Baik dan buruk tutur kata memiliki martabat yang jauh berbeza. Demikianlah al-Qur’an memberikan perbandingan bagaimana perkataan yang baik seumpama pohon yang baik; akarnya teguh, pucuknya menjulang ke langit, dan buah-buahan dihasilkan saban ketika. Sebaliknya perkataan yang buruk ibarat pohon yang tidak berguna, akarnya tercabut dari tanah dan tiada tapak baginya untuk terus tumbuh serta hidup. Perbandingan bermakna daripada al-Qur’an ini dikukuhkan dengan gesaan agar setiap insan sentiasa menuturkan perkataan yang baik (Surah al-Baqarah, ayat 83) dan mengelakkan daripada membicarakan perkara sebaliknya (Surah al-Nisa’, ayat 148). Kita dapat melihat sebagai contoh, Surah al-Hujurat sarat mengandungi larangan tertentu berkaitan dengan tutur kata, bicara, dan kalimah yang dilafazkan. Larangan tersebut merangkumi mencemuh, merendah-rendahkan, mempersenda, menghina, mengaibkan, memberikan gelaran buruk atau mengejek, mendedahkan kesalahan, dan mengumpat.
Kesemua larangan tersebut bertujuan memelihara hubungan dalam sesebuah kumpulan, organisasi, dan masyarakat. Gesaan dan larangan al-Qur’an diteguhkan lagi oleh Hadith-hadith Nabi SAW yang menekankan kepentingan dan kebaikan memelihara tutur kata. Demikian juga sebaliknya, iaitu kesan buruk daripada kegagalan memelihara tutur kata. Keprihatinan terhadap peringatan kedua-dua sumber penting ini mendorong al-Imam al-Syafie r.h. untuk mempertimbang dengan teliti tindakan terbaik apabila diajukan suatu persoalan. Beliau tidak terus memberikan jawapan, malah berfikir sehingga dapat menentukan tindakan yang lebih baik antara menjawab persoalan yang dikemukakan atau sebaliknya.
Jelas daripada penekanan dan larangan berhubung dengan bicara, ia bukan semata-mata merupakan hak atau kebebasan yang dimiliki tanpa dipikulkan tanggungjawab tertentu. Dengan kata-kata lain, tiada pihak yang memiliki kebebasan untuk bersuara dan memberikan pandangan secara mutlak. Kebebasan bersuara perlu dikawal dan dibataskan. Setiap individu perlu mengambil kira dan bertanggungjawab atas tindakannya terhadap pihak lain. Batasan bagi kebebasan bersuara bukanlah perkara baharu. Kini sudah pun wujud undang-undang di negara-negara di dunia yang melarang ucapan kebencian (hate speech), libel and defamation (fitnah), dan Law against Holocaust Denial (Undang-Undang tentang Penafian Holocaust). Undang-undang yang diperuntukkan di 16 buah negara Eropah dan Israel ini menjadikan penafian terhadap pembunuhan (genosid) kira-kira enam juta bangsa Yahudi di Eropah secara sistematik oleh tentera Nazi Jerman pada tahun-tahun 1930-an dan 40-an sebagai suatu kesalahan.
Pada peringkat tempatan, kebebasan bersuara dan bercakap diperuntukkan melalui Perkara 10 1 (a) Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, segelintir pihak memanfaatkan peruntukan ini dengan sewenang-wenangnya. Tidak dipamerkan kesedaran untuk mengimbanginya dengan tanggungjawab agar tidak mengakibatkan kesan buruk terhadap individu, kumpulan atau kelompok tertentu, institusi, bahkan juga negara. Perlu disedari bahawa kebebasan yang diperuntukkan oleh Perkara 10 1 (a) diimbangi oleh sekatan atau batasan yang diperuntukkan melalui peruntukan-peruntukan lain. Perkara 10 (2) misalnya menetapkan bahawa Parlimen boleh mengadakan undang-undang bagi mewujudkan sekatan yang didapati perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan, perhubungan persahabatan dengan negara luar, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan badan legislatif atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah atau perbuatan menghasut untuk melakukan sesuatu kesalahan. Hal ini menunjukkan bahawa di samping kebebasan, undang-undang turut melindungi kehormatan dan nama baik. Jelas bahawa kedua-dua bentuk hak yang penting itu diseimbangkan oleh undang-undang.
