Kita masih lagi berada di bulan pertama tahun baru. Bagaimana perancangan kita dalam menghadapi tahun baru ini? Adakah kita telah mula merancang perbelanjaan ataupun kita mungkin tidak merancang apa-apa sekadar berbelanja sahaja mengikut kehendak hati sehingga ada yang sanggup berhutang demi memenuhi kepuasan hidup.
Pun begitu hari ini ramai juga yang mengeluh bukan berhutang sekadar untuk memenuhi kepuasan hidup malah yang lebih ketara apabila berhutang untuk menampung kenaikan kos sara hidup akibat ketidakcukupan pendapatan isi rumah kesan daripada kenaikan kos barangan, perkhidmatan dan keperluan harian. Peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan isi rumah sudah pasti mengurangkan pendapatan boleh belanja isi rumah.
Malah bagi yang mengharapkan gaji bulanan semata-mata pasti akan berasa terbeban lagi bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Sebagai contoh di permulaan tahun baru ini, jika kita hanya mengharapkan gaji bulanan semata-mata bagi menanggung perbelanjaan persekolahan maka agak sukar bagi kita untuk memenuhi kesemua keperluan anak-anak dalam satu-satu masa.
Keadaan ini kadang-kala memaksa ibu bapa berhutang demi membiayai perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka. Bayangkan pula, bagi sesebuah keluarga yang hanya mengharapkan kudrat ketua keluarga sahaja yang keluar bekerja dibahunya pasti akan lebih berasa terbeban untuk menampung keperluan anak-anak yang semakin membesar untuk memenuhi yuran persekolahan termasuklah yuran pendaftaran, yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yuran kokurikulum dan kurikulum, yuran peperiksaan serta buku dan sebagainya. Malah yang mengejutkan kita apabila ada segelintir ibu bapa terpaksa menanggung kos pendidikan awal sekolah agama yang mencecah sehingga RM600 bagi kemasukan tahun satu sekolah rendah. Ini menyebabkan masyarakat kita kemungkinan berhadapan dengan hutang yang kronik.
Pun begitu itulah situasi yang perlu dilalui oleh masyarakat kita hari ini apabila kecekapan sesebuah ekonomi dilihat melalui sejauhmana kecekapan kita menguruskan kewangan yang membabitkan hutang berbanding urusan kegiatan yang lain.
Begitu juga yang lebih ketara kesan kenaikan kos sara hidup ini yang tidak selari dengan pendapatan isi rumah turut mengurangkan perbelanjaan boleh guna isi rumah. Pendapatan yang diterima sekadar cukup untuk memenuhi keperluan semasa keluarga terutama keperluan asas seperti makanan dan rumah tanpa ada simpanan. Isi rumah tidak dapat lagi membuat simpanan atau pelaburan seperti sebelum ini malah terpaksa berjimat cermat. Malah ada juga terpaksa mengikat perut demi memastikan kelangsungan hidup diri dan keluarga.
Tidak dinafikan suasana ekonomi yang sangat mencabar ini sebenarnya menuntut kita memberi perhatian untuk berdepan implikasi negatif akibat kenaikan kos sara hidup terutama ada yang mula terbeban dengan hutang yang menggugat kebahagiaan keluarga.
Kita sedia maklum apabila peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan isi rumah sudah pasti mengurangkan pendapatan boleh belanja isi rumah dan disebabkan itulah ada yang terpaksa berhutang demi kelangsungan hidup. Ada individu yang terpaksa mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman daripada institusi kewangan yang tidak berlesen bagi menampung ketidakcukupan pendapatan bulanan mereka. Malah ada yang sanggup berhutang dengan ceti haram. Walaupun ada yang tahu berhutang dengan individu yang tidak berlesen seperti ceti haram atau ‘ah long’ akan terdedah kepada ancaman keselamatan diri dan keluarga jika tidak dijelaskan wang pinjaman dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Kos sara hidup yang meningkat ini juga mengundang pelbagai implikasi buruk kepada masyarakat terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah. Akibat ketidakmampuan menjelaskan hutang menyebabkan ada antaranya berasa tertekan dan mengundang kepada simptom tekanan yang memberi kesan kepada psikologi mereka. Antaranya sukar untuk tidur, hilang selera makan, sakit kepala, bimbang, mudah marah dan sebagainya.
Tidak terkecuali kesan kenaikan kos sara hidup turut mempengaruhi aspek sosial. Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan, maka individu tersebut terpaksa melakukan pekerjaan tambahan atau kerja sambilan bagi menampung keperluan perbelanjaan semasa yang tidak mencukupi. Ada individu yang terpaksa melakukan dua kerja. Pertama meneruskan pekerjaan hakiki mereka dan seterusnya melakukan kerja sambilan selepas tamat waktu bekerja.
Disebabkan kesibukan bekerja, terutama dalam kalangan mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak, menyebabkan kekurangan masa berkualiti bersama yang akhirnya turut memberi kesan kepada institusi keluarga. Sekiranya berterusan natijahnya membawa kepada pelbagai masalah sosial seperti perbalahan, penderaan, perceraian dan gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja mereka.
Selain itu, kekurangan masa berehat menyebabkan individu terbabit mudah terdedah dengan pelbagai penyakit mental dan emosi serta tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja hakiki. Akhirnya ini akan memberi implikasi kepada produktiviti di tempat kerja.
Justeru, masyarakat kita perlu dibantu terutama dalam menyediakan mekanisme yang bersesuaian dalam menghadapi ekonomi semasa. Dalam masa yang sama masyarakat juga perlu bijak dalam mengatur perbelanjaan. Pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan untuk keperluan semasa dan kecemasan juga adalah perlu.
Begitu juga diharapkan pihak-pihak tertentu dapat membantu dan menyediakan mekanisme bersesuaian untuk membantu golongan pengguna dalam menghadapi kelangsungan kehidupan seharian mereka.
Pemantauan tegas juga perlu diteruskan ke atas mana-mana pihak yang cuba menaikkan harga barangan tanpa sebab. Pemantauan dan penguatkuasaan ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan hukuman tegas perlu diambil ke atas mereka yang sering mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.
Walaubagaimanapun, keadaan ekonomi semasa hendaklah ditangani oleh isi rumah dengan berbelanja secara berhemat. Jika ada lebihan pendapatan hendaklah disalurkan kepada tabungan. Buatlah perancangan yang baik dan teliti dengan berbelanja mengikut kemampuan bukan mengikut nafsu agar tidak terpalit dengan bebanan hutang yang boleh menggugat kebahagiaan keluarga.