MBI-Pekerja Sesi 2019-2021

Majlis Bersama Institut (MBI)

Majlis Bersama Institut (MBI) diwujudkan adalah sebagai satu saluran dua hala, di mana wakil pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan pihak pentadbiran dalam memberikan idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi berkenaan.

PEGAWAI-PEGAWAI MAJLIS
Pegawai-pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi hendaklah terdiri daripada dan dipilih oleh Pihak Pekerja. Tiap-tiap pihak dalam Majlis hendaklah melantik seorang daripadanya untuk memenuhi jawatan Setiausaha Bersama. Sekiranya Pengerusi tidak dapat mempengerusikan mesyuarat yang telah dijadualkan, maka ahli Pihak Pegawai yang terkanan boleh menjadi Pengerusi Ganti. Naib Pengerusi daripada Pihak Pekerja tidak boleh mempengerusikan mesyuarat dalam apa keadaaan sekalipun.

TUJUAN
Tujuan Majlis adalah untuk memperolehi seluas-luas kerjasama yang menyeluruh antara pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja yang berkenaan serta untuk mengadakan jentera bagi menguruskan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja dan amnya untuk mengumpul berbagai buah fikiran daripada pekerja-pekerja dengan wakil-wakil rasmi IKIM.

BIDANG DAN FUNGSI
Bidang dan fungsi Majlis hendaklah tertumpu hanya kepada perkara-perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Majlis yang mana adalah seperti berikut:
(i) Membincangkan dan memutuskan perkara-perkara berkaitan syarat-syarat bekerja yang ada kaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali semua perkara berkaitan pekerja-pekerja perseorangan. Perbincangan yang bertujuan mengubah sesuatu keputusan dan dasar yang telah ditetapkan adalah tidak dibenarkan;
(ii) Membolehkan pekerja mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab atas perkara-perkara berkaitan kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat sejauh yang berkenaan dengan tugas-tugas mereka;
(iii) Menggalakkan pekerja mengambil bahagian dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapat pengetahuan yang lebih lagi berkenaan pentadbiran IKIM; dan
(iv) Menyediakan kemudahan bagi memperbaiki perjalanan dan organisasi pejabat serta saluran bagi menerima cadangan dan syor-syor daripada pekerja berkenaan perkara ini.

MESYUARAT-MESYUARAT
Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan empat (4) bulan sekali iaitu tiga (3) kali setahun.