Pembangunan mampan merupakan satu konsep penting dan menjadi agenda pembangunan utama pelbagai negara ketika ini. Ia bukanlah satu usaha baharu tetapi telah mula diperkatakan sejak lebih 30 tahun lepas. Walaupun frasa pembangunan mampan ini mula diperkenalkan pada tahun 1987 iaitu melalui Laporan Bruntland, yang juga disebut sebagai Our Common Future, namun hakikatnya, kesedaran tentang tekanan alam sekitar akibat pembangunan telah berakar umbi sejak era 70-an lagi.
Berdasarkan Laporan Bruntland, pembangunan mampan adalah “pembangunan yang boleh memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.” Tiga perkara yang menjadi keutamaan di bawah konsep pembangunan mampan ini ialah pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan alam sekitar. Ini bermakna, mana-mana negara adalah bebas membangunkan ekonomi negara tetapi hendaklah mengambil kira pembangunan sosial dan pemeliharaan sumber semula jadi negara masing-masing.
Pengenalan konsep pembangunan mampan membuka jalan kepada satu bentuk pembangunan yang bersifat holistik iaitu pembangunan sesebuah negara tidak dikaitkan dengan peningkatan ekonomi semata-mata tetapi kesejahteraan sosial dan alam sekitar hendaklah turut diambil kira. Walaupun dipersetujui dari segi konsepnya, namun secara praktikalnya, setiap negara bebas memilih kaedah atau gerak kerja untuk mencapai pembangunan mampan mengikut acuan negara masing-masing.
Kebebasan yang diberikan ini merupakan satu kekuatan dan kelemahan dalam masa yang sama. Kebebasan itu memberi ruang kepada setiap negara melaksanakan pembangunan mampan mengikut kemampuan masing-masing tetapi kesannya, implementasi pembangunan tersebut berlaku secara perlahan dan hampir tidak dapat direalisasikan matlamatnya. Masalah alam sekitar masih berlaku sama ada di peringkat global mahupun tempatan dan dalam masa sama tekanan sosial seperti kemiskinan, kebuluran dan sebagainya masih tidak dapat dibendung sepenuhnya.
Kelemahan yang ditunjukkan ini akhirnya membawa kepada pengenalan gerak kerja baharu seperti Millenial Development Goals (MDGs) dan terkini, Sustainable Development Goals (SDGs 2030). Walaupun harapan yang tinggi diletakkan kepada gerak kerja yang telah dirancang itu tetapi secara peribadi, penulis berpendapat bahawa usaha terbaharu ini juga tidak diambil serius oleh kebanyakan negara.
Salah satu puncanya ialah kerana gerak kerja yang diperkenalkan itu dilihat hanya sebagai satu wacana bagi sekelompok elit di peringkat tertinggi negara dan ia gagal difahami oleh masyarakat secara umumnya. Jika pembangunan mampan tidak difahami maka bagaimanakah masyarakat boleh melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka untuk memastikan matlamat pembangunan mampan akan tercapai?
Akhirnya, pembangunan mampan kekal sebagai “bahan persidangan” dan tergambar dalam dasar negara semata-mata tetapi pelaksanaan secara berkesan tidak dapat dilihat dengan jelas. Pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya pelaksana dasar serta orang awam, tidak memahami pembangunan mampan dan kekal dengan sikap serta perilaku yang sama iaitu tidak mengendahkan apa yang berlaku kepada persekitaran mereka. Jadi, bagaimanakah pembangunan mampan akan tercapai? Setiap lapisan masyarakat seharusnya sedar bahawa pembangunan mampan tidak akan menjadi kenyataan jika mutu persekitaran terjejas. Seterusnya, apabila mutu alam terjejas maka kehidupan manusia juga akan menerima nasib yang sama.
Justeru, apabila pembangunan mampan ingin dilaksanakan di negara ini, ia seharusnya dilaksanakan dengan lebih baik. Kelemahan sedia ada perlu dikenal pasti dan ditambah baik. Malah, Malaysia boleh menggunakan pendekatan nilai berasaskan agama sebagai sokongan kepada pendekatan sedia ada. Pendekatan berasaskan agama ini juga sebenarnya telah diiktiraf sejak 2002 iaitu melalui World Summit on Sustainable Development (WSSD) di Johannesberg, Afrika Selatan.
Nilai dan adab terhadap persekitaran yang diajarkan dalam agama boleh menjadi input penting untuk mendidik setiap lapisan masyarakat tentang peri pentingnya pembangunan mampan. Sebagai contoh, agama Islam, mempunyai sebahagian besar nilai-nilai universal yang boleh diaplikasikan dalam usaha mencapai pembangunan mampan. Contohnya, nilai keadilan. Nilai tersebut boleh digambarkan melalui ekonomi Islam. Tiga prinsip utama yang ditekankan dalam usaha membangunkan ekonomi Islam ialah pemilikan, pengurusan pemilikan dan pengagihan kekayaan. Dijangkakan bahawa jika ketiga-tiga prinsip ini dapat dipenuhi maka setiap individu boleh memperbaiki kedudukan ekonomi diri dan keluarga serta memperoleh harta dan kekayaan peribadi. Ini memungkinkan mereka memenuhi keperluan asas individu dan seterusnya keperluan sekunder masing-masing. Manakala, Islam juga menekankan kepada perkongsian kekayaan melalui pembayaran zakat , sedekah, wakaf dan sebagainya. Dengan itu, kekayaan tidak hanya terkumpul pada satu tempat tetapi diagihkan sesama ahli masyarakat. Dengan itu, ada individu dan keluarga lain akan dapat memenuhi keperluan asas dan sekunder mereka pula.
Begitu juga nilai ketaatan makhluk kepada Penciptanya. Dalam Islam, nilai ketaatan dilihat melalui konsep tauhid yang mendidik seorang Muslim untuk tunduk-patuh kepada Penciptanya. Tunduk dan patuh ini digambarkan melalui ketekalan seorang Muslim melaksanakan segala ajaran dan tuntutan Islam. Apatah lagi apabila seorang Muslim itu telah dilantik sebagai khalifah Allah SWT maka lebih besarlah tanggungjawabnya. Dia bukan sahaja perlu memikirkan tentang keperluan hidupnya tetapi keperluan hidup makhluk Allah yang lain. Dia juga perlu memastikan bahawa wujudnya keseimbangan (mizan) dalam usaha memenuhi keperluan hidup itu kerana tanpa keseimbangan, kezaliman boleh berlaku. Pendek kata, ketaatan kepada Maha Pencipta sebegini merupakan satu motivasi penting untuk melaksanakan segala tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya.
Dengan itu, sebahagian peranan dan tanggungjawab Muslim di dunia ialah untuk memenuhi keperluan individu lain selain dirinya dan ini merupakan sebahagian daripada keperluan pembangunan mampan. Walaupun makalah ini banyak menyentuh tentang individu dan masyarakat tetapi hakikatnya agenda mencapai pembangunan adalah tanggungjawab semua pihak sama ada pemimpin, ahli perniagaan, pengamal undang-undang, saintis dan sebagainya. Dalam hal ini, pemimpin mempunyai peranan lebih besar apabila perlu menterjemahkan hasil perbincangan berkaitan pembangunan mampan di peringkat persidangan atau polisi kepada masyarakat yang dipimpinnya.