Perutusan Pengerusi

TEKS PERUTUSAN YBHG. PROFESSOR EMERITUS TAN SRI DR. MOHD KAMAL HASSAN, PENGERUSI IKIM SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BARU 2023
______________________________________________________________

Bismillahirahmanirohim. Assalamualaikum wth

  1. Pertamanya, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah kurniaan-Nya, kita diberi keizinan oleh Allah SWT menyambut tahun baru 2023 dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera. Alhamdulillah. 
  1. Dalam kesempatan ini, Saya menyeru agar semua warga IKIM dan seluruh pendengar radio IKIM dan penonton TV IKIM, dapat memulakan tahun baru 2023 ini dengan penuh semangat, azam serta iltizam yang tinggi. Semoga tahun ini dan tahun-tahun mendatang sentiasa memberikan peluang untuk kita melaksanakan urusan kehidupan dan pekerjaan dengan berjaya dan cemerlang.
  1. Insyaallah, sama-sama kita doakan semoga kita semua diberikan kekuatan dan keafiatan untuk terus menyumbang demi agama, bangsa dan negara sebagaimana sabda Rasulullah Salallah Alaihi Wasalam menerusi sepotong hadis yang bermaksud, “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
  1. Tahun 2022 menyaksikan sinar yang cerah kerana kita, biarpun bukan secara total, namun boleh dikatakan dapat keluar dari pandemik covid19. Justeru, banyak aktiviti dapat dilaksanakan secara fizikal. Oleh yang demikian, IKIM sendiri dapat melaksanakan hampir 90 peratus program seperti yang dirancangkan. Kita juga dapat melaksanakan beberapa program secara kerjasama dengan pihak luar seperti penganjuran Perbincangan Meja Bulat “Pelaksanaan Konsep Pampasan Dalam Perundangan Malaysia yang dilaksanakan secara kerjasama dengan JAKIM dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Itu satu contoh yang dapat saya nyatakan, bahkan banyak lagi program secara sinergi dan silang agensi dilaksanakan oleh IKIM. 
  1. Disebalik cabaran pandemik covid 19 dan ekonomi yang tidak menentu, saya merasa bersyukur kerana IKIM pada tahun 2022 berjaya merealisasikan peranannya menyampaikan kefahaman Islam melalui penganjuran lebih 30 program, yang mana resolusi penganjuran program seperti seminar, persidangan, meja bulat dan sebagainya diserahkan kepada pihak kerajaan yang akhirnya diharap akan memberi manfaat kepada masyarakat.
  1. Pencapaian IKIM yang lain dapat dilihat melalui penerimaan anugerah dan pegawai-pegawai IKIM yang dilantik dalam pelbagai bidang seperti;
  • Pelantikan Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
  • Pelantikan sebagai Pensyarah Adjung Universiti Teknologi Petronas (UTP)
  • Pelantikan sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Hal Ehwal agama Islam Malaysia (MKI)
  • Pelantikan sebagai Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia; dan pengiktirafan melalui beberapa anugerah seperti;
  • Anugerah Tokoh Utama Maal Hijrah 1444H Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan
  • Memenangi kategori Pengimbang Bunyi Terbaik Anugerah Sri Angkasa anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM)
  1. Saya juga ingin menyatakan bahawa IKIM akan memastikan Pelan Strategik yang telah digubal untuk tempoh 2021–2025 bagi melakar agenda perancangan IKIM dalam mencapai Visi dan Misi yang ditetapkan, selaras dengan dasar dan aspirasi negara di samping memperkasa program transformasi IKIM, mencapai matlamat seperti yang digariskan.
  1. Bagi tahun 2023, Insyaallah IKIM akan memperkasakan aplikasi teknologi digital bagi memantapkan lagi sistem penyampaian kepada masyarakat. Perkara ini dilihat satu pendekatan holistik agar penyebaran kefahaman Islam yang sebenar dapat disampaikan kepada semua pelbagai kelompok generasi di negara ini.
  1. Saya juga ingin mengingatkan diri saya dan para pendengar serta penonton, marilah kita melaksanakan tanggungjawab yang dipukul dengan penuh amanah, jujur dan berintegriti tinggi. Sentiasa berbuat baik sesama manusia, terapkan sifat-sifat mahmudah ke dalam diri sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesan yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah al-Isra’, ayat 7). Semoga perbuatan baik ini akan mendapat ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah SWT. 
  1. Akhir kata, Marilah kita berdoa kepada Allah taala, semoga merahmati kehidupan kita semua dan diberikan petunjuk dan kekuatan untuk menjalankan amanah dengan sebaik mungkin.
  1. Sekian wabillahitaufik wal hidayah. Assalamualaikum wth.