Ramadan kini berbaki beberapa hari cuma. Masa dirasakan begitu pantas berlalu. Amat malang jika masa dibiarkan meninggalkan kita dalam kerugian. Sebagaimana diungkap pepatah Arab, “Waktu seumpama pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia pasti akan memotong kamu.” Semakin mendekati pengakhiran Ramadan, maka seharusnya semakin bijak kita memanfaatkan detik waktu. Oleh yang demikian, waktu tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja bahkan dipenuhi amalan yang bermakna. Ia sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas peluang keemasan untuk melalui Ramadan sehingga ke penghujungnya. Bukan sekadar berpuasa tetapi juga melaksanakan pelbagai bentuk amalan dengan kurniaan pahala berganda-ganda.
Ramadan mengajar kita banyak perkara penting. Antaranya termasuklah menjalin hubungan yang teguh dengan Allah SWT dan sesama manusia selain menghargai kepentingan serta keberkatan masa. Tarbiah Ramadan yang bermatlamat menyemai ketakwaan amat penting dijadikan bekalan sepanjang hayat. Khalifah `Ali r.a. menjelaskan maksud ketakwaan sebagai perasaan takut akan Tuhan al-Jalil, beramal dengan al-Tanzil, iaitu al-Quran, berasa cukup dengan yang sedikit (al-qalil) atau memiliki sifat qana`ah dan bersedia dengan hari perpindahan (yaum al-rahil). Berasaskan pentakrifan ini jelas bahawa Mukmin yang menunaikan ibadah puasa dengan penuh keimanan menjalani kehidupan dengan amat berhati-hati, bimbang seandainya melanggar perintah Allah SWT. Al-Quran dijadikan panduan dalam kehidupan agar tidak tersesat dalam perjalanan menuju Allah SWT. Sentiasa bersyukur atas segala nikmat Allah SWT sama ada banyak atau sebaliknya sedikit, malah berasa cukup dengannya dijadikan sifat diri. Di samping itu, Mukmin juga sentiasa menyediakan persiapan bagi perpindahan dari dunia yang fana ini ke negeri yang kekal abadi. Perkara inilah yang disebut oleh Nabi SAW, “Orang yang bijaksana adalah yang berusaha menundukkan nafsunya dan beramal untuk kehidupan selepas kematian….” (Al-Tirmizi)
Dari sudut hubungan kemanusiaan, Ramadan menyemai sifat ihsan yang tinggi terhadap golongan yang menjalani kehidupan dalam serba kepayahan. Selain merasakan kesulitan yang dilalui mereka saban hari tanpa makanan dan minuman misalnya, Ramadan membuka ruang amat luas untuk segala bentuk bantuan dihulurkan tanpa berbelah bahagi. Dalam hubungan ini, teladan yang ditunjukkan baginda Nabi SAW dijadikan dorongan. . Baginda dikatakan begitu pemurah dan menghulurkan sedekah pada bulan Ramadan lebih pantas daripada deruan angin (Al-Bukhari). Kemuncak bagi amalan bersedekah yang disunatkan ialah pembayaran zakat fitrah yang diwajibkan pada bulan Ramadan. Sebagaimana dijelaskan dalam Mausu`ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, kewajipan membayar zakat fitrah diasaskan pada kemampuan menyediakan makanan untuk berbuka puasa saban hari. Namun demikian, dalam kalangan anggota masyarakat, pasti ada yang tidak mampu menyediakan makanan untuk berbuka.
Dengan demikian zakat fitrah disyariatkan untuk menzahirkan sikap belas ihsan terhadap golongan fakir dan miskin untuk mengelakkan mereka terpaksa meminta-minta pada hari perayaan. Di samping itu, ia bertujuan menimbulkan kegembiraan dalam jiwa mereka dengan ketibaan hari raya. Pada masa yang sama, zakat fitrah menyucikan jiwa orang yang wajib melaksanakannya daripada perkara yang sia-sia dan maksiat setelah berakhirnya bulan puasa. Hal ini dinyatakan dalam hadith bahawa Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai bentuk pembersihan bagi insan yang berpuasa daripada perkara-perkara sia serta maksiat dan sebagai makanan untuk golongan miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat (hari raya) maka ia memperoleh pahala ibadah zakat dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat (hari raya) maka ia memperoleh pahala sedekah,” (Abu Daud).
Tarbiah Ramadan yang juga amat berharga ialah sikap menghargai kepentingan dan keberkatan masa. Kepentingan masa dirakamkan al-Quran melalui sumpah Allah SWT, “Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-Asr 103: 1-3). Kerugian yang dinyatakan dalam ayat ini merujuk manusia yang gagal dalam ujian kehidupan, iaitu yang mengabaikan amalan yang baik. Dalam tafsirnya, Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa Allah SWT bersumpah dengan masa disebabkan ia meliputi perkara-perkara yang ajaib. Dalam tempoh masa yang berlalu berlakunya kesenangan dan kesukaran, kesihatan dan penyakit serta kekayaan dan kefakiran. Menurut beliau lagi, amalan terbaik adalah yang dilakukan dalam keadaan paling ikhlas. Amalan ini adalah benar lagi tepat (sawab).
Merujuk khusus bulan Ramadan, keseluruhan masa atau detik waktunya diselubungi keberkatan. Maka tidak hairanlah jika Ramadan turut diberi jolokan bulan keberkatan (syahrul barakah). Kemuncak bagi keberkatan yang terkandung dalam Ramadan ialah lailatul qadr, iaitu malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan. Kurniaan besar bagi umat Nabi Muhammad SAW ini selayaknya diusahakan dengan sedaya upaya untuk diperoleh. Hal ini disebabkan malam penuh keberkatan itu membuka ruang yang luas untuk seseorang hamba menzahirkan ketundukannya dan memohon agar segala dosanya diampunkan Allah yang Maha Pengampun. Keseluruhan tarbiah Ramadan, iaitu pemupukan ketakwaan, penyucian jiwa dan pembinaan semangat berlumba-lumba melakukan kebaikan, membolehkan kita meraikan kedatangan Syawal sebagai insan yang kembali kepada fitrah lagi berjaya.
Namun, cabaran yang tidak kurang getirnya adalah meneruskan akhlak mulia sepanjang Ramadan khususnya semasa menyambut kedatangan Syawal. Oleh itu, bagi memastikan Aidil Fitri disambut dengan memperoleh keredaan Ilahi, adab-adab yang digariskan Islam haruslah dipatuhi. Zikir, ibadat dan doa serta munajat kepada Ilahi diteruskan bagi menyambut kedatangan 1 Syawal. Malamnya pula dihiasi gemaan takbir sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan melaksanakan ibadah serta amal salih sepanjang Ramadan. Pada masa yang sama, pembaziran makanan, hiburan yang melampau, pergaulan yang tidak terbatas dan sebagainya dielakkan sama sekali. Haruslah diingat bahawa kedatangan hari raya bertujuan meneguhkan kecintaan dan ketaatan kepada Allah SWT. Ibn Rajab al-Hanbali menyebut dalam kitabnya, Lataif al-Minan, “Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baharu tetapi hari raya adalah bagi mereka yang bertambah ketaatan kepada Allah.”