Apabila kita memperkatakan mengenai sesuatu dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, dari kaca mata manakah kita ingin menilai dasar itu. Sebagai contoh apabila kita ingin menilai Dasar Pandang ke Timur dari sudut manakah penilaian yang ingin kita buat. Adakah dari sudut pelaburan, peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, ekonomi, cara bekerja serta banyak lagi. Kita tidak boleh memperkatakan sesuatu dasar itu tidak bagus atau tidak berjaya hanya kerana kita menilai dari satu sudut sahaja. Nilaian yang paling tepat ialah kita menilai sesuatu dasar itu berdasarkan kepada apakah objektif utama dasar itu diwujudkan dan berjaya dilaksanakan.
Setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sudah semestinya bertujuan untuk memberi kebaikan kepada rakyat. Namun, dalam melaksanakan dasar tersebut mungkin terdapat kekurangan di sana sini. Bagi dasar yang tidak begitu memberi impak seharusnya dikaji secara mendalam untuk diketahui punca sebenar.
Sebenarnya terdapat berbagai-bagai dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi memacu pertumbuhan negara secara mampan.
Dasar Pandang ke Timur telah dilancarkan pada 8 Februari 1982 yang diumumkan ketika Persidangan “5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA” di Hotel Hilton Kuala Lumpur oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dasar ini dilancarkan atas sebab untuk mencontohi etika kerja mereka, dedikasi mereka yang membolehkan Jepun pulih daripada perang dengan begitu pantas. Jadi, ini ialah tujuan utama mengapa dasar ini diperkenalkan. Objektif ini dapat dirujuk kepada buku “Doktor Umum” tulisan Tun. Dr Mahathir Mohamad yang diterbitkan oleh MPH Publishing pada tahun 2011 pada muka surat 427. Ada juga yang mengatakan dasar ini diwujudkan rentetan daripada Dasar Buy British Last dan perkara ini adalah tidak benar kerana menurut penulis kedua-dua dasar ini mempunyai matlamat yang berbeza.
Bila memperkatakan mengenai Dasar Buy British Last penulis ingin menyentuh sedikit mengenai dasar ini. Dasar Buy British Last yang diumumkan pada Oktober 1981 ialah kempen membeli barang Britain sebagai pilihan terakhir. Kempen ini dilaksanakan atas dua sebab. Pertama apabila kerajaan Britain telah menaikkan yuran pengajian pelajar Malaysia daripada $300 ke $900 yang menyusahkan 13,000 orang pelajar tajaan Malaysia yang belajar di Britain. Apabila Malaysia cuba merayu mengenai kenaikan yuran tersebut Britain dengan bangganya menyuruh Malaysia mencari tempat yang lain bagi pelajar Malaysia. Britain ketika itu memandang rendah pada bangsa Melayu dengan memanggil orang Melayu sebagai “the lazy Malay” dan keduanya ialah isu Guthrie ketika itu milik Syarikat Britain yang memiliki 200,000 ekar ladang getah dan kelapa sawit di Malaysia. Apabila syarikat Britain menjual anak syarikatnya itu kepada parti Malaysian Chinese Association (MCA) ia telah bertentangan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menyasarkan pemilikan 30% orang Melayu terhadap pemilikan syarikat korporat.
Penjualan tersebut telah menyebabkan rasa tidak puas hati dan Tun Dr. Mahathir telah bertindak balas dengan melakukan serang hendap di Bursa Saham Kota London. Pada subuh 7 September 1981, Kota London digemparkan apabila syarikat perladangan Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan antara syarikat terbesar Britain telah jatuh ke tangan rakyat Malaysia dalam masa 4 jam sahaja sebelum pasaran dibuka dan ini amat memalukan pihak Britain.
Kempen Buy British Last ini memberi kesan terhadap ekonomi Britain apabila Malaysia telah mula menghantar pelajarnya ke Jepun yang selari dengan Dasar Pandang ke Timur. Britain ingin berdamai dengan Malaysia dan merayu agar Kempen Buy British Last ditamatkan. Britain telah menghantar Menteri Luarnya Baron Carrington dan Menteri Pertahanan John Notts untuk bertemu dengan Tun Dr. Mahathir tetapi Tun Dr. Mahathir tidak mahu berjumpa dan perundingan ini gagal. Akhirnya, Margaret Thatcher yang dikenali sebagai wanita besi datang sendiri berjumpa dengan Tun Dr Mahathir dan kempen ini telah pun ditamatkan.
Dasar Pandang ke Timur memperkatakan mengenai budaya kita bekerja terhadap organisasi dan seterusnya kepada negara kita yang tercinta ini. Di dalam buku “Made in Japan” tulisan Akio Morita (1988) pengasas Sony Corporation menceritakan bagaimana pada tahun-tahun awal selepas perang pekerja Jepun bersedia untuk bekerja hanya untuk mendapatkan segenggam nasi dan sedikit kicap. Negara Barat pula menganggap ia satu eksploitasi pekerja. Namun, pekerja Jepun sedar bahawa negara mereka miskin ketika itu dan mereka perlu berkorban untuk negara demi membawa negara mereka keluar dari zon negara miskin. Mereka perlu berkorban bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi negara mereka. Akhirnya, negara Jepun berkembang maju dan hampir setiap ceruk di dunia ini menggunakan produk Jepun sebagai mana yang dapat kita lihat pada hari ini dan pekerja Jepun pada hari ini menerima gaji paling tinggi di Asia dan sikap ini antara yang ingin diterapkan dalam Dasar Pandang ke Timur ini.
Akhir sekali sebagai kesimpulan dalam kita memperkatakan mengenai Dasar Pandang ke Timur sama ada berjaya atau tidak saya beranggapan ia masih jauh daripada sasaran dalam usaha membentuk budaya kerja sebagaimana budaya kerja Jepun.
Penulis sebelum ini pernah berkhidmat lama di sektor swasta di dalam dan di luar negara, dapat merasakan perbezaan ini. Sebagai contoh, di sektor swasta luar negara, pekerja yang menerima gaji melebihi RM20,000 mempunyai tanggungjawab yang besar ke arah menjana pendapatan organisasi. Gaji yang dibayar oleh majikan mestilah setimpal dengan sumbangan yang diberikan dan mereka sentiasa bekerja keras untuk itu.
Jarang sekali kita dapat melihat mereka ini balik kerja pukul 4.30 petang untuk bersantai bersama keluarga kecuali seminggu sekali atau mereka mengambil cuti tahunan dan dalam Key Performance Index (KPI) mereka selalu dinilai dari segi pulangan kewangan atau intelektual untuk institusi atau organisasi. Masa mereka tidak banyak dibazirkan dengan menghadiri mesyuarat yang berjam-jam lamanya sebagai helah supaya nampak rajin bekerja.
Dari perspektif Islam pula, Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya. Ini kerana bekerja ialah salah satu cara untuk mencari rezeki. Allah SWT berfirman:
“Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan) maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.“(at-Taubah:105)