Di samping itu, batasan atau sekatan juga dikenakan terhadap anggota masyarakat negara ini dalam bersuara dan menyatakan pandangan turut terkandung dalam beberapa undang-undang yang digubal oleh Parlimen. Antaranya termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Kanun Keseksaan (Akta 574). Dari sudut hukumannya pula, sebagai contoh Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya.
Kebebasan bersuara, berucap, dan mengemukakan buah fikiran kini dilihat semakin luas dengan perubahan besar yang berlaku dalam negara. Namun demikian, semangat keterbukaan yang diamalkan juga kian menimbulkan keresahan sebahagian besar rakyat negara ini. Hal ini khususnya apabila sensitiviti mereka semakin tidak diendahkan. Apatah pula persoalan kebenaran dalam ajaran agama. Sebagaimana diungkap peribahasa Melayu, kata yang benar ditidakkan, rahmat Tuhan dilarikan. Pandangan yang bertentangan dengan nilai- nilai islam dan prinsip-prinsip akhlak berteraskan agama yang menjadi ancaman terhadap institusi kekeluargaan serta kemasyarakatan diberikan ruang serta peluang. Sebaliknya, pandangan yang dikemukakan oleh individu atau kumpulan bagi tujuan perkembangan dakwah Islamiah yang sihat diberikan tekanan serta ugutan.
Harus diingat perbuatan tidak menghormati pendirian, pegangan dan amalan golongan terbanyak yang sudah sebati, merupakan salah satu bentuk provokasi. Provokasi pula sebagaimana disedari umum hanya akhirnya kelak menimbulkan kebencian serta kemarahan. Pada ketika itu, orang ramai akan hilang kepercayaan terhadap pendekatan bertolak ansur yang merupakan rukun penting dalam pembinaan masyarakat ini negara ini sejak puluhan dekad yang lalu. Tidak mustahil apabila semangat luhur tersebut lenyap sepenuhnya, maka tercetuslah keganasan yang amat dibimbangi selama ini.
Kepemimpinan negara tidak harus sama sekali mengambil mudah persoalan keamanan. Kestabilan dan ketenteraman awam tidak selamanya akan berpanjangan. Bahkan menuntut kesungguhan tidak berbelah bahagi dalam mempertahankannya. Justeru, kebebasan yang dinikmati tanpa sekatan sehingga menimbulkan keresahan serta ketidakharmonian perlu ditangani dengan sebaik-baiknya. Peringatan perlu diberikan kepada rakyat umumnya bahawa kebebasan yang dimiliki kekal bersyarat dan bersempadan. Bahawa ia tertakluk pada ajaran agama yang dijunjung Perlembagaan. Tidak juga sekali-kali menodai kecintaan dan kesetiaan kepada raja serta negara. Pun tidak sama sekali mencemari halusnya budi bahasa dan indahnya tatasusila seluruh rakyat umumnya. Selain itu, pihak kepemimpinan negara juga wajar menunjukkan sokongan padu terhadap program-program ilmiah yang dilaksanakan berasaskan hasrat yang tulen, tanpa kepentingan tertentu termasuklah politik. Sebaliknya ia dilaksanakan dengan tujuan menyebarluaskan kefahaman di samping mendapatkan penyelesaian yang bermanfaat untuk segenap lapisan masyarakat. Inilah antara usaha yang dilaksanakan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak awal penubuhannya. Kegiatan yang dijalankan disasarkan untuk memberikan kefahaman berkaitan ajaran Islam yang tepat dan berkesan melalui kaedah semasa yang bersesuaian. Kefahaman yang benar akan membuahkan kesedaran, persetujuan bersama dan kesepakatan yang selanjutnya menghasilkan keharmonian serta kestabilan. Semua elemen penting inilah yang akan membolehkan negara terus teguh, berdaya maju serta mampu mendepani ujian zaman yang semakin mencabar.