih meruntuh dan membahayakan manusia dan dunia. Kita juga tidak mahu ilmu dan pendidikan kita diasaskan kepada landasan pemikiran asing yang tidak mengikut penekanan yang ditentukan oleh agama Islam. Juga kita tidak mahu pendidikan dan ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang dipaksakan oleh perkembangan semasa kerana dikuathiri tujuannya lebih bersifat keduniaan dan akan terus melahirkan manusia yang lupakan Tuhan.
Oleh hal yang demikian, manusia itu perlu dipimpin dan diberitahu bahawa pembangunan berteraskan agama, tamadun Islam dan ilmu yang betul adalah lebih utama daripada pembangunan yang hanya dapat memuaskan nafsu, kerana ia bukan sahaja memerlukan penggabungan bersepadu antara manusia, benda dan alam, malah lebih penting daripada itu ialah penggabungan antara unsur dalaman dan unsur luaran manusia serta dipimpin oleh ilmu yang benar dan sah. Iaitu ilmu yang dapat memimpin kalbu, akal dan nafsu serta anggota lahiriah dan pancaindera yang lain ke arah mengenali dan menjadi hamba kepada Tuhan yang menciptanya. Hubungan murni antara unsur-unsur ini yang bertunjangkan pengabdian sepenuhnya kepada Allah sahajalah yang dapat melahirkan amal dan tindak laku manusia yang selamat dan aman pembangunannya.