Seseorang itu dipilih sebagai pemimpin kebiasaannya kerana masyarakat melihatnya memiliki karisma tertentu sebagai seorang pemimpin. Karisma berasal daripada kalimah bahasa Inggeris “charisma” yang bermaksud “kemampuan menarik orang lain dan memberi inspirasi” atau compelling attractiveness or charm that can inspire devotion in others. Karisma, walaupun penting dari satu segi kerana ia menampilkan imej yang baik dan positif sebagai pemimpin masyarakat, namun yang lebih utama daripada karisma seseorang itu ialah integritinya. Karisma, lebih kepada penzahiran bakat atau kebolehan semula jadi seseorang sama ada wujud sejak dilahirkan atau melalui latihan-latihan tertentu. Untuk menampakkan kepada masyarakat, seseorang itu mempunyai karisma sebagai pemimpin, tokoh-tokoh politik tertentu biasanya sanggup membayar jumlah bayaran yang tinggi kepada pihak profesional atau dipanggil “perunding imej” (image consultant) agar dapat membina imej yang baik di mata masyarakat supaya memilih mereka sebagai pemimpin. Karisma, hanyalah persepsi masyarakat terhadap individu tertentu dan ia tidak menggambarkan peribadi sebenar individu berkenaan. Dalam memilih pemimpin, Islam tidak menganjurkan melihat kepada karisma, tetapi sebaliknya melihat kepada peribadi seseorang itu. Peribadi, atau akhlak, merupakan aspek terpenting dalam memilih pemimpin kerana ia mencerminkan nilai sebenar yang dipegang dan bukannya kualiti luaran seseorang. Antara akhlak yang dilihat pada seseorang khususnya pemimpin ialah memiliki sifat amanah.
Amanah merupakan salah satu sifat yang penting dalam hidup ini. Lebih-lebih lagi apabila individu berkenaan memegang jawatan yang tinggi dalam pekerjaan atau kerajaan. Sebab itulah, kriteria amanah atau “al-amin” ini disebut dalam al-Qur’an sebagai salah satu kriteria utama dalam memilih pekerja. Allah SWT menyebut dalam al-Qur’an berhubung kisah bagaimana anak Nabi Syuaib mencadangkan kepada ayahandanya agar mengambil lelaki itu (Nabi Musa) AS bekerja dengan mereka kerana katanya Nabi Musa AS itu memiliki dua sifat yang utama bagi seorang pekerja iaitu sifat “al-Qawiy” (gagah/kuat) dan “al-Amin” (amanah). Al-Qur’an menyebut:
“Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata, “Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercayai.”
(Surah al-Qasas : 26)
Apabila ditanya oleh Nabi Syuaib kenapa anak perempuannya berkata sedemikian iaitu memiliki sifat al-Qawiy dan al-Amin, maka salah seorangnya menjawab betapa gagahnya Nabi Musa mengangkat batu besar yang hanya mampu diangkat oleh mungkin 7-8 orang pemuda biasa, itulah sifat al-Qawiy. Adapun al-Amin atau amanah mereka menceritakan dengan terperinci bagaimana Nabi Musa AS begitu amanah ketika dalam perjalanan balik ke rumah, dengan tidak mengambil kesempatan terhadap wanita lemah seperti mereka dengan menyuruh mereka berjalan di bahagian belakang dan bukannya di depan Nabi Musa.
Hari ini kedua-dua aspek itu telah diulas dan dikembangkan lagi oleh pakar-pakar motivasi dan kepimpinan moden sesuai dengan zaman kontemporari kepada konsep yang disebut “hardskills” dan “softskills”. Al-Qawiy atau “hardskill” merujuk kepada kebolehan fizikal seseorang, atau juga kemahiran yang dimiliki, adapun al-Amin atau softskill pula merujuk kepada kualiti peribadi seseorang, iaitu amanah. Rencana ini ingin memfokuskan kepada aspek al-Amin atau amanah kerana di situlah punca kerosakan dan kehancuran yang berlaku dalam masyarakat kita seperti mana yang terlihat kepada berleluasanya kes rasuah, salah guna kuasa dan hilangnya integriti individu hari ini. Dari segi ilmu, kemahiran dan kepakaran, kita tidak mempunyai banyak masalah, tetapi apabila sampai kepada persoalan integriti individu, di situ kita sering kecewa.
Jika kita mengimbau “Al-Amin” ini sebenarnya gelaran yang diberikan oleh masyarakat Jahiliyyah kepada Baginda SAW ketika Baginda belum dilantik menjadi Rasul lagi. Betapa masyarakat pada masa itu begitu yakin dan percaya kepada kejujuran dan amanah Baginda SAW dalam setiap perkara. Mereka percaya kepada Baginda SAW untuk menjadi pendamai atau hakim dalam perselisihan atau perbalahan; mereka percaya kepada Baginda untuk menjaga harta benda jika mereka bermusafir keluar dari kota Mekah. Begitulah amanahnya Baginda SAW.
Kita baru melepasi bulan Ramadan, bulan yang sebenarnya melatih diri kita agar menjadi amanah dalam hidup. Mengapakah dikatakan bulan amanah? Kerana dalam bulan ini kita sebenarnya boleh makan dan minum dan lakukan apa sahaja di belakang orang, tanpa diketahui sesiapa pun tetapi kita tidak lakukan semua itu kerana kita tahu ia akan membatalkan puasa kita — walaupun yang akan menghukum batal atau tidak puasa itu bukannya manusia tetapi di sisi Allah SWT. Kita menjadi orang yang amanah, kerana kita sedar walaupun tiada orang melihat, tetapi Allah SWT sentiasa melihat kita. Pada bulan puasa kita begitu amanah sehingga kita tidak akan berbuka selagi tidak yakin masuk waktu Maghrib.
“Al-Amin” yang juga membawa maksud “amanah” ini sebenarnya berasal daripada kalimah Arab yang sama iaitu “alif-mim-nun” juga membawa maksud “aman” iaitu selamat. Apakah yang aman dan selamat itu? Selamat harta benda, selamat tubuh badan, selamat maruah, bahkan selamat serba serbi. Malangnya hari ini, amanah yang diberikan kepada sesetengah pemimpin, ahli politik, penjawat awam, swasta atau individu tertentu agar selamat harta benda, wang rakyat/negara/syarikat telah dikhianati mereka. Rasuah sudah menjadi meluas dan merata semacam penyakit COVID-19, endemik rasuah negara dari atas sehingga ke bawah. Dari sekecil-kecil pangkat individu kepada sebesar-besar. Mereka tiada integriti.
Masyarakat kita gemar menggunakan istilah “integriti” yang sebenarnya berasal daripada kalimah Inggeris “integrity”. Integriti hanyalah sekadar istilah baharu diguna pakai dan ia bukanlah satu konsep yang luar biasa atau kompleks. Sejak lebih 1400 tahun dahulu lagi Islam sudah menekankan tentang integriti walaupun tidak dipanggil integriti tetapi dipanggil “amanah”. Nabi Muhammad SAW diutus dengan salah satu sifat Baginda SAW iaitu “Amanah” selain daripada “Siddiq”, “Tabligh” dan “Fatanah”. Benar, integriti bukan sekadar amanah sahaja, ia merangkumi juga nilai-nila murni lain tetapi nilai utamanya adalah amanah.