Pada hari Isnin yang lepas, saya terbang ke Kota Kinabalu menaiki pesawat Airbus 330-200. Penumpang terdiri daripada pelbagai kaum termasuklah pelancong asing. Menuju ke Negeri Di bawah Bayu ini untuk mengurus pelaksanaan Seminar Harmoni Keagamaan di Malaysia yang diadakan pada 21 dan 22 Disember lalu. Bersama-sama saya ketika itu beberapa orang pembentang kertas kerja. Mereka terdiri daripada latar belakang yang pelbagai, begitu juga kalangan peserta yang hadir yang antaranya daripada pelbagai agama dan kaum.
Islam sebagai agama yang memiliki penganut yang paling ramai di negara ini tidak dinafikan telah memainkan peranan yang sangat penting dalam sistem pemerintahan negara. Disebabkan berlakunya fenomena-fenomena yang tidak baik mutakhir ini yang melibatkan umat Islam dan Islam telah dikaitkan dengan fahaman ekstremisme, keganasan dan seumpamanya, maka ia menyebabkan lahir perasaan ingin tahu apakah ajaran dan nilai-nilai yang terkandung di dalam agama ini. Sedangkan pada hakikatnya ajaran dan nilai yang terkandung dalam Islam sangat murni sifatnya dan ini telah dibuktikan ketika pemerintahan Rasulullah s.a.w. yang disambung oleh pemerintahan-pemerintahan Islam selepas baginda.
Pemerintahan pada zaman baginda s.a.w. telah membuktikan bahawa Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai puak seperti Aus, Khazraj, Muhajirin dan Yahudi di dalam sesebuah masyarakat. Prinsip ini terkandung di dalam surah al-Hujurat, ayat 13. Islam mengiktiraf kemuliaan insan tanpa mengira kedudukan, bahasa dan warna kulit. Bahkan itu sebenarnya adalah tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t.
Islam memberikan kebebasan beragama. Al-Quran menjelaskan bahawa tidak ada paksaan dalam beragama, malah Allah menyatakan dengan maksudnya, Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.
Dan kebebasan ini turut melewati hubungan antarabangsa Islam dengan membenarkan hubungan diplomatik antara negara Islam dengan bukan Islam diadakan. Malah agama ini menyarankan agar sikap tolong-menolong dan bantu-membantu diwujudkan tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan.
Prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan sunah membolehkan kebebasan beragama dapat diamalkan. Perkara utama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. yang patut diteruskan ialah mewujudkan taawun insani, iaitu mewujudkan kerjasama bagi memartabatkan hubungan yang harmoni demi kebaikan bersama.
Prinsip ini kemudiannya dikembangkan dalam hubungan antarabangsa iaitu hidup bersama secara aman dan damai. Ini sudah tentu memerlukan sikap faham-memahami dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Dengan demikian ia akan melahirkan kerjasama yang lebih besar bentuknya sehingga ke peringkat antarabangsa iaitu hubungan dalam bidang ekonomi, perdagangan, sosial, pendidikan, politik dan sebagainya.
Islam mengajar supaya mewujudkan sikap tasamuh atau toleransi dalam hubungan kemanusiaan dalam semua peringkat, sama ada individu ataupun masyarakat. Sikap ini telah diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan oleh Rasulullah s.a.w. sejak umat Islam masih dalam suasana menghadapi tentangan daripada orang Musyrikin Mekah. Sikap toleransi atau lapang dada ini sangat jelas berlaku dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah apabila perjanjian ini lebih memihak kepada Quraisy Musyrikin Mekah. Sehingga ia menimbulkan rasa tidak puas hati kepada sebahagian sahabat sehingga menegur keputusan yang dibuat oleh baginda dengan berkata; “Mengapakah kita memberi kehinaan kepada agama kita.” Jawab Rasulullah s.a.w; “Aku ialah utusan Allah dan Dialah Penolongku dan aku tidak akan menderhakai kepada-Nya.”
Abu Bakar kemudiannya meredakan ketegangan yang berlaku dengan menasihati sahabat-sahabat supaya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Rasulullah yang sememangnya berada di atas kebenaran.
Amalan taawun insani dan tasamuh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, sama ada ketika aman atau perang dengan pihak musuh telah mengikat para sahabat dan pemimpin-pemimpin Islam dalam melakukan sebarang tindakan. Ini dapat dilihat kemudiannya ketika Khalifah Umar al-Khattab memasuki Baitulmaqdis, beliau telah disambut oleh pemimpin agama dan dibawa mengelilingi bandar sehingga sampai ke sebuah gereja. Apabila masuk waktu sembahyang, Saidina Umar ingin mendirikan sembahyang dan beliau telah diberikan kebenaran untuk menunaikannya di dalam gereja tersebut.
Bagaimanapun Saidina Umar menolak dan menunaikannya di luar gereja. Walaupun ia boleh dilaksanakan di dalam gereja tersebut tetapi Saidina Umar tidak mahu ia nanti akan menjadi ikutan penganut Islam dan seterusnya dimanipulasi untuk sebarang kepentingan.
Amalan kebebasan beragama bukan hanya berlaku dalam era pemerintahan Rasulullah, sehingga baginda mengeluarkan kata-kata; “Barang siapa menyakiti orang dhimmi (mereka yang diberi jaminan), sesungguhnya dia telah menyakiti aku.”
Amalan ini berterusan pada zaman pemerintahan Islam selepas baginda. Maka hal ini menjelaskan bahawa perbezaan agama tidak boleh dijadikan sebab untuk melakukan diskriminasi. Orang bukan Islam juga mencari kehidupan masing-masing dengan bekerja dan mencari harta kekayaan sendiri dan keadaan ini dijamin oleh Islam. Nyawa dan kehormatan mereka turut dipelihara. Dalam sejarah pemerintahan Islam, mereka diambil untuk berkhidmat dalam bidang pentadbiran sehingga ada kalangan mereka yang dilantik sebagai Setiausaha Khalifah.
Begitu juga pada ketika Islam memerintah Andalus, kebebasan beragama diberikan. Sedangkan sebelumnya, pemerintahan Katolik telah melakukan diskriminasi terhadap rakyatnya. Pengikut agama lain seperti Yahudi dilarang untuk menganut agama mereka bahkan mereka turut diperhambakan. Apabila Islam memerintah Andalus, kebebasan beragama diberikan seluas-luasnya dan dihormati, malangnya apabila pemerintahan Islam jatuh ke tangan penganut agama Kristian selepas lapan kurun pemerintahan tersebut, prinsip kebebasan beragama dihapuskan. Bahkan pada sesuatu ketika orang Islam di Granada dipaksa menerima agama Kristian.
Jika ajaran Islam dipegang dengan teguh dan dihayati sepenuhnya, orang bukan Islam juga akan berasa keamanan dan ketenteramannya kerana Islam sangat menghormati karamah atau kemuliaan insan. Berasaskan pada prinsip-prinsip ini, maka hak-hak mereka dijamin. Seperti mana yang berlaku di negara kita, agama-agama lain dapat diamalkan oleh penganutnya dengan aman dan damai.
Keharmonian yang wujud pada hari ini harus terus dikekalkan. Pendekatan Islam Hadhari yang diperkenal dan diketengahkan oleh kerajaan diharap akan menyumbang ke arah keadaan yang indah ini.