Panji atau bendera mempunyai sejarah tersendiri berhubung kewujudannya. Penciptaannya merujuk pada lambang atau tanda kebesaran yang dibawa semasa perarakan atau peperangan. Ia juga diiktiraf untuk mewakili autoriti, identiti dan kedaulatan sesebuah bangsa atau negara. Walaupun hanya bermula daripada selembar kain atau kulit binatang, tetapi apabila ia dibuat dengan reka bentuk yang tersendiri secara automatik ia akan menjadi wakil kepada negara atau entiti yang memilikinya.
Kalau dilihat dari perspektif sejarah Islam, bendera atau panji bukan sekadar maruah bahkan ia menjadi nadi kepada kedaulatan pemerintahan Islam. Dalam sebuah hadis yang berkaitan dengan Perang Mu’tah, Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada para Muslimin tentang kesyahidan Zaid, Ja’far dan Abdullah bin Rawahah sebelum khabar mengenai kematian mereka sampai. Baginda bersabda, “Zaid mengambil panji (bendera sebagai panglima tentera) dan syahid, kemudian Ja’far mengambilnya dan syahid, dan kemudian Abdullah bin Rawahah mengambilnya dan syahid. Pada ketika itu Rasulullah SAW menitiskan air mata. Baginda bersabda lagi, “Kemudian bendera diambil oleh satu (seorang) ‘pedang’ antara ‘pedang-pedang’ Allah (Khalid al-Walid) dan Allah memberikan kemenangan kepada mereka.” Hadis riwayat al-Bukhari.
Pada hari ini banyak negara di dunia yang menamakan bendera masing-masing, dan ini membuktikan bahawa sesehelai bendera bukan hanya bersifat istimewa, bahkan amat signifikan kepada negara berkenaan. Contohnya The Union Jack mewakili bendera United Kingdom; The Stars and Stripes (Amerika Syarikat); Nisshōki / Hinomaru yang bermaksud cakera matahari (Jepun); dan sudah tentu Jalur Gemilang untuk negara tercinta, Malaysia yang secara rasmi diberi nama pada 26 Ogos 1997 oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.
Jalur Gemilang mengandungi 14 jalur merah dan putih yang sama lebar. Jalur ini dimulai dengan warna merah yang melambangkan keberanian rakyat Malaysia terhadap tanah air. Jalur putih pula melambangkan kesucian. Kedua-dua warna jalur yang berjumlah 14 jalur ini pula melambangkan keanggotaan oleh 13 buah negeri dan satu Wilayah Persekutuan. Bahagian segi empat atau disebut kanton dengan warna biru melambangkan perpaduan rakyat Malaysia. Di dalam kanton mengandungi anak bulan melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan. 14 mata yang ada pada bintang melambangkan perpaduan 13 negeri dan Persekutuan. Manakala warna kuning yang menjadi warna kepada anak bulan dan bintang, melambangkan warna diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-raja Melayu. Empat warna yang terlibat dalam Jalur Gemilang melambangkan keberanian, kesucian, perpaduan rakyat Malaysia dan kemuliaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja sebagai ketua agama dan ketua negeri bagi seluruh negeri di Malaysia.
Malangnya Jalur Gemilang telah melalui beberapa siri insiden yang amat mengecewakan. Pada tahun 2008, 2018 dan 2019 Jalur Gemilang telah dikibarkan secara terbalik. Mungkin sebelum itu lagi sudah ada perlakuan jelek terhadap bendera tanah air cuma disebabkan alat komunikasi dan media sosial tidak secanggih hari ini, maka ia menjadi kes terpencil yang tidak diketahui banyak orang. Lebih malang lagi pengibaran secara terbalik itu ada yang berlaku semasa sambutan Hari Kemerdekaan.
Dalam tahun 2019 juga, media pernah melaporkan berkenaan terdapatnya buku teks yang melibatkan gambar bintang Jalur Gemilang dengan jumlah hanya lima mata sahaja sedangkan jumlah yang tepat ialah 14 mata. Manakala pada tahun lepas iaitu Disember 2024, seorang pemain badminton profesional negara mencetuskan kontroversi apabila memakai jersi dengan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik semasa perlawanan di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024.
Paling terkini adalah pada beberapa hari lepas, sempena lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini bermula 15 April, sebuah akhbar berbahasa Cina telah memaparkan gambar bendera Malaysia tanpa motif bulan sabit di dalam kantonnya, bahkan kedudukan gambar bintang juga tidak begitu tepat. Insiden ini menggambarkan ketidakcaknaan sesetengah pihak dalam mengenali bendera Malaysia.
Seawal pendidikan di tahap prasekolah, anak-anak kita telah pun diperkenalkan dengan Jalur Gemilang. Sebarang aktiviti sama ada yang bersifat formal ataupun tidak formal mesti dipaparkan Jalur Gemilang sebagai penyeri majlis. Maka, amatlah mustahil masih ada warganegara Malaysia yang tidak mengetahui ciri-ciri bendera negara.
Setiap kali berlaku insiden “kecacatan” terhadap Jalur Gemilang, tidak lama kemudian akan menyusul kata-kata maaf, tidak sengaja, masalah teknikal, “saya hanya memakai seperti yang telah disediakan oleh pihak penganjur”, atau seumpamanya. Alasan-alasan ini wajar diambil perhatian agar semua warganegara Malaysia dapat mengenali bendera Malaysia dengan lebih baik.
Penulis bersetuju supaya tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang sengaja memperolokkan bendera Malaysia. Jika semangat patriotik masih amat miskin di dalam jiwa, maka hukuman paling maksimum perlu dikenakan terhadap individu atau pihak yang bertanggungjawab, kerana Jalur Gemilang itu ialah nadi bangsa kita.