Dalam perkembangan mutaakhir budaya berhibur masyarakat di Malaysia kini, banyak perkara yang mesti dipertimbangkan. Terutama sekali perkara-perkara yang berkaitan dengan kesan buruk budaya berhibur yang keterlaluan sehingga boleh merosakkan seseorang. Begitu juga dengan amalan berhibur yang tidak mempertimbangkan tentang batasan agama, nilai budaya, ketinggian akhlak, serta maruah masyarakat dan negara. Perkembangan ini mengingatkan kita supaya ada satu kawalan supaya budaya berhibur dan bentuk hiburan yang disajikan kepada masyarakat hendaklah diselia-kawal dengan lebih teliti agar ianya selari dengan kehendak agama iaitu yang seimbang dan terdidik dari segi perkembangan akal, rohani dan tubuh badannya.
Perkembangan masyarakat masakini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa bidang seni yang paling diminati dan cepat berkembang ialah seni muzik. Seni muzik juga adalah salah satu cabang kebudayaan. Muzik juga dapat meninggikan pemikiran sesuatu bangsa serta merubah sikap dan budaya hidup ke arah pencapaian peradaban yang bererti. Muzik bukan sahaja alat penghibur tetapi juga sebagai pengantara pembelajaran yang mempunyai kuasa yang tersendiri hingga boleh menukar emosi manusia menjadi sedih, gembira, terharu dan sebagainya. Selain itu seni muzik juga menyalurkan nilai yang pelbagai maksud yang boleh memberi kesan positif dan berguna kepada pembangunan masyarakat.
Tidak ketinggalan juga sejarah muzik di negara kita yang mempunyai latarbelakang yang menarik dan meluas. Lagu-lagu tradisi berbentuk asli, dondang sayang, keroncong, zapin, inang dan seumpamanya telah melalui perubahan dalam masyarakat melayu selama beratus-ratus tahun. Arus perubahan muzik ini juga adalah sama dengan arus perkembangan kesusasteraan dan seni tari serta seni ukir. Ianya bergabung dan selari bergerak dalam ruang lingkup perkembangan masyarakat Melayu keseluruhannya. Di abad ini, khususnya selepas kemerdekaan, di mana ianya bergabung menjadi perkembangan muzik masyarakat Malaysia.
Seni muzik adalah satu bidang kesenian yang kreatif dan mempunyai kesan yang amat kuat dan menyeluruh. Dari lagu kasih sayang boleh ditimbulkan berbagai kesan seperti kasih sayang antara anak dan ibubapa, kasih sayang sesama manusia, malah kasih dan rasa bangga terhadap bangsa dan negara. Dengan gubahan yang menarik, senikata yang menusuk perasaan, lagu dapat digerakkan dengan begitu kukuh, sehingga setiap negara mempunyai lagu kebangsaannya sendiri dan juga setiap generasi mempunyai corak lagu dan iramanya yang tersendiri.
Secara umumnya, muzik dan seni suara adalah merupakan hasil daya cipta yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan gubahan manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.
Budaya berhibur sama ada dalam bentuk bermain muzik atau seni suara pada asalnya ialah satu aktiviti rekreasi yang boleh melapangkan fikiran, menenangkan hati dan perasaan, melupakan kesedihan, bahkan dapat menguatkan kemahuan dengan mematuhi peraturan-peraturan dan disiplin-disiplin tertentu. Persoalan yang timbul sekarang ialah apakah pandangan Islam terhadap amalan hiburan yang diamalkan masa kini?
Bagi kita orang Islam, kita meyakini bahawa agama Islam adalah satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri.
Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu badani tanpa batasan dan sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan di waktu lapang, secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan, bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.
Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin al-As , yang bermaksud: “Wahai Abdullah bin Amr, “Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut.”
Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.
Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani dan rohaninya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya. Malah dalam hubungan kemasyarakatan yang lebih luas, insan yang sihat itu ialah yang dapat memelihara diri dan mampu berada dalam keadaan aman dan damai dalam persekitaran masyarakat, ekonomi dan politik, tanpa perbezaan bangsa dan sebagainya.
Kesihatan jasmani dan rohani serta kesejahteraan masyarakat merupakan sesuatu yang bersepadu dan tidak dapat dipisah-pisahkan. Insan yang sihat badan, roh dan jiwanya berserta yang sihat pergaulannya sahaja yang merupakan insan yang seimbang, mantap dan produktif. Usaha manusia untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah dengan menguasai ketenangan jiwa, kesihatan tubuh badan dan menghindari kekusutan fikiran. Inilah yang ingin dicapai menerusi konsep hiburan dalam Islam.
Jasmani yang sihat akan menjamin kecerdasan otak dan minda, ketenangan dan kematangan perasaan; dan dengan itu terhindarlah segala tekanan dan masalah jiwa dan sebagainya. Kesihatan jasmani dan rohani akan melahirkan akal dan jiwa yang kuat dan kukuh, berdaya saing, kreatif dan pantang menyerah dalam menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Dengan itu juga maka masyarakat akan terselamat dari sebarang kegiatan yang memudaratkan, malah ia akan menjadi insan yang lebih berdisiplin, dan imannya menjadi semakin kuat dan mantap.
Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan sesuai serta selesa dengan budaya tempatan. Berdasarkan kepada fakta sejarah, bahan dan bidang untuk kesenian dalam Islam adalah luas dengan segala kebaikan dan kehalusan seninya. Tetapi adakah masyarakat kita memberi laluan yang sewajarnya untuk perkembangan hiburan tanah air dilahirkan menerusi acuan dan pendekatan Islam?
Sesungguhnya masalah dan perdebatan inilah yang ingin dicari penyelesainya supaya ianya menjadi satu titik tolak ke arah yang lebih bermakna demi mendapatkan keredhaan Allah s..w.t. dalam konteks memenuhi naluri keinginan manusia menerusi hiburan yang terpimpin.