Wanita Islam di Malaysia tidak terpinggir! Itu hasil kajian pada sedekad yang lalu untuk melihat keterlibatan wanita dalam proses pembangunan negara termasuklah dalam bidang-bidang utama seperti ekonomi, sosial, pendidikan dan politik. Tentu sahaja ia boleh membawa makna bahawa kesedaran wanita pada hari ini, terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan kepentingan mereka berada pada tahap yang amat memberangsangkan.
Gerakan-gerakan wanita di Malaysia, terutamanya wanita Islam, bukanlah gerakan yang menuntut kebebasan sebagaimana yang berlaku di Barat. Ketidakpuasan hati dalam gerakan wanita di negara ini umumnya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup wanita ke arah yang lebih baik dan seimbang.
Sebaliknya, tuntutan wanita di Barat terhadap kebebasan adalah hasil momentum yang berlaku sejak kurun ke-17, iaitu bertitik-tolak daripada peminggiran, penganiayaan serta penindasan terhadap mereka, yang menafikan hak wanita sebagai hak manusia yang harus dihormati dan dimuliakan. Perjuangan mereka adalah untuk meletakkan kedudukan wanita sebagai manusia yang bermaruah dan bermartabat, serta mempunyai taraf yang sama dengan kaum lelaki.
Malangnya, disebabkan tuntutan dan perjuangan itu hanya berasaskan pemikiran yang rasional, tanpa bimbingan yang bersifat ketuhanan (wahyu), maka ia berkembang dan menjadi gerakan yang lebih agresif, ekstrim dan radikal. Gerakan lesbianisme adalah salah satu contoh perjuangan wanita di Barat yang sebenarnya telah jauh tersasar walaupun pada awalnya ia tercetus daripada kesedaran untuk keluar dari belenggu penghinaan, dan pandangan terhadap wanita yang tidak lebih tarafnya daripada hamba dan harta kepunyaan lelaki.
Sebaliknya, ia tidak berlaku kepada wanita-wanita Islam yang sudah pun diberikan seindah-indah panduan untuk melayari lautan kehidupan di muka bumi ini. Wanita Islam tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa jaminan perlindungan, kedudukan yang baik, serta dianugerahi maruah dan hak yang saksama sebagaimana kaum lelaki.
Sejak kecil lagi, peluang dan kebebasan untuk menyuburkan akal fikiran mereka dengan ilmu pengetahuan diberikan seluas-luasnya, tanpa sebarang sekatan atau diskriminasi dengan anak-anak lelaki. Bukan itu sahaja, kebebasan itu juga dijamin. Sebarang ilmu yang dapat dipelajari oleh anak-anak lelaki, juga boleh dipelajari oleh anak-anak perempuan.
Selanjutnya, apabila seorang wanita Islam telah mendapat pendidikan agama yang sempurna dan mengenali Penciptanya dengan mendalam, dan ia mengisi ruang akalnya dengan ilmu pengetahuan menurut keperluan kehidupannya, maka ia pasti tahu di mana landasan hidup yang tepat untuk berpijak. Ke arah mana haluan yang perlu dituju.
Sebarang ilmu pengetahuan perlu dibimbing oleh tauhid, Syariah dan akhlak dalam pembinaan sahsiah diri sebagai insan sejati. Garapan daripada semua itulah yang akan menjadikan seseorang wanita itu sebagai insan yang mempunyai kemampuan untuk membuat sebarang keputusan dengan wajar demi diri, orang-orang di sekeliling dan agamanya.
Ciri-ciri yang ada inilah yang kemudiannya menjadi satu pakej kualiti tersendiri. Sudah pasti nada-nada kebebasan yang ditawarkan oleh pemikiran Barat atau apa-apa sahaja nilai baharu, boleh dinilai dan disaring dengan baik oleh wanita Islam yang memiliki kualiti diri yang seimbang. Ia tidak akan mudah terpesona, ataupun mudah melatah dengan apa yang ditawarkan oleh pihak-pihak di sebelah sana.
