Sesungguhnya di dalam al-Quran, manusia telah beberapa kali diperingatkan untuk tidak melakukan kerosakan ke atas muka bumi kerana perbuatan itu dibenci Allah SWT dan hanya merugikan manusia.
Dan kini, kerapkali kita terbaca pelbagai laporan dan berita tentang kejadian pemanasan bumi sejagat dan kesan kejadian ini kepada kehidupan manusia. Menurut laporan Inter-government Panel on Climate Change (IPCC), peningkatan gas rumah hijau akan membawa kepada pemanasan bumi sejagat kerana gas tersebut bertindak seakan selimut yang menyelitupi bumi. Oleh itu berlaku peningkatan suhu yang melampau.
Tanda-tanda peningkatan suhu yang melampau ini telahpun berlaku kini. Ia termasuklah pembentukan arah baru angin, ombak panas, kejadian kemarau yang teruk di satu-satu kawasan manakala kawasan yang lainnya ditimpa hujan yang lebat, kecairan glasier dan ais di kutub serta peningkatan aras laut.
Apa kaitannya laporan ini dengan Malaysia? Kejadian banjir besar yang berlaku di Johor baru-baru ini adalah salah satu kesan daripada kejadian pemanasan bumi sejagat. Hal ini tidak berhenti di situ. Amaran kerajaan tentang jangkaan berlakunya kemarau di negara ini juga adalah petanda lain bahawa pemanasan bumi sedang berlaku. Bukan itu sahaja, masalah ini akan turut menjejaskan sumber air negara. Hal ini telah diperingatkan beberapakali kepada kita, malahan ada cadangan untuk mengenakan denda kepada penggunaan air yang berlebihan.
Maklumat ini juga jika dikaitkan dengan masalah jerebu yang kerapkali berlaku dalam negara akan menunjukkan kenyataan yang merisaukan. Tidakkah musim kemarau yang semakin ketara dirasai kini menandakan bahawa masalah jerebu akan bertambah teruk tahun ini?
Satu perkara yang wajib diketahui dan difahami oleh kita semua adalah kejadian pemanasan bumi sejagat ini adalah hasil daripada tingkahlaku manusia. Walaupun tidak dapat dinafikan, secara semulajadinya, pemanasan global berlaku namun, peranan manusia mempercepat dan memperhebatkan masalah ini tidak dapat disangkal lagi.
Namun, lumrah kejadian manusia, suka menafikan kesilapan yang berlaku akibat perilakunya. Laporan IPCC itu telah dikecam dan dipandang sinis. Hasilnya, usaha di bawah Protokol Kyoto untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida menjelang 2012 masih jauh daripada matlamat asalnya dan Amerika Syarikat pula menarik diri dari perjanjian tersebut.
Keadaan penafian yang berlanjutan ini juga akhirnya memburukkan keadaan dan memberi kesan kepada manusia. Persoalannya, sampai bilakah kita mahu mengelak daripada kenyataan sebenar? Pada keadaan yang bagaimanakah baru kita mahu bertindak atau mengubah gaya hidup kita? Jika pepatah Melayu mengiktiraf tindakan “biar lambat asal selamat” namun dalam hal ini, “lambat-lambat takutnya melarat”.
Oleh itu, perkembangan semasa berkaitan pemanasan sejagat ini seharusnya menjadi satu ingatan kepada kita bahawa satu perubahan gaya hidup secara besar-besaran perlu dilakukan demi menghadapi masalah ini. Dalam hal ini, pembaziran air mesti dielakkan. Jangan lakukan pembakaran kerana ini akan meningkatkan lagi suhu dan pembakaran yang tidak terkawal juga mungkin menyebabkan kebakaran hutan dan lain-lain. Penggunaan kenderaan secara cekap juga perlu diberi perhatian. Namun, adalah lebih molek jika penggunaan kenderaan awam diutamakan.
Perubahan-perubahan yang dilakukan di atas adalah beberapa perubahan di antara beribu perubahan yang boleh dilakukan dalam menghadapi masalah pemanasan sejagat. Namun, penulis bersetuju bahawa perubahan secara besar-besaran dan melibatkan semua insan dan institusi lebih berkaitan berbanding perubahan yang cuba dilakukan oleh beberapa kerat manusia di alam maya ini. Selain itu, sejauhmana kita mampu melaksanakan perubahan itu juga satu persoalan yang penting? Ini kerana manusia secara semulajadinya memang sukar berubah walaupun perubahan yang diminta itu begitu kecil seperti menutup air semasa menggosok gigi di waktu pagi.
Namun, kita kini tiada pilihan. Perubahan gaya hidup mesti dilakukan. Peringatan ini telah dilakukan banyak kali oleh banyak pihak. Hari demi hari ada saja kedengaran nasihat dan saranan untuk kita mengubah cara hidup demi memelihara alam yang kita diami. Namun, hari demi hari juga manusia menjadi semakin canggih dengan kepelbagaian ciptaan untuk memudahkan hidupnya tetapi kemudahan itu pula memberi kesan yang tidak baik kepada alam dan hidupan lain.
Seperti yang telah dinyatakan tadi, nasihat, cadangan dan peringatan telah kerap kali dilakukan oleh banyak pihak daripada saintis hinggalah aktivis masyarakat. Namun, masalah pemanasan bumi sejagat ini boleh dikira sebagai satu peringatan khas yang cuba disampaikan alam kepada manusia. Ingatlah bahawa peringatan yang cuba disampaikan oleh alam ini boleh dalam bentuk yang sekecil-kecilnya kepada bentuk yang sebesar-besarnya. Apapun, bila alam bertindak dengan keras, manusia tidak akan dapat menyelamatkan dirinya. Oleh itu, beringat sebelum terkena.