Wanita di sisi Islam sangat beruntung kerana Islam telah mengangkat martabat wanita sejak ia diturunkan melalui Rasulullah SAW. Diskriminasi, penganiayaan dan pengabaian dihapuskan dan diganti dengan pengiktirafan terhadap fungsi wanita dalam semua sistem kemanusiaan. Dari pembina rumah tangga semata-mata sehinggalah kepada usahawan, sarjana ataupun anggota keselamatan dan pertahanan negara.
Sikap dan tindakan Baginda Rasulullah SAW membuktikan bahawa wanita mempunyai kebebasan untuk berusaha memperoleh pendapatan yang selesa, mencari ilmu sebanyak yang boleh, malah wanita boleh diberi amanah untuk melaksanakan sebarang tugas demi kebaikan, manfaat dan kemaslahatan masyarakat.
Sebagai seorang suami, Baginda telah membantu isteri Baginda Sayidatina Khadijah dalam memperkembangkan bidang perdagangan yang telah diusahakan oleh Sayidatina Khadijah sejak beliau belum berkahwin dengan Baginda SAW. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh kegiatan perdagangan tersebut menjadi sangat berjaya sehinggalah apabila Baginda diberi tugas yang sangat penting oleh Allah SWT iaitu, sebagai Rasul-Nya.
Rasulullah SAW juga amat memberi galakan kepada golongan wanita termasuklah dari golongan hamba, untuk menuntut ilmu. Sehinggakan Baginda meminta al-Shifa’ bint Abdullah untuk mengajar isteri baginda, Hafsah membaca dan menulis. Akhirnya selain Aisyah, Hafsah adalah antara wanita pada ketika itu yang menjadi tempat rujukan dan diminta fatwanya oleh masyarakat Islam.
Justeru itu, usaha yang dilakukan oleh negeri Selangor untuk mengkaji pelantikan Hakim Syarii wanita merupakan usaha yang sangat dipuji. Melalui Mazhab Hanafi terdapat ruang untuk melantik wanita sebagai hakim. Pemberian ruang seharusnya disegerakan kerana ia adalah merujuk kepada persoalan ijtihadi. Sekalipun masih belum terdapat individu wanita yang layak, sekiranya ruang telah disediakan maka ia akan dapat segera diisi apabila telah ada dari kalangan wanita yang berkelayakan. Pengalaman mahkamah sivil dalam memberi ruang kepada hakim dan majistret wanita adalah elok untuk diambil panduan dalam melihat keberkesanan wanita menerima tugas-tugas kehakiman.
Al-Shifa’ juga telah dilantik oleh Khalifaf Umar al-Khattab sebagai penguasa pasar, dan ini mencerminkan bahawa wanita juga apabila memenuhi kriteria dan tidak berhalangan untuk menerima tugas, boleh diminta sumbangannya bagi kebaikan masyarakat dan negara. Demikian juga halnya dalam bidang pertahanan dan ketenteraan, nama-nama seperti Nusaybah dan Umayyad bint Qays adalah pejuang-pejuang wanita yang tidak gentar untuk menggadaikan darah dan nyawa demi agama.
Pelantikan al-Shifa’ bint Abdullah sebagai penguasa pasar melihat kepada keadaan pasar pada ketika itu yang agak dikuasai oleh golongan wanita. Ini menunjukkan pemerintah Islam pada ketika itu tidak meletakkan sebarang peraturan yang menghalang wanita untuk menjalankan kegiatan perniagaan dan membenarkan wanita bersaing secara sihat dengan golongan lelaki. Atau boleh juga dikatakan bahawa pemerintah pada ketika itu mengiktiraf wanita memberi sumbangan ekonomi kepada keluarga dan juga negara. Ini kerana pendapatan akan memberi kehidupan kepada ahli keluarga dan negara akan memiliki pendapatan melalui sistem percukaian dan zakat perniagaan.
Seandainya sesebuah rumah tangga tidak membenarkan isteri keluar untuk bekerja kerana pihak suami mampu untuk menyediakan segala keperluan isteri dan semua ahli keluarga, maka wanita perlu menjadi pembina rumah tangga yang cekap dan berkesan. Bermula dengan pewujudan suasana rumah yang bahagia sehinggalah kepada pendidikan anak-anak yang cemerlang.
Siapa pun wanita itu tanpa mengira ia hanya seorang suri ataupun kepada ketua kepada organisasi, kebijaksanaan wanita perlu dibangunkan. Wanita perlu memiliki daya usaha sendiri untuk membangunkan diri mereka sebagai generasi wanita yang bermartabat dan cemerlang serta boleh berperanan dan memberi sumbangan. Selain itu, kecantikan luar dan dalam seharusnya diseimbangkan dengan kekuatan emosi dan akal. Pemakanan yang dipilih seharusnya memberi khasiat kepada semua sudut, iaitu zahir, batin dan juga akal fikiran.
Akan tetapi kebolehan wanita akan terbiar begitu sahaja, sekiranya tidak mendapat sokongan daripada suami, ahli keluarga, masyarakat dan pemerintah. Ibarat benih yang tidak ditanam dan dijaga, maka tidak lahir hasil yang boleh memberi manfaat kepada sesiapa. Maka, generasi wanita yang bermartabat tidak dapat diwujud dan dibentuk.
Bagi pembentukan ini kesedaran perlu ada dan kesedaran perlu disusuli tindakan dengan mencari ilmu sebanyak mungkin. Terutama ilmu yang berkaitan dengan matlamat yang hendak dicapai oleh seseorang wanita itu. Pada zaman yang sangat mencabar ini, kekuatan akhlak dan pengalaman tidak memadai sekiranya wanita enggan menambah ilmu dalam bidang yang diceburi. Persaingan pada hari ini bukan persaingan sesama sendiri malah ia bersifat antarabangsa.
Prasarana yang diberikan oleh kerajaan yang menjelaskan tentang sikap terbuka kerajaan mengenai penglibatan wanita dalam semua ciri, akan menjadi kurang bermakna sekiranya ia tidak disambut dengan sokongan oleh semua pihak. Majikan yang mengamalkan pilih kasih jantina, syarikat kewangan yang memandang rendah terhadap usahawan wanita atau sesiapa sahaja yang berfikiran dangkal untuk memberikan peluang kepada kebolehan wanita hanya menyumbang kepada hasil yang kurang cemerlang. Yang akhirnya memberi kesan kepada negara dan bangsa itu sendiri secara keseluruhannya.
Rasulullah SAW telah membuktikan sikap terbuka dan galakan kepada golongan wanita, maka tidak sewajarnya kita yang mengaku telah menerima Risalah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sepenuhnya, mengamalkan dwi, atau lebih standard, dalam memberikan peluang dan sokongan kepada wanita.