Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur oleh Allah SWT untuk berjumpa bulan Ramadan pada tahun ini, 1438 Hijriah. Syukur kepada-Nya juga bahawa kita telah pun melalui lebih separuh daripada bulan Ramadan dan kini berada di penghujung Ramadan yang mulia. Ia bermakna kita telah pun melakukan sebahagian besar ibadat puasa Ramadan yang wajib termasuk ibadat lain seperti solat fardhu berjemaah, solat tarawih, solat sunat, bangun bermunajat kepada Allah SWT pada malam hari, tadarus al-Quran, berzikir sepanjang hari-hari bulan Ramadan yang telah berlalu.
Bulan Ramadan merupakan satu tempoh masa kita merebut peluang keemasan untuk mencari ganjaran pahala berlipat-ganda melalui amal ibadah. Ini kerana Ramadan merupakan satu bulan yang penuh dengan keberkatan. Ulama tafsir al-Quran, Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa Allah SWT memuliakan bulan Ramadan dengan penurunan al-Quran. Dalam bulan Ramadan manusia diberikan berita gembira. Hadis nabi SAW menceritakan “Apabila Ramadan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan dibelenggu”. Ulama mentafsirkan bahawa pintu-pintu Syurga dibuka sebagai satu rangsangan untuk umat nabi Muhammad SAW berlumba-lumba melakukan ibadat. Pintu-pintu neraka ditutup dikiaskan kepada berkurangannya pelanggaran hukum Allah SWT oleh umat Islam pada bulan ini, manakala Syaitan yang berkeliaran menghasut manusia seperti di bulan-bulan lain kini diikat dan dibelenggu sepanjang Ramadan.
Dalam bulan Ramadan dikurniakan malam Lailaturqadar. Maksud firman Allah SWT dalam ayat 3, Surah al-Qadr “Malam kemuliaan itu (Lailaturqadar) lebih baik daripada seribu bulan”. Seribu bulan jika dinisbahkan sama dengan 83 tahun dan empat bulan. Nisbah ini membawa erti satu malam Laialturqadar lebih baik daripada seluruh umur kita. Malam ini dirahsiakan kehadirannya secara tepat sebagai hikmah kepada umat Islam khasnya untuk berlumba-lumba beribadat.
Nabi SAW menasihatkan umatnya untuk mencari Lailaturqadar pada penghujung 10 malam Ramadan termasuk malam tujuh terakhir seperti sabdanya “Carilah Lailaturqadar di sepuluh malam terakhir, namun jika ia ditimpa keletihan, maka janganlah ia dikalahkan pada tujuh malam yang berbaki”. (Hadis riwayat Imam Muslim). Nabi SAW sendiri menyibukkan dirinya dengan ibadat pada 10 malam terakhir. Baginda SAW turut mengejutkan isterinya untuk bersama-sama beribadat. Ini menunjukkan bahawa ibadat dalam bulan Ramadan perlu dilipat-gandakan oleh umat Islam apatah lagi pada penghujung Ramadan. Nabi Muhammad SAW memberi garis panduan sempurna kepada umatnya untuk mencari rahmat dan keampunan Allah SWT.
Jika kita melihat senario umat Islam di tanahair, ramai yang memenuhi masjid dan surau pada awal Ramadan. Pada pertengahan dan penghujung Ramadan, jemaah akan berkurangan. Jika berkurangan disebabkan jemaah mula meninggalkan bandar untuk pulang ke kampung, maka itu adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Walaupun begitu, jika ia berkurangan kerana menonton televisyen atau teruja untuk menyambut 1 Syawal dengan melakukan perkara lain yang boleh dikesampingkan sementara dahulu, maka ini akan memberi kerugian kepada diri masing-masing.
Masyarakat Muslim mampu melakukan ibadat seperti solat fardhu berjemaah, solat tarawih, witir, iktikaf dan berdoa di mana sahaja mereka berada. Bagi yang pulang ke kampung pada penghujung Ramadan ini, maka mereka boleh memenuhi ruang solat di masjid dan surau bersama orang kampung, paklong, pakcik, paksu dan lain-lain. Bagi yang kekal di bandar, maka boleh teruskan solat tarawih bahkan menyertai program qiam di masjid dan surau. Walaupun bilangan jemaah semakin susut, sebagai bersangka baik kita anggaplah yang tidak hadir itu telah pulang ke kampung. Masyarakat di kampung pula, kita anggaplah mereka yang tidak hadir solat berjemaah kerana ada urusan penting atau ada yang terus beribadat di rumah bersama-sama keluarga, menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Kita teruskan amal ibadat kerana pulangannya nanti akan kembali kepada kita dalam bentuk ganjaran pahala, mentarbiah diri untuk menghadapi bulan-bulan berikutnya sehingga datang lagi Ramadan pada tahun hadapan. Kita perlu istiqamah merebut peluang yang dihamparkan Allah SWT dalam bulan Ramadan ini.
Masyarakat perlu muhasabah diri tentang kehebatan dan keberkatan bulan Ramadan untuk mereka terus istiqamah beribadat. Sebagai contoh ganjaran untuk mereka yang solat Isyak dan Subuh berjemaah mendapat ganjaran amal seluruh malam berkenaan. Ini seperti sabda nabi SAW “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh berjemaah pada waktu malam, maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud). Amalan beriktikaf dengan duduk di masjid melakukan ibadat kepada Allah SWT adalah Sunnah nabi Muhammad SAW dan berpotensi berjumpa dengan malam Lailaturqadar. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, Abu Hurairah berkata; “Nabi SAW selalu beriktikaf pada setiap 10 hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari”. Berdoa mencari maghfirah dan rahmat Allah SWT apatah lagi pada malam Lailaturqadar mempunyai kelebihan dan ganjarannya tersendiri.
Untuk istiqamah melakukan ibadat khasnya dalam bulan Ramadan ini memerlukan kepada niat yang betul iaitu ibadat dilakukan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata, kesungguhan diri melawan hawa nafsu sehingga amal ibadat dapat dilakukan atas manhaj yang betul dan amal ibadat tidak dipandang remeh serta tidak melampau-lampau sehingga menganggu kesihatan diri. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, yang suka mengampun maka ampunilah kami, Amin.