Manfaat dan mudarat ketum terus menjadi polemik dalam masyarakat hari ini. Walaupun dari satu sudut, ketum mempunyai nilai perubatan, wujudnya kebimbangan tentang kemudaratannya yang boleh memarakkan kebejatan sosial akibat daripada penyalahgunaannya.
Polemik kontemporari ini perlu dilihat secara holistik dan tidak bersifat mengikat serta menghukum. Ini kerana dalam kerangka fiqh perubatan dan sains perlu mengambilkira kedinamikan sesuatu sumber yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Walau bagaimanapun, pertimbangan penyelesaian menurut perspektif Islam perlu diutamakan. Malah perlu ada langkah ke hadapan untuk memanfaatkan sumber anugerah Allah yang terdapat di negara kita.
Dalam hal ini, kesemua pihak yang terlibat perlu mengambil sikap berhati-hati dalam mempertimbangkan keseimbangan risiko dan manfaatnya. Dari satu sudut, ketum menyumbang peranan besar dalam perubatan untuk dijadikan sebagai ubat bagi rawatan ketagihan dan ubat bersifat analgesic mengikut amalan tradisi. Namun, dari sudut yang lain, ketum juga boleh menyebabkan penyalahgunaan, mempunyai gejala ketagihan, gangguan emosi dan akan menyebabkan kerosakan akhlak.
Penyalahgunaan ketum akan menyebabkan gejala ketagihan menjadi punca kepada polemik ini berterusan. Ramai yang telah terjebak dengannya, khususnya golongan muda-mudi yang dikaitkan dengan gejala sosial. Kebergantungan kepada air ketum menjadi punca kepada ketagihan berlaku apabila pengambilannya secara berterusan untuk tempoh panjang dan dalam kuantiti yang banyak. Kebergantungan dan ketagihan ketum memberi kesan kepada aspek fisiologi dan psikologi. Fisiologi dilihat dari sudut pertimbangan toleransi individu yang terganggu dan simptom withdrawal yang dialami manakala aspek psikologi dinilai daripada gangguan kawalan otak yang disebabkan oleh penggunaan bahan tersebut.
Mitragynin merupakan alkaloid yang paling banyak terdapat dalam daun ketum. Sebatian tersebut akan mengikat reseptor ketagihan dalam otak yang akan mengubah struktur serta fungsinya, seterusnya memberi rangsangan terhadap aktiviti sosial seseorang. Ini menyebabkan seseorang itu menjadi khayal dan akan menjejaskan fungsi ingatan dan produktiviti kerja. Lebih merisaukan lagi sekiranya ketagihan tersebut hanya akan menambahkan bentuk ketagihan yang baharu kepada penagih dadah yang sedia ada. Air ketum boleh memudaratkan kesihatan sekiranya dicampur dengan bahan lain dan boleh menyebabkan perubahan sikap individu menjadi lebih agresif dan cepat marah. Penyalahgunaan air ketum ini menyebabkan masalah ketagihan golongan muda khususnya membabitkan pelajar sekolah semakin serius.
Islam melihat situasi ketagihan individu terhadap ketum atau bahan substantif yang lain adalah disebabkan hati yang sakit akibat daripada akal fikiran yang tidak boleh mengawal hawa nafsu. Dan ini akan mendorong individu untuk memudaratkan diri sendiri seperti mana dalam firman Allah menerusi surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
Oleh itu, kesan utama yang dibimbangi daripada ketagihan ketum ialah membawa kepada kerosakan fungsi otak dan akal. Ia juga mendatangkan masalah sosial yang lain termasuk keruntuhan moral dan akhlak seterusnya merosakkan institusi keluarga. Keruntuhan institusi tersebut sudah tentu akan membawa kepada permasalahan sosial lain yang lebih serius. Oleh itu, polemik ini dilihat membabitkan pertimbangan maqasid syariah dalam aspek pemeliharaan akal, jiwa dan keturunan.
Disebabkan oleh ancaman penyalahgunaan ketum yang semakin menular dalam kalangan generasi muda, negeri Kedah, Perlis dan Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa tentang pengharaman ketum. Dalam hal ini, aspek pencegahan sebelum parah adalah lebih baik daripada merawat. Fatwa seharusnya meningkatkan kesedaran berhubung penyalahgunaan ketum dan memberi gesaan kepada pelbagai pihak untuk bertanggungjawab dalam membantu menangani masalah ketagihan. Sekiranya tahap kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan ketum semakin meningkat, masyarakat lebih berwaspada untuk mengelakkannya.
Dalam usaha merawat masalah penagihan dadah, masyarakat masih memerlukan rawatan alternatif disamping pemulihan secara kaunseling. Kajian menunjukkan ketum berpotensi untuk merawat ketagihan dadah dan kemurungan. Maka, potensi ini perlu dilihat sebagai peluang untuk menghasilkan rawatan ubatan seiring dengan pembangunan dalam bidang bioteknologi dan farmaseutikal dengan pengawasan pakar yang bertauliah.
Oleh itu, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak lagi penyelidikan bagi merawat ketagihan termasuk penggunaan ketum. Peluang tersebut tidak harus dilepaskan hanya disebabkan ada pihak yang menyalahgunakannya. Ia merupakan salah satu usaha meningkatkan ekonomi negara dan menggalakkan kajian saintifik bagi mendapat manfaat perubatan dalam memperbaiki status kesihatan masyarakat. Langkah ini juga menepati elemen pemeliharaan harta dan jiwa dalam kerangka maqasid syariah yang telah digariskan dalam Islam.
Dalam konteks membuat perancangan untuk bergerak ke hadapan, penekanan terhadap aspek kepentingan maqasid perlu dititikberatkan. Justeru, perlu ada langkah pengawalan yang berkesan dan menyeluruh melalui pendidikan serta pencegahan, dan dalam masa yang sama perlu mempelbagaikan strategi untuk memanfaatkan sumber herba yang hidup subur di negara kita.
Aspek pencegahan dalam penyalahgunaan ketum melalui pendidikan di sekolah-sekolah dan di media arus perdana harus dipergiatkan. Pihak sekolah, ibu bapa, guru, pentadbir, pihak kerajaan dan NGO perlu lebih proaktif dalam meningkatkan kesedaran dan kepekaan tentang kebejatan yang berlaku akibat daripada penyalahgunaan ketum dalam kalangan anak-anak remaja.
Di samping menangani cabaran penyalahgunaan, usaha yang lebih sistematik amat diperlukan bagi melihat prospek sumbangan ketum dalam dunia farmaseutikal. Ini termasuklah dengan adanya undang-undang pengawalan penanaman dan penggunaan ketum untuk mengelakkan penyalahgunaan, hak paten serta regulasi ubatan dalam memastikan ketum boleh dikaji dan dijadikan ubat.
Justeru, pendekatan bersepadu perlu dilaksanakan secara lebih holistik oleh semua pihak dengan mementingkan keperluan menjaga perkara asas dalam maqasid syariah di samping perlu memahami untuk meletakkan pertimbangan yang betul antara Daruriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat. Dalam isu ketum ini, matlamat utama adalah menjaga kemaslahatan ummah. Oleh itu, pertimbangan tentangnya tidak hanya melihat dari satu sudut sahaja dan menafikan sisi kebaikan lain yang sedia ada.