Minggu lalu berakhir dengan pelbagai kisah dan isu. Kisah atlet paralimpik, Mohamad Azlan bin Mat Lazim yang terkorban dalam nahas jalan raya mencuit perasaan. Usia muda sewaktu hayatnya dimanfaatkan untuk menghargai dan membalas jasa serta pengorbanan ibu dan bapa. Meskipun beberapa impian besar lagi mulia tidak terlaksana namun niat suci itulah yang kekal menjadi kenangan dan dinilai seadilnya oleh Yang Maha Mengurniakan ganjaran. Tidak keterlaluan jika dikatakan Azlan menjadi antara contoh terbaik bagi golongan muda. Dizahirkannya teladan bagaimana selayaknya kedua-dua ibu bapa diberikan layanan dan sanjungan.
Betapa ramai anak muda yang memiliki kesempurnaan, sama ada dari sudut fizikal mahupun yang lainnya, namun tidak pula berdaya melakukan atau mencontohi perbuatan Azlan. Sebaliknya ibu bapa diabaikan atau dipinggirkan, malah dilupakan sama sekali. Keluhuran akhlak Azlan tentunya merupakan hasil didikan kedua-dua ibu bapanya. Anak yang kenal akan tanggungjawab dan sedar akan nilai budi terhadap ibu bapa pasti diasuh dengan nilai-nilai akhlak mulia sejak kecil lagi. Dengan kata-kata lain, ibu bapa yang berhasil melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna akan berjayalah pula membentuk diri dan jiwa anak-anak. Maka dewasalah mereka menjadi insan yang bukan sahaja berbudi kepada ibu bapa bahkan juga kepada agama, bangsa, dan negara. Persoalan tentang tanggungjawab keibubapaan, nilai-nilai kekeluargaan, dan asuhan serta didikan ini sentiasa sahaja mendapat tempat dalam perbahasan umum. Maka apabila timbul baru-baru ini, isu merotan anak dan cadangan hukuman terhadap ibu bapa yang mengakibatkan kecederaan terhadap anak mereka, ia pantas sahaja mendapat reaksi pelbagai pihak.
Kita dapat merumuskan bahawa kesilapan dalam memberikan penekanan terhadap isu sebenar telah menyebabkan timbulnya kekeliruan dan bantahan besar dalam isu berkenaan. Memetik pandangan ilmuwan tempatan, seharusnya larangan mencederakan yang diberikan penekanan dan bukannya merotan. Merotan hanyalah merupakan medium untuk mendidik dan rotan sebagai alatnya. Sementara mencederakan atau mendera merupakan hasil daripada penggunaan rotan secara ekstrem. Perbuatan melampau ini dikaitkan pula dengan sifat buruk seperti panas baran dan ganas yang dimiliki oleh individu yang menggunakan rotan tersebut, sama ada ibu bapa, guru atau sesiapa sahaja. Perbuatan keji ini bukan sahaja ditolak oleh agama tetapi juga nilai-nilai sejagat. Sekiranya perbuatan keji ini berlaku atau berleluasa, maka merotan sebagai salah satu bentuk hukuman yang sememangnya perlu dilaksanakan, tidak harus disalahkan. Namun yang perlu diberikan perhatian dan ditangani ialah keganasan dan kezaliman yang dilakukan.
Jika diteliti Hadith yang menerangkan pelbagai pendekatan untuk mendidik anak-anak kecil melazimi ibadah, jelas bahawa hukuman hanya menyusul sesudah bimbingan dan panduan sempurna serta nasihat berguna diberikan kepada mereka. “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka (kerana meninggalkannya) ketika berusia sepuluh tahun serta pisahkanlah tempat tidur antara mereka (lelaki dan perempuan).” (Abu Daud) `Ulama’ Hadith menjelaskan bahawa anak-anak tidak boleh dikenakan hukuman atau dipukul seandainya nasihat, seterusnya peringatan dan kemudiannya, amaran lebih keras tidak diberikan terlebih dahulu. Hal ini dengan mengambil kira bahawa anak-anak bukan semata-mata makhluk berjasmani. Mereka juga memiliki akal, roh, dan jiwa yang harus ditangani dengan bijaksana. Seandainya roh dan jiwa mereka dibelai dengan kasih sayang, akal pula diteguhkan dengan pujukan, nasihat, dan peringatan yang menginsafkan, maka akhlak mereka dapat dibentuk dengan baik. Dengan yang demikian juga, hukuman seperti merotan jarang-jarang atau tidak sama sekali dilaksanakan terhadap mereka.
