Malaysia kini sedang melangkah ke arah digitalisasi menyeluruh melalui pelbagai inisiatif negara pintar dan transformasi perkhidmatan awam secara dalam talian. Namun, dalam keghairahan mengadaptasi kecanggihan teknologi, warga emas merupakan kelompok yang tidak harus dilupakan. Dalam arus kemajuan ini, wujud satu bentuk ketidakseimbangan baharu yang disebut sebagai jurang digital. Sudah pasti, warga emas menjadi antara golongan yang paling terkesan. Lebih daripada sekadar isu teknologi, jurang yang wujud ini ialah isu kemasyarakatan dan keadilan sosial. Dari sudut pandang Islam, isu ini menyentuh nilai ihsan, tanggungjawab dan maslahah ummah.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara bakal menjadi masyarakat tua menjelang 2030 apabila 15% penduduk mencecah umur 60 tahun ke atas. Statistik terkini pada tahun 2024 menunjukkan seramai 3.9 juta warga emas atau 11.6% daripada 34.1 juta penduduk Malaysia berumur 60 tahun ke atas dan angka ini dijangka terus meningkat. Dalam masa sama, laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan kadar penggunaan internet tertinggi adalah dalam kalangan belia dan dewasa muda manakala warga emas kekal sebagai kumpulan paling rendah dalam celik digital dan penggunaan perkhidmatan dalam talian.
Sebahagian besar warga emas menghadapi kesukaran menggunakan aplikasi digital seperti e-wallet, perbankan dalam talian, permohonan bantuan kerajaan dan platform kesihatan. Cabaran ini menjadi lebih besar bagi warga emas di kawasan luar bandar kerana mereka bukan sahaja berdepan dengan infrastruktur internet yang terhad tetapi juga kekurangan sokongan dan bimbingan daripada ahli keluarga dalam memahami penggunaan teknologi.
Warga emas juga mudah menjadi mangsa kepada penipuan siber seperti penipuan telefon, pelaburan palsu dan penyamaran agensi kerajaan. Keupayaan literasi digital menyebabkan mereka sukar membezakan maklumat sahih dan palsu. Dalam masa yang sama, warga emas turut berdepan dengan isu pengasingan sosial yang semakin ketara apabila pelbagai bentuk interaksi harian kini beralih ke platform digital. Aktiviti seperti urusan perbankan, komunikasi kekeluargaan bahkan pelaksanaan ibadah seperti kuliah agama atau kelas al-Quran yang dilakukan secara bersemuka, kini semakin banyak dijalankan dalam talian. Peralihan ini menyebabkan mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi merasa tersisih daripada kehidupan sosial dan pengisian rohani sekali gus menjejaskan kesejahteraan emosi dan keterlibatan mereka dalam arus perdana kehidupan moden.
Menerusi dimensi Islam, memelihara kebajikan warga emas merupakan suatu amanah besar yang perlu dipikul oleh masyarakat. Sekiranya jurang digital yang wujud menyebabkan golongan ini terpinggir daripada akses maklumat dan kemudahan semasa, ia boleh dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi secara tidak langsung. Hal ini adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dan ihsan sekiranya tidak ditangani secara adil dan berhemah. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
Ayat ini menjadi landasan penting kepada konsep tanggungjawab sosial dalam Islam yang menuntut keadilan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan. Dalam konteks ini, keadilan digital merujuk kepada usaha memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk warga emas diberikan peluang yang saksama dan akses yang setara untuk menikmati manfaat kemajuan teknologi tanpa sebarang bentuk pengecualian atau peminggiran.
Islam juga menekankan penghormatan kepada warga tua sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi yang lebih muda daripada kami dan tidak menghormati yang lebih tua daripada kami.” Sekiranya warga emas terus dibiarkan ketinggalan dalam arus perkembangan digital, maka masyarakat sebenarnya telah gagal menunaikan tanggungjawab sosial untuk memastikan kelompok tersebut turut mendapat tempat dan hak yang sewajarnya sebagai sebahagian daripada komuniti.
Menuntut ilmu tidak terbatas kepada usia. Justeru, warga emas tidak terkecuali dengan tuntutan pencarian ilmu sepertimana sabda Nabi SAW iaitu “menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim.” Golongan tersebut berhak untuk melibatkan diri dalam ibadah dan aktiviti keagamaan walaupun dalam bentuk digital. Oleh itu, usaha untuk memudahkan warga emas mengakses ilmu secara digital termasuk memberi latihan asas teknologi perlu dianggap sebagai satu tanggungjawab bersama masyarakat agar mereka tidak terpinggir daripada pengisian ilmu dan rohani.
Bagi mengatasi jurang digital yang semakin melebar dalam kalangan warga emas, pendekatan yang berteraskan nilai Islam seperti keterangkuman, ihsan dan semangat kekitaan perlu digerakkan secara menyeluruh. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah menyediakan latihan digital mesra warga emas di masjid, surau atau pusat komuniti dengan penekanan kepada penggunaan asas telefon pintar, aplikasi kewangan, kesihatan dan keselamatan siber.
Dalam masa yang sama, penglibatan generasi muda Islam melalui skim sukarelawan sebagai pembimbing digital secara berkala boleh menjadi jambatan antara generasi. Selain itu, pembangunan fiqh teknologi juga penting bagi menyediakan garis panduan yang sesuai berkaitan pelaksanaan ibadah, urusan zakat dan pengurusan data peribadi dalam talian bagi golongan berusia. Pendidikan awam secara berterusan melalui khutbah Jumaat dan ceramah agama turut memainkan peranan dalam membina kesedaran awam agar isu jurang digital ini dilihat sebagai tanggungjawab bersama dan bukan semata-mata isu teknikal yang bersifat terpencil. Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja menjamin keterangkuman warga emas dalam era digital bahkan selaras dengan tuntutan syariah yang menekankan keadilan, kebajikan dan pemeliharaan maruah insan.
Teknologi dalam Islam harus dilihat sebagai rahmat dan bukanlah beban. Ia sepatutnya membawa manfaat kepada semua dan bukan hanya untuk golongan celik digital sahaja. Dalam konteks Malaysia yang menuju status negara maju dan masyarakat tua secara serentak, langkah menyelesaikan jurang digital warga emas bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan syarii dan sosial. Pendekatan yang holistik dan bersifat manusiawi perlu disesuaikan dalam merangka dasar dan intervensi dengan menekankan prinsip kesaksamaan, kesesuaian teknologi dan sokongan berterusan. Suara dan keperluan warga emas dalam era digital ini mesti diangkat dan dilunaskan dengan penuh kasih, hormat dan tanggungjawab. Hanya dengan usaha kolektif yang menyeluruh, Malaysia mampu memastikan warga emas bukan sahaja celik digital tetapi juga sejahtera dan bermaruah dalam arus digitalisasi nasional.