Virus SARS-CoV2 yang mengakibatkan pandemik COVID-19 boleh dicegah melalui ikhtiyar suntikan vaksin, sekatan pergerakan dan kawalan jangkitan. Di banyak negara, inisiatif pencegahan tersebut telah ditentang menerusi tunjuk perasaan besar-besaran yang sebaliknya menuntut kebebasan. Analisa untuk Indeks Keamanan Global menunjukkan setakat Julai 2021, terdapat sekitar 50,000 protes yang 5,000 daripadanya melibatkan keganasan. Ini menggagalkan matlamat pencegahan, sebaliknya mengakibatkan menularnya jangkitan yang berpunca daripada para penunjuk perasaan, di samping menambahkan keparahan ekonomi dan tekanan mental mangsa.
Jelas bahawa salah satu punca kegawatan ini ialah konsep kebebasan Barat. Institusi-institusi Barat menyebarkan kebebasan sebagai hak untuk berbuat apa yang seseorang suka dalam masyarakatnya tanpa diseimbangkan dengan ciri tanggungjawab. Sebaliknya dalam Islam, kebebasan merangkum unsur tanggungjawab kepada perintah Tuhan. Justeru Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas merumuskan bahawa kebebasan adalah demi memilih yang lebih baik (ikhtiyar) berdasarkan neraca agama dan akal yang sejahtera.
Dalam karyanya Major Themes of the Qur’an, Fazlur Rahman menjelaskan: “Tanggungjawab dan Hak ialah bahagian depan dan belakang sekeping syiling yang sama; yang satu tak wujud tanpa yang satu lagi.” Sesungguhnya, menuntut hak kebebasan wajiblah berpadanan dengan menunaikan tugas dan tanggungjawab.
Sekadar contoh dalam konteks Malaysia, tuntutan kebebasan untuk para penganut agama mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai perlulah sepadan dengan pengakuan bahawa Islam ialah agama Persekutuan. Penghayatan sebenar Islam sebagai agama Persekutuan melalui institusi-institusinya juga perlu diiktiraf.
Islam bukan satu ancaman, sebaliknya ancaman sebenar ialah ideologi sekularisasi yang menuntut penghapusan penghayatan agama di peringkat negara. Sekularisme menyempitkan peranan agama kepada tahap ibadat perseorangan tanpa sebarang peranan kemasyarakatan.
Fazlur Rahman menyatakan bahawa setelah mempertimbangkan segala-galanya, Islam memberikan keutamaan kepada tanggungjawab lebih daripada kebebasan. Sumber Islam terutamanya al-Qur’an menekankan “tugas” lebih daripada “hak”, tanpa mengorbankan pembelaan hak. Asas etika Islam ialah setiap insan menggalas taklif yang mesti dilaksanakannya sebaik mungkin, bukan sahaja terhadap Tuhan, malahan kepada insan lain meskipun berlainan agama. Bahkan Islam ada mentakrifkan tugas dan tanggungjawab terhadap binatang dan alam sekitar.
Al-Qur’an sangat memberi perhatian kepada pemupukan rasa tanggungjawab yang tinggi. Sifat bertanggungjawab yang menyeluruh mampu menjamin semua hak-hak manusia. Sebaliknya, golongan yang mengutamakan ‘hak’ sebagai keterbukaan mutlak yang serba membolehkan tanpa sebarang larangan (atau permissiveness) atau ‘kebebasan’ tanpa kepatuhan kepada keadilan undang-undang (lawlessness) menempah malapetakanya sendiri.
Golongan permisif sengaja menolak ketetapan Tuhan tentang kebaikan dan kejahatan. Surah al-A‘raf, ayat 179 menempelak kelompok yang “mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (bimbingan Tuhan); memiliki mata, tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kebenaran Tuhan), mempunyai telinga, tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Tuhan)”. Ayat 18 surah al-Baqarah pula mengibaratkan mereka sebagai “tuli, bisu dan buta” tentang apa yang bermanfaat dan apa pula yang memudaratkan.
Mereka menentang agama, lalu al-Qur’an menyifatkannya sebagai “binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai” kerana haiwan hanya mengikut gharizah keinginan tanpa kesedaran moral atau pedoman agama (surah al-A‘raf, 7:179).
Sikap tidak peduli kepada agama dan akal yang sejahtera bukanlah satu “kebebasan”, sementara sikap menghalalkan segala perkara bukanlah “hak asasi”. Martabat Bani Adam lebih daripada sekadar haiwan kerana menggalas tanggungjawab kekhalifahan—dan mereka dikurniakan kebebasan untuk mencapai matlamat ubudiahnya sama ada pada tahap individu mahupun masyarakat, yang keluarga merupakan batu asasnya.
Tanpa pedoman agama, kebebasan bermaksud memburu keseronokan sebagai matlamat utama persis golongan libertine atau hedonis. Bagi pentaksub hedonisme, kebebasan mestilah tanpa sebarang kekangan peraturan yang boleh membantutkan dorongan nafsu. Biarkan tiap manusia hidup dengan kecenderungan masing-masing, meskipun melanggar akhlak atau peradaban. Kebahagiaan seseorang terpulang kepada pendapatnya sendiri; “manusia ialah ukuran segala sesuatu”; kebaikan dan keburukan bersifat relatif, bergantung kepada masa, tempat, individu dan generasi. Mereka keras melawan sebarang ‘gangguan’ agama dalam urusan negara.
Libertine dan hedonis tidak mungkin akan bersetuju dengan agama, yang mengajar bahawa etika adalah berdasarkan keredhaan Tuhan. Bagi mereka peraturan dan kewajiban agama ialah musuh kepada kebebasan. Yang penting ialah kehendak dan kerelaan seseorang, bukan keredhaan Tuhan. Mereka tidak hormat kepada Tuhan; negara, perlembagaan, undang-undang, dan akhlak.
Tetapi jika kebebasan bermakna dorongan nafsu diri tanpa kekangan, kenapa tidak diberi saja kebebasan kepada penculik, perogol, pembunuh dan pengganas? Hakikatnya, kebebasan yang tak bertuhan dan hak asasi yang anti-agama ialah semacam kebebasan haiwaniah dalam hutan belantara. Dalam sejarah, ia mencerminkan pemikiran yang belum mencapai tahap kematangan.
Agama dan akal berperanan mengangkat martabat anak Adam dari tahap haiwaniah ke tahap insaniah, dari kebebasan haiwaniah yang berbuat sekehendak nafsu kepada kebebasan insaniah hakiki yang menunaikan kewajiban taklifnya. Ia berpatutan dengan fitrah, yang sempurna, matang, penuh kesedaran, insaf dan berimankan Tawhid. Tiada kebebasan tanpa kendalian diri rohaniah dan akliah.
Allah membezakan antara golongan pertama, yang melawan peraturan moral sambil terbelenggu dengan hawa nafsu dengan golongan kedua, yang percaya kepada amaran Tuhan lantas merendah diri bimbangkan hukuman dosa. Firman-Nya yang bermaksud, “Adapun orang yang melampaui batas, dan mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya. Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mengawal diri dari dorongan nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya (al-Nazi‘at, 79:37-41). Inilah kebebasan tulen yang menjadi paksi kehidupan beragama, sama ada dalam kegiatan sosial mahupun kerohanian.