Kitab suci Al-Quran mengandungi panduan hidup tentang kesejahteraan hidup di dunia mahupun di hari Akhirat. Sabahagian daripada intipati ajaran Islam adalah tentang kesejahteraan, keamanan, ketenteraman dan keselamatan. Manusia hanya boleh selamat daripada belenggu kerisauan apabila wujudnya kesejahteraan dan keadilan. Syariat Islam yang diterjemahkan melalui sumber Al-Quran, Sunah dan ‘Ijma ulama bertujuan untuk mewujudkan asas-asas keselamatan berlandaskan keadilan dan kesejahteraan. Oleh sebab itulah Syariah wajib dilaksanakan bagi memenuhi keperluan asas keselamatan manusia dengan menjaga lima perkara utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.
Manusia tidak akan mampu menikmati keamanan dan keselamatan mutlak sekiranya tiada keadilan. Adil itu ringkasnya adalah meletakkan sesuatu perkara itu pada tempat yang sepatutnya. Maka dengan itulah, Allah menurunkan panduan hidup kepada umat manusia melalui para Nabi dan Rasul supaya keadilan itu dapat dimanfaatkan. Ini bererti setiap kejadian berpunca daripada kuasa Allah SWT dan hanya padaNya sahaja tempat rujukan.
Sesiapa sahaja yang meyakini bahawa Allah itu Tuhan yang satu dan wajib disembah adalah seorang Muslim. Sesiapa sahaja yang memiliki keyakinan ini membawa risalah Islam yang mempelopori nilai-nilai keamanan, kesejahteraan dan kedamaian. Apakah hubung kait Islam dan kesejahteraan?
Perkataan ‘Islam‘ berasal dari kata dasar Salama bererti kesejahteraan, juga boleh diertikan keamanan, kedamaian, dan keselamatan. Perkataan Salam bererti sejahtera. Maksud ‘salam‘ ini terkandung dalam ucapan salam sejahtera ke atas rakan taulan yang ucapkan sebagai tanda mendoakan kesejahteraan kepada mereka.
Perkataan aslama pula kata kerja bererti “menghambakan dan menyerah diri”. Dalam konteks hubungan kita dengan Allah, ia bermaksud “saya menyerahkan diri dan menyembah Allah”. Maka dengan itu, adalah jelas bahawa sahnya Islam itu adalah pengiktirafan mutlak manusia kepada Penciptanya, Allah yang Maha Esa, yang sewajarnya disembah dan diserahkan segala-galanya.
Faham Islam yang betul akan mencorakkan nilai kefahaman tentang keamanan, kesejahteraan dan kedamaian dalam diri seseorang itu. Inilah yang dikatakan kesejahteraan mutlak. Kesejahteraan dalaman dan luaran yang dimaksudkan ini hanya diperoleh apabila Islam diamalkan atau dilaksanakan secara tepat. Islam membawa bersama keadilan, sekali gus memancarkan kesejahteraan yang mencetuskan keselamatan dan kedamaian. Hakikat ini dapat kita rasai apabila hati nurani dapat merasai kehadirannya.
Dalam konteks urusan kenegaraan, keselamatan yang dimaksudkan tidak semata-mata wujud apabila keadaan sesebuah negara itu tidak berperang, kerana ada juga negara-negara yang tidak berada dalam kancah peperangan berada dalam keadaan takut, tidak selamat, was-was, tidak ada kesejahteraan, kedamaian dan keamanan.
Keselamatan dalam Islam merujuk kepada perasaan selamat yang mutlak dan perasaan ini memberi ketenangan di dalam jiwa yang terhasil kerana keyakinan mutlak kepada Maha Pencipta, Allah S.W.T. Inilah yang dikatakan keselamatan mutlak yang akan mewarnai nilai diri dan sikap seseorang itu yang akan menular ke dalam keluarganya, masyarakat dan juga dunia secara amnya. Seperti mana yang telah dijelaskan tadi, titik keselamatan bermula daripada adanya kesejahteraan yang bersumberkan keadilan. Tidak akan wujud keselamatan sekiranya tiada keadilan.
