Sepertimana tahun-tahun yang lalu, 1 Mei disambut di seluruh dunia sebagai Hari Buruh Sedunia, dan tidak terkecuali Malaysia yang turut meraikannya saban tahun. Di Malaysia sambutan Hari Pekerja ini boleh diertikan hanya sebagai hari cuti umum untuk para pekerja di samping beberapa aktiviti yang berkaitan dengan tuntutan hak-hak pekerja. Suatu ketika dahulu para pekerja hanyalah bekerja untuk mendapatkan sesuap nasi untuk menampung hidup, tetapi kini dengan pelbagai tuntutan yang telah dibuat hak-hak pekerja nampaknya sudah semakin terbela walaupun tidak sepenuhnya.. Namun hakikatnya ialah walau bagaimana hebat suara yang dilaungkan untuk hak-hak pekerja, yang lebih tertonjol ialah usaha untuk meningkatkan ekonomi, kerana era sekarang sudah dianggap sebagai era peperangan ekonomi. Perniagaan adalah peperangan, dan begitulah semangat yang mendominasikan dunia ketika ini.
Oleh hal yang demikian orang semakin berminat untuk mengkaji faktor-faktor yang boleh memecut perkembangan ekonomi sesebuah negara. Maka dalam konteks ini juga agama sudah dilihat sebagai antara faktor pendorong perkembangan ekonomi dan ianya mula mendapat perhatian dari para cendekiawan. Mereka rata-rata mahu membuktikan bahawa agama mempunyai peranan yang amat menentukan dalam pembangunan ekonomi. Kalau suatu ketika dulu Max Weber telah cuba mengaitkan adanya hubungan antara ajaran etika Kristian Protestan dengan semangat kapitalisme di Barat, kini perhatian orang lebih menumpu kepada peranan agama-agama di Asia Timur.
Dekad kebelakangan ini kita sedang menyaksikan kebangkitan kuasa-kuasa ekonomi di rantau sebelah sini, terutama Jepun yang sudah mula dirasakan sebagai negara saingan Amerika. Imej ‘workaholic’ bangsa Jepun dan kejayaan perindustriannya telah menarik minat para sarjana yang ingin mendapatkan jawapan tentang apakah kekuatan-kekuatan maknawi di sebalik kebangkitan ekonomi perindustrian Jepun yang begitu hebat itu. Seorang peneliti bangsa Jepun sendiri, Yamamoto Shichihei telah mengemukakan Zen Buddhism sebagai faktor penting kebangkitan tersebut. Sementara itu Ezra S. Vogel pula dalam bukunya The Four Little Dragons: The Spread of Industrialization in East Asia telah mengemukakan Konfusianisme sebagai kekuatan yang menjadi dasar kepesatan industrialisasi di Jepun yang kemudiannya diikuti oleh Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Hong Kong.
Walau apa pun pandangan yang telah dikemukakan, yang jelas ialah adanya kesepakatan tentang peranan keagamaan sebagai faktor pemecut kemajuan ekonomi. Agama dapat memberikan rangsangan kepada budaya kerja yang berupa motivasi dan nilai kudus kepada kegiatan ekonomi. Yang dimaksudkan dengan budaya kerja yang kudus itu ialah pegangan nilai, semangat, kepercayaan dan idealisme yang membentuk budaya dan watak sesuatu bangsa. Maka dalam hubungan ini umat Melayu-Islam di negara ini yang bercita-cita untuk menjadi masyarakat perindustrian yang serba maju harus dapat memanfaatkan budaya kerja yang jauh lebih kudus dan hebat yang sememangnya wujud dalam ajaran Islam itu sendiri.
Untuk memahami budaya kerja dalam Islam kita harus bermula dengan memahami erti hidup itu sendiri yang merupakan suatu persaingan kecemerlangan amal atau kerja seperti yang telah dinukilkan oleh al Quran surah al Mulk, ayat 2 “…ayyukum ahsanu ‘amala – siapa di antara kamu yang terbaik amalannya.” Dan sememangnya hidup ini harus diisi dengan amal-amal soleh sebagai pembuktian iman kepada Allah SWT. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyebut iman bergandingan dengan amal soleh. Di mana istilah as-saalihat yang biasanya diterjemahkan sebagai amal soleh itu adalah meliputi segala kegiatan yang membawa kebaikan duniawi dan ukhrawi, kerohanian dan kebendaan.
Bagi orang Islam, setiap saat dari kehidupan duniawi yang terbatas ini adalah amat berharga untuk diisi dengan amal, kerana kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat ditentukan oleh amal. Malah umat Islam tidak perlu memilih sengsara dan derita di dunia untuk bahagia di akhirat. Bukankah agama Islam itu mengajar kita untuk berusaha mendapatkan kedua-dua kebahagiaan iaitu hasanah fid-dunya (kebaikan di dunia) dan hasanah fil-akhirah (kebaikan di akhirat). Inilah menjadi asas untuk kita umat Islam bekerja keras membina kehidupan yang baik dan bahagia di dunia sebagai persediaan untuk menghadapi kehidupan yang kekal abadi di akhirat.
