Ketika artikel ini ditulis, kita sudah pun berada pada penghujung tahun. Jika kita berpaling ke belakang masa yang kita tinggalkan sangat banyak kisah masyarakat yang menyentuh hal salah laku, jenayah, kebiadaban—sama ada secara zahir ataupun maya—dan pelbagai perlakuan menjelikkan. Seolah-olahnya budaya hidup yang menggambarkan kehidupan masyarakat berperadaban itu semakin tenggelam dan menghilang ditelan pemodenan. Kadang-kadang kita terlupa bahawa sebenarnya peradaban dan kemodenan merupakan dua konsep yang mempunyai ciri-ciri tersendiri walaupun pada zaman tertentu ia pernah berlangsung seiringan.
Kita sememangnya tidak menafikan bahawa peradaban itu bermula dari aspek geografi dan logistik iaitu tanah yang subur yang boleh menghimpunkan unit-unit keluarga untuk bercucuk tanam, menternak binatang bagi menghasilkan makanan secara stabil dan konsisten, seterusnya dapat melangsungkan kehidupan. Selanjutnya menjadi suatu kelompok yang membentuk masyarakat, membina organisasi ekonomi sekali gus institusi kepimpinan.
Dari satu sudut yang lain, peradaban sebenarnya bermula dengan unit keluarga kerana ia paling asas dalam struktur sosial manusia. Bermula dari unit kecil inilah lahirnya komuniti, masyarakat dan akhirnya peradaban yang bersifat kompleks. Kita juga sedia maklum bahawa segala-galanya bermula dari keluarga. Bukan sekadar belajar makan, minum serta mengurus diri, keluarga juga merupakan institusi pertama dalam pembentukan sahsiah dan jati diri seseorang manusia pada peringkat awal.
Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga perlu memainkan peranan sebagai pendidik utama kepada anak-anak sebelum mereka menerima pendidikan dari luar rumah secara rasmi, tidak rasmi dan secara tidak langsung melalui persekitaran di sekeliling mereka. Pendidikan di rumah amat penting dalam membentuk keperibadian supaya anak-anak boleh berdikari pada masa hadapan. Walaupun demikian, kita tidak menafikan bahawa pada hari ini di dalam rumah juga ada cabaran yang tertentu kerana apa-apa sahaja maklumat boleh diakses di hujung jari.
Pendidikan Agama Bermula di Rumah
Antara perkara pertama yang perlu diperkenalkan oleh anak-anak ialah nilai-nilai keagamaan dari aspek uluhiyyah dan rububiyyah. Hidup dengan penghayatan agama yang kukuh mampu membentuk sahsiah yang berupaya untuk mengurus cabaran dan menjadi benteng kepada sebarang perkara negarif. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberikan keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat mereka. Sebaliknya, bagi ibu bapa yang ingkar dengan perintah Allah, nescaya anak-anak akan meniru kelakuan tersebut. Kita juga disarankan untuk mengamalkan doa-doa tertentu seperti doa yang dibaca oleh Nabi Ibrahim A.S bagi memastikan zuriat keturunan kita sentiasa berada dalam landasan agama.
Cabaran Era Digital
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa di dalam rumah juga ada cabaran tertentu. Penggunaan gajet dan media sosial yang tidak terkawal, boleh memberi kesan buruk kepada sesiapa sahaja dan pada mana-mana peringkat. Apatah lagi untuk usia awal kanak-kanak yang melibatkan tumbesaran secara fizikal dan perkembangan minda serta emosi.
Agama Islam ada memberi panduan dalam pentarbiahan terhadap anak-anak mengikut peringkat usia mereka. Maka, pada zaman gajet dan teknologi begitu mendominasi, ibu bapa perlu bijak ketika memainkan peranan masing-masing sebagai pendidik dan pembimbing anak-anak, dari anak itu kecil hinggalah ke peringkat yang lebih dewasa.
Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Tahrim ayat enam yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka…” Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam Kitab Tafsir al-Wasit menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang beriman kepada Allah SWT agar menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan kebaikan dan menjauhkan diri daripada keburukan dan maksiat. Mereka juga berperanan dalam melindungi ahli keluarga masing-masing dengan pendekatan yang sesuai supaya hanya perkara ma’ruf sahaja yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga.
Peranan ibu bapa pada hari ini sememangnya lebih mencabar berbanding masa lalu. Walaupun anak-anak pada peringkat lebih dewasa kelihatan telah memahami cabaran di sekeliling tetapi pemantauan oleh ibu bapa masih perlu dilakukan secara berkala. Suasana persekitaran yang kurang sihat di luar rumah boleh mempengaruhi keperibadian anak-anak, dan tentu sahaja kita juga tidak mahu anak-anak kita memberi pengaruh yang tidak baik kepada rakan sebaya mereka.
Umumnya tingkah laku anak-anak adalah refleksi pada pentarbiahan ibu bapa, tanpa menafikan ada juga situasi dengan anak-anak sukar dilentur walaupun ibu bapa memiliki sahsiah yang mulia. Anak-anak mungkin menjadi manusia yang menurut kerana nasihat, tetapi mereka juga belajar melalui pemerhatian terhadap sikap dan tindakan orang dewasa di sekeliling mereka. Oleh itu, ibu bapa serta penjaga seharusnya menunjukkan teladan yang baik dalam pertuturan, perbuatan dan cara berfikir.
Intihanya, rumah ialah “madrasah” pertama dan utama waima apa juga zaman yang dilalui. Pada zaman yang lebih mencabar dan agresif ini ibu bapa perlu menjadikan prinsip-prinsip pendidikan Islam sebagai panduan dalam mendidik anak-anak. Pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya boleh dijadikan sebagai rujukan. Pepatah Melayu lama yang menyebut, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya,” jelas menggambarkan pendidikan anak perlu bermula dari rumah bagi melahirkan generasi yang mampu meneruskan peradaban sesebuah bangsa dan negara.
Penulis Bersama :
Siti Shamsiah binti Md Supi (Felow)
Dan
Cik Nur Shakirah binti Mohamed Yasin (Pembantu Penyelidik)
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK)
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

