Semua orang pernah berjanji tetapi tidak semua akan mengotakan janjinya. Pemerhatian masyarakat Melayu silam akan sikap masyarakat yang tidak mengotakan janji ini membawa kepada peribahasa “Menanam tebu di tepi bibir”. Ia merujuk kepada mereka yang menjanjikan pelbagai perkara manis tetapi kemudian memungkirinya.
Agama Islam amat tegas dalam perkara penunaian janji. Dalam ayat 34, Surah al-Isra’ misalnya, umat Islam diwajibkan menyempurnakan janji mereka terhadap Allah dan manusia kerana sesungguhnya setiap perjanjian itu akan ditanya di akhirat kelak. Ketegasan agama Islam dalam perkara ini dikuatkan lagi dengan larangan keras terhadap perbuatan memungkiri janji di mana mengikut sepotong hadis, orang yang memungkiri janji ditakrifkan sebagai munafiq.
Menunaikan janji amat diutamakan oleh agama Islam termasuklah janji seorang ibu atau bapa kepada anak mereka. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, yang antara lain membawa maksud, sekiranya seorang ibu (atau bapa) berjanji untuk memberi sesuatu kepada anaknya tetapi kemudian tidak menunaikan janji tersebut, maka si ibu atau si bapa tadi dianggap telah memungkiri janjinya.
Sekiranya perjanjian dengan kanak-kanak pun wajib ditunaikan, inikan pula perjanjian dengan orang dewasa, apalagi rakyat jelata.
Sebenarnya, semua ahli masyarakat faham bahawa setiap penjanjian itu wajib ditunaikan. Namun, sama ada ianya ditunaikan atau tidak, bergantung kepada kesungguhan ketaqwaan mereka. Namun, ada satu lagi perkara berkenaan janji yang kadangkala diambil mudah. Perkara tersebut ialah isi perjanjian. Bolehkah kita menjanjikan semua perkara di muka bumi ini? Apakah agama Islam membenarkan kita berbuat demikian?
Sebagai contoh, pengeluar makanan kesihatan yang menjanjikan bahawa pelanggan akan kekal muda selamanya jika mengambil makanan kesihatan tersebut pada setiap hari. Wajarkah janji seperti ini dibuat?
Penaburan janji adalah sesuatu yang lumrah dalam kempen pilihanraya. Pada ketika itu, semua parti siasah menaburkan pelbagai janji demi memancing undi rakyat. Maka, banyak janji manis ditaburkan sepanjang kempen pilihanraya. Tetapi, apakah semua janji manis itu baik untuk rakyat?
Misalnya, akhbar melaporkan bahawa sekiranya parti A menang, tunggakan hutang dan cukai serta bil mungkin akan dilupuskan. Dalam keadaan di mana agama dan shariat Islam mewajibkan umatnya membayar hutang mereka, wajarkah janji-janji seperti ini ditaburkan?
Kepentingan membayar hutang amat jelas dalam agama Islam. Selain menjadikannya satu kewajiban bagi yang hidup, bagi yang telah meninggal dunia pula, hutang-hutangnya perlulah dijelaskan terlebih dahulu sebelum hartanya boleh dibahagi-bahagikan kepada para waris (Surah an-Nisa’, ayat 11). Malah, dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang” (HR Muslim). Ini menunjukkan bahawa urusan membayar hutang tidak boleh dipersendakan sehinggkan para syuhada boleh terhalang dari memasuki syurga akibat hutang yang tidak dilunaskan.
Walaupun agama Islam menggalakkan orang yang memberi pinjaman supaya memberi ruang dan kelonggaran kepada peminjam dalam menjelaskan hutang mereka, tetapi ini tidak membatalkan tanggungjawab peminjam dalam melaksanakan kewajipan mereka membayar hutang.
Janji melupuskan hutang ini tidak wajar dibuat kerana ia bertentangan dengan ajaran agama Islam yang mewajibkan umatnya membayar hutang. Selain halangan agama, janji seperti ini juga adalah tidak wajar kerana ia membuatkan masyarakat umum memandang remeh tanggungjawab mereka terhadap hutang. Ini kerana ia seolah-olah mengatakan bahawa “Berhutanglah… Apa susah? Kalau nasib baik, masa pilihanraya nanti, akan ada janji untuk lupuskan hutang itu.” Iktibar-iktibar seperti ini adalah tidak sihat untuk masyarakat.
Apa pula kesan janji-janji seumpama ini kepada ‘pembayar hutang, pembayar cukai dan pembayar bil yang baik’? Oleh kerana pelupusan hutang seperti ini telah ‘menguntungkan mereka yang tidak membayar’ dan ‘merugikan mereka yang telah membayar’, mungkin ada juga manusia biasa yang pastinya menyesal kerana telah membayar lebih awal. Dalam kerangka ini, bolehkah mereka menuntut semula ‘bayaran’ yang telah dijelaskan itu? Jika tidak, keadaan ini seolah-olah menghukum (merugikan) mereka yang bertanggungjawab terhadap hutang mereka dan sebaliknya, memberi ganjaran kepada mereka yang tidak menjalankan kewajipan mereka. Apakah ini satu perkembangan yang sihat untuk masyarakat kita?