Keadilan (‘adl) secara umum bermaksud “meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempat dan keadaannya”. Allah S.W.T telah berfirman bahawa wahyu-wahyu yang diturunkan itu bertujuan untuk memberi panduan kepada manusia untuk menegakkan keadilan.
Ibn Qayyim bila mentafsirkan Surah al-Hadid ayat ke-25 berkaitan keadilan menegaskan bahawa ‘keadilan adalah matlamat utama Islam”. Allah mengutuskan para Nabi dan Rasul untuk menegakkan keadilan. Sebarang langkah ke arah menegakkan keadilan merupakan sebahagian tuntutan agama. Dengan merujuk kepada panduan-panduan yang terdapat dalam Al-Quran, Hadis, serta ‘Ijma Ulama, boleh diperolehi banyak pengajaran tentang hal-hal yang membawa ketidakselamatan. Contohnya, faktor-faktor yang menggalakkan perpecahan dan perbalahan umat seperti fitnah dan hasad. Oleh sebab itu, disyariatkan menghukum orang-orang yang melakukan kesalahan seperti ini sehinggalah undang-undang digubal untuk membendung jenayah.
Sering kali terlintas di fikiran kita bahawa, bila sahaja kita memikirkan soal keselamatan, kita akan menggambarkan perlunya undang-undang untuk menjamin keselamatan. Tidak dinafikan bahawa undang-undang memainkan peranan yang amat penting untuk menjaga keselamatan, namun keselamatan masih terancam walaupun adanya undang-undang.
Umat manusia memerlukan undang-undang sebagai kawalan luaran tetapi memerlukan adab dan etika untuk mengawalnya dari sudut dalaman. Kawalan dalaman inilah yang mencerminkan ketakwaan kepada Allah. Hakikatnya, Islam tidak sahaja menggariskan prinsip-prinsip umum tentang urusan kehidupan seharian malah menggariskan secara terperinci undang-undang yang menjaga keselamatan diri dan hubungannya dengan orang lain serta makhluk lain. Maka dari punca inilah maka berkembangnya undang-undang yang ada di hadapan kita pada hari ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap tamadun, negara dan masyarakat tanpa mengira agama, keturunan dan ideologi mendambakan keamanan dan keselamatan. Namun, manusia berhadapan dengan keterbatasan ilmu dan hanya Allah sahaja yang Maha mengetahui keperluan undang-undang yang bagaimana menjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia di muka bumi dan juga di Akhirat. Islam sebagai agama kesejahteraan mengutamakan penjagaan asas keadilan yang dikenali Maqasid Syar’iyyah. Maqasid atau matlamat Syariah adalah untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan manusia melalui penjagaan terhadapa agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Kelima-lima aspek penjagaan yang dititik-berakan dalam agama Islam ini adalah amat penting untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan seseorang itu terjamin. Sekiranya salah satu aspek penjagaan ini diabaikan, maka akan musnahlah keseimbangan dan asas keadilan yang akan mengugat kesejahteraan hidup. Jelaslah bahawa di antara tujuan utama agama Islam itu diturunkan adalah untuk menjamin kesejahteraan hidup dan keselamatan manusia. Agama Islam memberi perlindungan yang menyeluruh ke atas kesejahteraan dan keselamatan manusia.
Kita berhadapan dengan peredaran masa dan kemajuan yang pesat, begitu juga perubahan pada pemikiran dan tindakan yang amat ketara dewasa ini. Namun agama Islam boleh disesuaikan dengan keperluan semasa. Berasaskan panduan-panduan yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah serta ‘Ijma ulama, undang-undang dikodifikasikan untuk menjaga keselamatan dan kepentingan umum.