Sebagaimana yang kini dimaklumi, PRN bakal diadakan di enam buah negeri pada 12 Ogos.
Dikhabarkan bahawa seramai hampir 9.8 juta orang layak menjadi pengundi dalam PRN tersebut, dengan kira-kira 2.9 juta pengundi atau 30 peratus daripada mereka terdiri daripada kalangan rakyat Malaysia yang berumur di bawah 30 tahun.
PRN, sebagaimana juga PRU, ialah pentas aksi ahli politik dan sekutu mereka.
Kita juga sedia maklum bahawa PRN lazim menjadi medan ahli dan parti politik menabur janji bagi meraih sokongan dan simpati sekaligus mengaut sebanyak mana undi demi memenangi kerusi majoriti dan memastikan bahawa kerajaan “mereka” berjaya terdiri.
Yang menyedihkan, meskipun tidak memeranjatkan, pada hari yang sama dengan pemakluman tentang tarikh PRN tersebut, turut dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan perihal SPRM membuka 156 kertas siasatan berprofil tinggi dari 2020 hingga 8 Jun 2023 dengan lebih 60 peratus daripadanya melibatkan ahli politik.
Yang turut membimbangkan, kira-kira seminggu sebelum tarikh pengumuman PRN itu, lebih tepat lagi, pada awal Julai, tersebar berita perihal kemungkinan amalan rasuah berleluasa dalam kalangan penjawat di Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara, susulan kes penahanan seorang warga asing di salah satu pintu masuk utama negara, iaitu KLIA.
Memang tidak dapat disangkal, bilangan terbanyak ahli politik dan penjawat awam pada pelbagai peringkat di negara kita ini ialah orang-orang Islam.
Semua itu akhirnya membawa perhatian kita kepada peringatan Baginda Nabi Muhammad S.A.W.: “Tanda seorang munafik itu tiga: ketika berbicara, dia berbohong; ketika berjanji, dia mungkir; dan tatkala diberikan amanah, dia khianat.”
Hadis Baginda Nabi itu, dengan beberapa variasinya, memang telah acapkali dipetik, baik dalam tulisan mahupun secara lisan.
Barangkali, dek kekerapan itu, peringatan Nabawi ini akhirnya menjadi penyedap kata dan penghias mata semata-mata, namun kurang berbekas pada akal-budi akibat mati mata-hati, sehingga yang terjadi hanya sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Namun, kita patut menjadikan amaran Nabi itu sebagai intisari agenda utama negara dalam membasmi barah pengkhianatan amanah dalam pelbagai wajah secara menyeluruh lagi lestari.
Sehubungan dengan ini, penelitian yang telah diusahakan oleh Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas hampir 5 dekad yang lampau wajar diketengahkan sebagai panduan teras bagi menjayakan agenda berkenaan.
Hasil daripada pengamatan beliau terhadap hadis berkaitan, beliau berkesimpulan bahawa ketiga-tiga perbuatan keji yang tersenarai itu sesungguhnya bukan tiga tindakan hina yang berlainan jenis tetapi sebenarnya tiga peringkat kemerosotan pekerti buruk yang sama.
Dalam cerakinan beliau, pengkhianatan amanah merupakan barah yang berpunca dari tabiat berbohong yang kemudiannya memburuk menjadi pemungkiran janji.
Dengan kata lain, hakikat kemunafikan ialah penipuan yang membusuk melalui tiga tahap kejatuhan yang dinyatakan secara tepat dan padat oleh Junjungan Besar S.A.W.
Maka, usaha untuk membanteras pengkhianatan amanah perlu merangkum langkah untuk menghukum pembohongan dan pemungkiran janji secara jelas dari atas hingga bawah, meliputi yang dewasa dan yang masih muda, sampai bila-bila.
Sehubungan dengan ahli politik dan pilihanraya, usaha murni yang dimaksudkan itu perlu terhasil dalam bentuk penggubalan akta baharu, atau pengubahsuaian bermakna pada akta sedia ada, yang membolehkan ahli atau parti politik yang menipu, mungkir janji atau khianat dijatuhkan hukuman berat dalam tempoh yang munasabah melalui pendekatan tadbir-urus yang berkesan, mekanisme pendakwaan yang dipercayai, dan sistem penghakiman yang berwibawa.
Malah, sekiranya para pengundi di negara kita ini matang dan bijaksana, sangat wajar bagi mereka untuk menuntut agar usaha di atas itu diisytiharkan secara terus-terusan oleh setiap ahli dan parti politik sebagai janji pilihanraya masing-masing, baik pada peringkat Negeri mahupun pada peringkat Persekutuan.
Ini wajar dimulakan dari PRN 6 negeri terdekat!