Cukai merupakan salah satu kaedah pengurusan dan pengagihan kemakmuran negara. Dengan adanya dasar dan sistem pencukaian yang adil dan cekap, rakyat mampu menikmati kemakmuran dan pembangunan negara dengan saksama. Kutipan cukai diagihkan daripada orang yang dicukaikan kepada mereka yang berhak untuk dinikmati dalam bentuk kemudahan awam dan pembangunan negara. Namun, konsep asal cukai telah mengalami evolusi selari peredaran zaman. Cukai kini menjadi salah satu sumber pendapatan kerajaan dalam menampung perbelanjaan negara dengan berbagai bentuk dan kaedah pencukaian. Evolusi ini perlu dipantau agar tidak berlaku kezaliman dalam dasar dan sistem pencukaian di samping memastikan ia selari dengan roh maslahah yang dianjurkan oleh agama dan telus mengangkat teras kepercayaan dan keadilan.
Transformasi pencukaian yang diperkenalkan oleh kerajaan pada April 2015 ternyata memberi kesan positif kepada pendapatan negara. Berdasarkan Buku Hasil Kerajaan Persekutuan Tahun 2017 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, hasil cukai merupakan sumber tertinggi pendapatan kerajaan iaitu sebanyak 82.2% (berjumlah RM180,580 juta–peningkatan sebanyak 8.1% daripada tahun 2016), bersumberkan hasil cukai langsung sebanyak 55% (iaitu peningkatan 9.3% melibatkan cukai pendapatan, syarikat, petroleum dan lain-lain) dan kadar cukai tidak langsung sebanyak 27.2% (meningkat sebanyak 5.7% dari tahun sebelumnya). Kadar 27.2% ini termasuk unjuran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai penyumbang terbesar bagi kategori hasil cukai tidak langsung kerajaan. GST menyumbang sebanyak RM38.5 bilion bagi tahun 2016 (peningkatan sebanyak 42.5% dari tahun 2015). Manakala anggaran perolehan hasil GST bagi tahun 2017 dijangkakan sebanyak RM40 bilion. Keadaan ini memberi gambaran tentang kejayaan kepada dasar pencukaian baharu. Walau bagaimanapun, kita perlu sentiasa waspada terhadap cukai. Ibn Khaldun dalam bukunya Muqaddimah mengatakan bahawa cukai boleh menggugat keutuhan tampuk pemerintahan.
Oleh itu, dalam sesebuah negara pemantauan indikator-indikator ekonomi semasa sangat penting bagi memastikan keadaan sentiasa stabil. Salah satu indikator penting dalam sesebuah negara adalah inflasi. Malaysia mengalami kenaikan berterusan kadar inflasi bagi bulan Jan-Mac tahun 2017 iaitu masing-masing pada 3.2%, 4.5% dan 5.1%. Inflasi merupakan simptom ekonomi yang kurang sihat terutama bagi negara membangun seperti Malaysia dan perlu diberi perhatian wajar. Inflasi menunjukkan peningkatan harga kumpulan barangan tertentu, menurunnya kuasa beli dan cabaran kos pengeluaran. Di negara lain, kadar inflasi berada pada tahap yang stabil contohnya Amerika Syarikat (bagi tempoh yang sama Januari-Mac 2017) masing-masing dengan kadar 2.5%, 2.7% dan 2.4%, United Kingdom; pada kadar 1.8%, 2.3% dan 2.3%, Singapura; 0.6%, 0.7% dan 0.7% dan Indonesia; 3.49%, 3.83% dan 3.61%. Statistik ini menunjukkan bahawa kadar inflasi di Malaysia telah keluar dari kebiasaan dan perlu digusarkan.
Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar inflasi terkini adalah pada kadar 5.1% pada bulan Mac 2017 (meningkat dari 4.5% pada Februari 2017), menghampiri rekod lapan tahun lepas pada November 2008 (dengan kadar 5.7%). Tumpuan kajian terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) mendapati penyumbang terbesar kenaikan harga barangan adalah segmen Pengangkutan iaitu sebanyak 23% dan barangan makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 4.1%. Berdasarkan statistik ini, ternyata kenaikan kos pengangkutan merupakan penyumbang tertinggi IHP. Kenaikan ini berkait rapat dengan dasar transformasi pencukaian negara susulan keputusan kerajaan menghentikan subsidi bahan petroleum dan pengapungan harga mendedahkan risiko turun-naik harga yang sukar dikawal. Kenaikan kos pengangkutan pada dasarnya memberikan impak berganda (‘domino effect’) meningkatkan kos bagi hampir semua industri lain. Manakala bagi barangan makanan dan minuman bukan alkohol pula, ianya berkadar terus dengan GST. Kedua-dua faktor kenaikan ini menyimpulkan bahawa dasar pencukaian dan pemansuhan subsidi menjadi penyebab langsung kepada peningkatan IHP dan kadar inflasi.
Walaupun ada pihak yang menafikan dan menganggap bahawa cukai bukanlah satu-satunya faktor inflasi, namun alasan ini tidak boleh mengabaikan kajian mendalam dan tindakan bersepadu diambil demi mengekang kesan buruk inflasi dari melanda rakyat. Impak pencukaian sampai kepada pengguna melalui dua cara iaitu bayaran secara langsung caj GST dan peningkatan harga sesuatu barangan berpunca dari peningkatan kos pengangkutan. Kedua-duanya menyumbang kepada kenaikan harga barangan dalam pasaran dan inflasi sebagaimana yang dinyatakan.
Pengguna kurang berkemampuan pastinya terkesan dengan inflasi. Kerajaan dan rakyat perlu bersama-sama memastikan agar apa-apa dasar yang diperkenalkan tidak memberi risiko kemudharatan dan membawa kerosakan (mafsadah) kepada ekosistem ekonomi dan membebankan rakyat seluruhnya. Dalam perspektif ekonomi, kenaikan sewajarnya ditimbal dengan peningkatan nilai tambah barangan atau perkhidmatan. Sedangkan inflasi tidak bersifat demikian malah sebahagian barangan dan perkhidmatan yang tidak berupaya dinaikkan harganya, akan dikurangkan nilai tambah barangan tersebut. Terdapat juga harga barangan dinaikkan ketika berlaku peningkatan kos tetapi tidak diturunkan ketika kos turun.
Sementara pihak yang terbabit mencari jalan mengatasinya melalui rombakan dasar pencukaian, kawalselia monetari atau semakan fiskal, masyarakat perlu juga sedar akan peranan mereka sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan pengguna yang bijak. Usaha ini penting bagi memastikan cukai adalah bersih daripada unsur kezaliman dan penindasan atau apa-apa persoalan ketelusan termasuklah salahguna kuasa, pecah amanah dan ketirisan dalam perbelanjaan agar ia selari dengan syariat. Kempen kesedaran inflasi sifar dan perbelanjaan berhemah perlu digiatkan agar mampu membendung implikasi buruk berpanjangan dalam industri dan ekonomi. Peranan media saat ini sangat penting untuk meningkatkan kesedaran dan kempen agar keseimbangan dan kekukuhan ekonomi kembali stabil dan kemakmuran dapat dinikmati bersama secara adil.