Istilah kelestarian mungkin begitu sinonim dengan masyarakat kita pada hari ini. Namun, sejauh manakah masyarakat kita memahami konsep kelestarian dalam erti kata yang sebenar terutamanya dalam menterjemahkan konsep ini melalui sikap terhadap alam sekitar? Apakah peranan yang sewajarnya dimainkan oleh kita sebagai individu dalam menjaga dan memelihara kelestarian alam sekitar?
Sekiranya dilihat kepada keadaan alam sekitar semasa, ia secara jelas memberi cerminan bahawa masyarakat kita masih gagal dalam menterjemahkan konsep kelestarian terhadap alam sekitar sebagaimana yang ditekankan oleh ajaran Islam. Buktinya, sejak kebelakangan ini alam sekitar kita kian diancam dari pelbagai sudut disebabkan oleh aktiviti tidak beretika manusia terhadap alam sekitar sehingga mengakibatkan kelestariannya tergugat.
Sedangkan konsep kelestarian alam sekitar yang sebenar adalah memastikan keadaan alam sekitar dan segala komponen yang ada di dalamnya tidak berubah atau kekal terpelihara seperti asal. Namun, sebaliknya berlaku pada hari ini apabila saban hari kita menyaksikan masyarakat kita semakin keliru dalam memahami hakikat sebenar kejadian alam sebagai ayat-ayat serta simbol kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Natijahnya, ia membawa kepada kegagalan melahirkan masyarakat minda kelas pertama terhadap aspek kelestarian alam sekitar, sekali gus gagal menzahirkan peranan yang sewajarnya selaku khalifah dalam memakmurkan bumi.
Kegagalan menguruskan alam sekitar dengan baik juga mencerminkan bahawa masyarakat juga gagal membentuk cara berfikir yang betul yang seterusnya boleh membawa kepada tindakan dan pendirian yang betul terhadap aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar. Contoh paling dekat dengan kita dalam menterjemahkan kegagalan sikap dan cara berfikir masyarakat terhadap alam sekitar dapat dilihat dengan jelas terutamanya dari aspek kebersihan dan permasalahan sampah yang menyelubungi persekitaran kita tanpa adanya titik noktah.
Siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini? Bukan tiada usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun pihak berwajib dalam mengatasi permasalahan ini. Sebagai contoh, salah satu usaha yang harus dipuji ialah langkah yang diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang melakukan pemasangan perangkap pencemaran kasar atau Gross Pollutants Traps (GTP) di sepanjang lembangan sungai Klang. Pemasangan GTP ini didapati telah banyak dapat mengurangkan sampah pepejal yang terdapat di sungai berkenaan, sekali gus sedikit sebanyak membantu menjadikan sungai berkenaan lebih bersih keadaannya berbanding sebelum pemasangan peralatan tersebut.
Namun demikian, pemasangan peralatan ini semata-mata tidak akan mampu membantu sepenuhnya dan memberi kesan yang maksimum dalam mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar sekiranya tidak disokong oleh kita sebagai individu dan juga masyarakat terutamanya dalam melakukan transformasi ke atas sikap serta cara berfikir bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan tamadun terjamin.
Ini memandangkan pencemaran yang berlaku adalah berpunca daripada tindakan dan budaya masyarakat kita sendiri yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat. Sudah tiba masanya masyarakat mengubah mentaliti mereka ke arah yang lebih optimis agar mereka tidak sewenang-wenangnya membuang sampah secara sesuka hati. Sebaliknya, mereka perlu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aspek penjagaan alam sekitar dengan membuang sampah secara lebih sistematik di tempat yang sepatutnya.
Sementelah, ajaran Islam sendiri sangat menekankan bahawa manusia mempunyai peranan penting dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Islam menuntut umatnya memelihara alam sekitar dengan sebaik-baiknya dan menegah kita daripada melakukan kemusnahan terhadapnya. Hal ini ditegaskan secara jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi” (Surah al-Baqarah, ayat 11). Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi” (Surah as-Syu’ara, ayat 1).
Setiap daripada kita perlu menyedari bahawa Islam merupakan agama yang meletakkan alam sekitar sebagai komponen penting yang tidak boleh dipisahkan daripada keimanan seseorang terhadap penciptanya yakni Allah SWT. Manifestasi yang menggambarkan tahap keimanan seseorang dapat dilihat daripada perilaku mereka selaku khalifah terhadap alam sekitarnya.
Dalam konteks kelestarian alam sekitar, ilmu pengetahuan merupakan tunjang yang sangat penting kerana dengan adanya ilmu manusia akan lebih berfikiran terbuka, kritis dan celik pengetahuan dalam memastikan mutu alam sekitar kekal terpelihara. Malah, ilmu dan kefahaman Islam tentang alam sekitar perlu dipromosikan secara meluas agar kesedaran masyarakat tentang aspek kelestarian alam sekitar dapat dimaksimumkan dari semasa ke semasa. Peranan pakar-pakar alam sekitar juga sangat penting dalam usaha mendidik masyarakat supaya memahami bahawa alam sekitar dan segala komponen yang ada di dalamnya adalah mempunyai hubung kait antara satu sama lain dalam memastikan keseimbangannya terus terpelihara.
Islam juga sangat menitikberatkan akhlak dalam aspek pengurusan alam sekitar sebagai teras penting hubungan antara manusia, alam dan Tuhan. Dalam hal ini, akhlak yang mulia adalah akhlak yang membawa ke arah kebaikan dan keharmonian. Justeru, sifat-sifat mulia seperti kasih sayang, prihatin terhadap aspek kebersihan dan bertanggungjawab merupakan aspek yang perlu diutamakan dalam memastikan alam sekitar berada pada tahap terbaik.
Apatah lagi, konsep manusia selaku khalifah di atas muka bumi menunjukkan secara jelas bahawa alam sekitar merupakan hak mutlak Allah SWT yang dianugerahkan kepada manusia sebagai amanah untuk dipelihara dengan sebaik mungkin. Bahkan, sebarang perbuatan baik ataupun buruk terhadap alam sekitar akan dihisab oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap daripada kita perlu memahami bahawa menjaga kelestarian alam sekitar adalah wajib dan merupakan satu ibadah kerana amalan ini dapat menjamin kesejahteraan hidup manusia dan juga kelestarian tamadun.