Malaysia amat bertuah apabila diberi kepercayaan dan amanah untuk mengendalikan Sidang Kemuncak Ke-13 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Ini adalah gambaran masyarakat dunia bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang boleh diharapkan.
Dengan barisan kepemimpinan negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dunia mempunyai keyakinan yang tinggi dan kuat bahawa negara ini mampu untuk memimpin dan memandu arah serta memperbaiki corak dan hala tuju dunia supaya berada pada tahap kemuliaan moral yang tinggi.
Namun apa yang lebih penting ialah memberi gambaran bahawa Islam cintakan kepada keamanan, kedamaian dan kesejahteraan sosial, mengelakkan ketidakadilan, huru-hara dan pertumpahan darah, dan Malaysia sebagai negara Islam kini sedang berusaha bagi memastikan hasrat ini tercapai seantero dunia.
Negara ini telah menggunakan landasan yang betul dengan cuba merealisasikan bahawa ajaran Islam itu bersifat universal. Dan usaha menegakkan kebenaran itu cuba diperoleh melalui sokongan padu suara negara-negara anggota NAM pada kali ini.
Ini kerana NAM merupakan satu persidangan bertaraf antarabangsa bagi negara-negara yang berkecuali dan dari segi keanggotaan, ia yang kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sebanyak dua pertiga daripada 114 negara NAM adalah juga menduduki kerusi PBB. Manakala sebanyak 40 negara pula daripadanya adalah anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Dengan keanggotaan yang sedemikian rupa, NAM mempunyai kredibiliti yang sungguh kuat melalui kesepaduan suara serta sokongan yang meluas. Sesungguhnya persidangan pada kali ini bukan sahaja menguji kemampuan Malaysia dalam menganjurkan pertemuan rasmi bertaraf global, tetapi sebenarnya turut melihat kemampuan negara-negara anggota NAM untuk bersama-sama bersatu dan berpadu suara dalam menegakkan keadilan dunia dan seterusnya melihat keberkesanan rumusan dan keputusan yang telah mereka suarakan sama ada mampu untuk memberi harapan bagi mengubah pendirian dunia atau sebaliknya.
Senario dunia sekarang tertumpu kepada satu keadaan di ambang peperangan, pertumpahan darah, kehilangan nyawa dan kematian akibat ketidakadilan, tiada kejujuran dan siapa kuat dialah yang berkuasa tanpa perlu dikongsi oleh kaum dan bangsa lain terutamanya yang lemah.
Para penentang kuasa besar hanya dilihat sebagai penyokong kepada keganasan. Kejujuran dan keikhlasan hanya pada situasi tertentu yang perlu diamalkan jika kekuasaan memihak kepada mereka yang sememangnya kuat.
Inilah sebenarnya satu ancaman besar kepada seluruh dunia. Kuasa-kuasa besar yang sememangnya amat kuat dari segi ekonomi dan teknologi ketenteraan, sebenarnya sukar untuk berdiri sendiri jika mereka tiada sokongan politik melainkan jika mereka itu terlalu angkuh dan merasa tercabar jika bekerjasama dengan negara lain.
Dalam perkara ini, apa yang terbaik mampu dibuat adalah melalui perundingan dan persetujuan bersama semua pihak bagi mengelakkan satu keadaan yang akan mendatangkan huru-hara.
Harapan yang ada kini adalah peranan dan fungsi pertubuhan-pertubuhan dunia yang berani dan berkemampuan untuk berdepan dengan negara kuasa besar berkenaan. Di sinilah terletaknya peranan PBB dan NAM. Justeru, persidangan NAM di Kuala Lumpur pada kali ini akan menjadi satu lembaran sejarah dalam menentukan arah haluan suasana kepemimpinan dunia semasa yang muncul daripada sokongan dan pendirian setiap negara anggota NAM.
Pada masa yang sama juga, persidangan pada kali ini melihat bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah berjaya memainkan peranannya bertindak sebagai satu platform untuk menonjolkan bahawa nilai-nilai dalam ajaran Islam itu adalah universal sifatnya, terutama dalam mencari dan menegakkan kebenaran, menghapuskan kemungkaran dan ketidakadilan dunia, yang kini merupakan satu agenda global yang perlu diusahakan secara kolektif buat selama-lamanya.