Memang tidak dinafikan bahawa kehidupan duniawi ini hanya untuk sementara, dan kehidupan akhirat itulah jua yang kekal abadi. Tetapi nilai amal duniawi yang sementara inilah yang akan menentukan kehidupan ukhrawi yang abadi itu, seperti yang telah diingatkan oleh Allah SWT. dalam surah az Zukhruf ayat 72: “Dan itulah syurga yang dianugerahkan kepada kamu hasil dari apa yang dahulu kamu kerjakan.” Begitu juga dengan peringatan Allah SWT. kepada hamba-hambaNya: “bahawa manusia tidak akan mendapat apa-apa melainkan apa yang ia kerjakan” – surah an-Najm ayat 39. Semua peringatan ini memperlihatkan kepada kita bahawa hidup ini mestilah disertakan dengan kerja keras bagi membina hidup yang baik, selesa, dan sempurna selain dari diredhai Allah, dan bukannya hanya sekadar berdoa tanpa usaha dengan membiarkan segala urusan duniawi kita diurus dan ditentukan oleh orang lain.
Oleh itu, motivasi untuk bekerja keras kepada orang Islam adalah didorong daripada agamanya sendiri, bukan kerana tekanan dari majikannya atau dari sesiapa. Budaya kerja keras dalam Islam adalah digerakkan oleh motivasi dari dalam dirinya sendiri yang berupa rasa tanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah. Apa yang diharapkan dari pelaksanaan tugas kehambaan dan kekhalifahan itu ialah keredhaan Allah, dan keredhaan Allah itu pula hanya akan diperolehi jika kerja-kerja itu dilakukan dengan ikhlas dan sempurna. Dengan kesedaran bahawa Allah melihat segala yang dikerjakannya, seorang Muslim akan memaksimumkan kemampuannya bagi memastikan kerja-kerjanya adalah yang terbaik dan berkualiti. Hasil daripada kerja-kerja yang dilaksanakan dengan semangat yang sedemikian itu akan membawa kepada produktiviti yang maksimum yang faedahnya bukan sahaja kepada individu yang bekerja keras tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Mengimbas kembali kepada tuntutan agama seperti membayar zakat, menunaikan haji dan memberi sedekah, memberikan satu gambaran kepada kita bahawa setiap orang Islam itu perlu memiliki kekuatan ekonomi untuk berupaya menunaikan tanggungjawab keagamaan ini. Dan orang Islam hanya akan dapat memenuhi tanggungjawab keagamaannya dengan sempurna jika ia mempunyai kemampuan ekonomi. Dan kemampuan ekonomi ini pula datang dengan usaha dan kerja keras dalam kerangka budaya kerja sihat yang datangnya juga daripada rangsangan hidup beragama. Begitu juga dengan tanggungjawab membela golongan miskin menerusi zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya hanya mungkin terlaksana jika ada kemampuan ekonomi. Demikian juga dengan tugas dakwah dan jihad yang tentunya memerlukan sumber kewangan yang lebih besar.
Maka dengan itu penyertaan umat Islam dalam program pembangunan ekonomi adalah merupakan suatu tanggungjawab keagamaan yang tidak boleh diabaikan. Dalam hubungan ini wajar sekali kita merenung erti dan implikasi dari kisah yang dibawa oleh al-Quran tentang Nabi Yusuf a.s. yang ditampilkan sebagai trouble shooter yang mampu menyelamatkan pembangunan ekonomi negaranya dengan rancangan empat belas tahunnya. Ternyata peranan para nabi dan mereka yang mengikut jejak langkah mereka tidak cuma mengajak manusia untuk beribadat dalam erti kata yang sempit, tetapi juga merancang dan menjayakan program pembangunan ekonomi dan membentuk kekuatan ummah dalam menghadapi isu-isu kemanusiaan.
Oleh hal yang demikian setiap Muslim dan gerakan-gerakan Islam yang mendukung aspirasi kebangkitan semula Islam tidak harus membataskan aktivitinya hanya dalam bidang kerohanian semata-mata, tetapi harus mampu menggilap dan menyegarkan semula budaya kerja Islam, dan harus juga mempunyai sikap yang positif terhadap pembangunan ekonomi. Tidak harus berlaku dalam pemikiran dan gerak-kerja seorang Muslim pertentangan antara ‘budaya kerja’ yang membangunkan wawasan ekonomi dan kekuatan ummah dengan ‘wawasan akhirat.’ Sekiranya ianya wujud, seolah-olah menggambarkan budaya kerja keras yang menghasilkan kesejahteraan kehidupan duniawi terpisah, malah akan mencelakakan kehidupan ukhrawi. Apa yang harus dilakukan ialah penyertaan yang membina dalam program pembangunan ekonomi yang didasari oleh budaya kerja positif yang dijelmakan daripada penghayatan hidup beragama sehingga dapat melahirkan hasanah fid-dunya (kesejahteraan duniawi) yang berlanjutan hingga ke hasanah fil-akhirah (kesejahteraan ukhrawi).