Jelaslah bahawa hukuman, iaitu merotan merupakan jalan terakhir yang boleh diambil untuk memastikan anak-anak melaksanakan perkara fardu atau meninggalkan kemungkaran. Ia bukan sama sekali langkah terawal atau pula satu-satunya pendekatan yang diambil untuk menyemai nilai atau disiplin tertentu. Malah, dalam situasi hukuman dilaksanakan, hanya bahagian tertentu tubuh sahaja yang boleh dipukul atau dirotan oleh ibu bapa, guru atau selain mereka. Demikian pula dengan bilangan pukulan yang tidak melebihi tiga kali , sebagaimana ditetapkan `ulama’ Hanafi, Maliki, dan Hanbali. Semuanya ini menunjukkan hukuman dilaksanakan dengan matlamat yang baik dan luhur. Kebajikan, perlindungan, dan kemaslahatan anak-anak kekal merupakan keutamaan syarak.
Diukur dari sudut budaya, merotan juga telah menjadi sebahagian resam masyarakat negara ini sejak zaman-berzaman. Kesakitan ditimpakan atas anak-anak dalam batas-batas yang dibenarkan bagi tujuan mendidik. Ketegasan digunakan golongan dewasa buat menyemai nilai-nilai yang luhur lagi mulia dalam diri anak-anak mereka. Sekiranya hari ini, pendekatan pendidikan secara postif termasuk melalui hukuman telah berganti dengan amalan mendera dan menzalimi kanak-kanak, maka penyelesaian segera perlu diusahakan. Pihak-pihak yang berkaitan dan anggota masyarakat sendiri perlu mengambil inisiatif untuk mempelajari prinsip umum pendidikan anak-anak sebagaimana digariskan Islam. Ibu bapa secara khusus amat perlu disedarkan tentang kesilapan besar yang dilakukan apabila mendakwa bahawa mereka diberikan hak oleh agama untuk memukul anak-anak dengan sewenang-wenangnya. Hal ini disebabkan Islam tidak sama sekali menyokong atau membenarkan sebarang perbuatan yang mengakibatkan kecederaan, sama ada dari aspek fizikal mahupun mental terhadap kanak-kanak.
Pada peringkat kepimpinan negara, kita begitu mengharapkan agar sesuatu tindakan yang mahu dilaksanakan diasaskan pada hikmah dan sikap berhati-hati yang tinggi. Kita memaklumi tekanan yang dihadapi negara dalam memenuhi prinsip yang digariskan dalam perjanjian antarabangsa seperti Convention of the Rights of the Child (CRC). Namun pada masa yang sama, sensitiviti dan tuntutan masyarakat tempatan perlu diutamakan. Apatah pula bersandarkan kenyataan bahawa perjanjian atau konvensyen antarabangsa tidak mengikat mana-mana negara, sebagaimana dinyatakan dalam Klausa 5 Vienna Declaration and Action Plan. Bahkan klausa yang sama turut menegaskan bahawa perlindungan hak asasi manusia perlu mengambil kira ciri-ciri kebangsaan dan serantau serta pelbagai latar belakang sejarah, budaya dan agama. Atas asas yang teguh ini, maka kita seharusnya memastikan bahawa prinsip-prinsip agama tidak sama sekali diletakkan di bawah kawalan instrumen antarabangsa. Selain itu, diharapkan juga pindaan baharu yang dilakukan terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 dapat mewujudkan peruntukan yang jelas tentang kedudukan hukuman dalam pendidikan Islam. Peruntukan seumpama ini dapat dimanfaatkan oleh pihak hakim sebagai garis panduan seandainya kes yang berkaitan dibawa ke mahkamah.
Pelbagai bentuk pengajaran diperoleh segenap pihak daripada isu yang timbul ini. Pengajaran yang tidak dimanfaatkan untuk memperbaiki segala kelemahan, kesilapan, dan kecuaian akan hanya mendorong kita mengulangi kesilapan yang sama berulang kali. Justeru berterusanlah kita terperangkap dalam jerat yang serupa. Terkandas dalam muslihat yang sama. Usahlah menjadi tidak ubah seperti pelanduk mahupun balam yang lupa akan jeratnya. Sedang jerat tidak sekali-kali lupa akan mangsanya.