Walaupun demikian, kehidupan pada zaman pascamoden menemukan pelbagai cabaran yang ada ketikanya tidak terjangkau oleh fikiran, dan kadang kala boleh menolak wanita ke persimpangan. Jika pada asasnya, kefahaman tentang kedudukan wanita itu sebagai pelengkap kepada peranan lelaki, tetapi disebabkan faktor-faktor tertentu, wanita pada hari ini terpaksa menggalas kedua-dua peranan–sebagai ibu sekali gus bapa–untuk keluarganya.
Ini adalah sebahagian daripada ruang-ruang yang ditinggalkan oleh golongan lelaki yang kemudiannya terpaksa diambil alih oleh kaum wanita. Ironinya agama Islam telah menyusun dengan begitu baik peranan lelaki dan wanita, tetapi demi kelangsungan hidup dirinya sendiri dan ahli-ahli keluarga yang lain, maka wanita terpaksa memilih tindakan untuk suatu keadaan yang lebih realistik.
Atau dengan bahasa yang lebih mudah, si ibu harus mencari pendapatan demi membesarkan anak-anak yang dilahirkan walaupun tugas mencari nafkah terletak di bahu si bapa.
Kehidupan pascamoden juga kadang kala menemukan kita peluang-peluang yang dibiarkan secara cuai oleh kaum lelaki, yang kemudiannya diambil dan dimanfaatkan oleh wanita. Ada juga keadaannya wanita dapat melihat satu-satu perkara itu boleh dikendalikan dengan baik atau lebih baik oleh mereka, berbanding kaum Adam. Bukan perkara yang menghairan bagi negara ini, wanita kita menunjukkan sifat yang kompetitif kepada kaum lelaki.
Wanita kita boleh menjadi rakan saing kepada kaum lelaki kerana mempunyai pendidikan yang baik selain sifat mereka yang aktif, dan tidak kurang juga yang mempunyai sifat yang proaktif. Oleh yang demikian dalam konteks Malaysia, peranan dan sumbangan yang dilaksanakan oleh wanita Islam memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Malah, suara wanita di negara ini memang mempunyai pengaruh yang tersendiri.
Malah pada ketika artikel ini ditulis, Bot Wanita ke Gaza (Women’s Boat to Gaza), yang turut disertai oleh wanita Islam dari Malaysia, tidak berapa lama lagi akan mendarat di pantai Gaza, dengan misi keramat yang bertujuan untuk menyekat keganasan dan kekejaman Israel ke atas Gaza. Selain ia bertujuan untuk memasyhurkan sumbangan yang tidak boleh dinafikan oleh wanita Palestin yang bersemangat waja. Seolah-olahnya semangat Ummu Umarah yang pernah bersama-sama Nabi SAW ketika dalam peperangan melawan kaum Musyrikin telah tersuntik di dalam hati mereka.
Untuk berperanan secara aktif, tentu sahaja sokongan dan pelbagai kemudahan amat diperlukan supaya penglibatan yang dilakukan akan berlaku secara berpanjangan. Meletakkan diri sebagai sebahagian pihak yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan juga adalah salah satu cara untuk memastikan agar wanita tidak akan terpinggir dalam arus perdana.
Cumanya dari satu sudut yang lain, yang mungkin kita boleh sama-sama fikirkan secara mendalam, mungkin ada bahagian-bahagian tertentu dalam kehidupan ini, untuk kita tidak mengambil beban yang tidak perlu kita ambil dan elok jika ia terus dilaksanakan secara tradisinya oleh pihak satu lagi. Asalkan kepentingan kita sebagai wanita Islam terus terjaga, dan kita dapat menikmati kehidupan ini dengan jiwa yang tenang, dan fikiran yang lapang. Bukan menafikan potensi dan kudrat yang ada, tetapi peranan wanita yang telah disediakan oleh agama Islam tentu sekali bersama-sama hikmah yang amat indah.