Baru-baru ini dilaporkan bahawa begitu ramai penjawat awam yang berhutang untuk membeli rumah dan kenderaan. Penulis pasti ini bukan masalah para penjawat awam sahaja. Adalah lazim untuk kita berhutang bagi membeli kedua-dua harta ini kerana harganya yang tinggi. Malah, berhutang untuk memiliki rumah dan kenderaan dianggap wajar kerana kedua-duanya merupakan keperluan dalam hidup kita berdasarkan kepada hadis yang bermaksud, “Di antara kebahagiaan hidup seseorang itu ialah mempunyai isteri yang baik, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik” (HR Ahmad).
Selain hutang perumahan dan kenderaan, ramai ahli masyarakat yang menanggung hutang peribadi yang diperolehi dari koperasi atau bank-bank perdagangan. Sesetengah dari mereka pula menanggung hutang tidak formal apabila meminjam dari ahli keluarga mahupun rakan karib. Itu belum dikira hutang membeli kain batik sutera atau kain chiffon yang bukan sahaja mahal, tetapi juga memerlukan kos penjagaan yang tinggi. Ada juga yang berhutang untuk membeli pinggan-mangkuk cantik dan berjenama yang hanya dipakai dua kali setahun ketika hari raya. Malah, ada yang berhutang untuk membeli permaidani, kain pelekat, kerongsang dan sebagainya.
Sememangnya ramai yang suka berhutang sedangkan Uqbah bin Amir melaporkan bahawa Rasullulah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Janganlah engkau takut-takuti jiwa setelah ia tenteram.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah (yang menakut-nakutkan jiwa) itu?” Baginda bersabda, “Hutang” (HR Ahmad).
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa berhutang itu tidak digalakkan oleh Islam. Walau bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang dilarang. Sebaliknya, hutang dibenarkan dalam keadaan tertentu. Jika tidak, tidak mungkin diturunkan wahyu mengenai perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam sesuatu urusan hutang seperti yang dijelaskan dengan panjang lebar dalam Surah al-Baqarah, ayat 282-283.
Secara ringkasnya, dalam kedua-dua ayat ini, Allah memerintahkan agar mereka yang terlibat dalam hutang: (a) menulis butiran hutang tersebut seperti jumlah, tempoh bayaran, tarikh pinjaman dibuat, tarikh pinjaman akan dilangsaikan dan seumpamanya; dan, (b) mewujudkan saksi bagi mengesahkan bahawa urusan hutang ini telah dijalankan dengan perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Perincian yang diberikan oleh kedua ayat ini juga menunjukkan bahawa mereka yang berhutang, wajib membayar hutang tersebut. Malah, jika siberhutang itu meninggal dunia sebelum melangsaikan hutang tersebut, harta peninggalannya hendaklah digunakan untuk melunaskan hutang itu sebelum harta tersebut diwariskan kepada mereka yang berhak (Surah an-Nisa’, ayat 12). Kewajipan membayar hutang ini pula ditegaskan pula oleh hadis yang bermaksud, “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)” (HR Muslim).
Jelas betapa Islam memberikan panduan yang lengkap berkenaan hutang. Namun, berapa ramaikah umat Islam yang mengambil berat tentang hal ini? Barapa ramai yang tahu bahawa agama Islam tidak menggalakkan kita berhutang? Berapa ramai pula yang tahu bahawa butiran hutang perlu dicatatkan dan perlunya saksi dalam setiap urusan hutang, bukan hanya ketika berhutang dengan bank, tetapi juga ketika berhutang dengan saudara-mara dan kawan-kawan? Berapa ramai pula yang berhutang sesuka hati tanpa memikirkan apakah tujuan ia berhutang itu dibenarkan oleh Islam? Berapa ramai yang tahu bahawa membayar hutang itu wajib tetapi masih mencuaikannya?
Dalam satu tinjauan awal penulis mengenai tingkahlaku berhutang masyarakat Islam (meliputi 130 responden), didapati bahawa: (i) walaupun Islam tidak menggalakkan hutang, tetapi majoriti responden berpendapat bahawa pinjaman peribadi patut digalakkan; dan, (ii) walaupun Allah memerintahkan agar mereka yang terlibat dalam urusan hutang menulis butiran hutangnya dan menyediakan saksi bagi urusan itu, majoriti responden tidak berbuat demikian, khususnya dalam kes hutang tidak formal yang melibatkan ahli keluara dan kawan-kawan.
Selain itu, majoriti responden membuat pinjaman peribadi untuk: (a) membuat bayaran pendahuluan membeli kereta; (b) membayar hutang-hutang yang lain; (c) membiayai pendidikan; dan, (d) membuat pelaburan. Para pembaca boleh menilai sendiri apakah tujuan-tujuan pinjaman ini sesuatu yang dibenarkan oleh Islam atau sebaliknya.
Jelas bahawa masyarakat kita ada masalah dalam perkara hutang. Sebagai umat Islam yang sikap serta tingkahlakunya dipandu oleh ajaran Islam itu sendiri, pandangan Islam tentang hutang perlu disebarluaskan kepada mereka. Mereka perlu tahu tentang: sikap Islam terhadap hutang; keadaan-keadaan yang dibenarkan berhutang; perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam urusan hutang; dan, kewajipan membayar hutang.
Di masa yang sama ahli masyarakat perlu dididik dengan kemahiran menguruskan wang agar wang yang ada ditangan dapat diagihkan secara berhemah sehingga cukup untuk memenuhi keperluan keluarga tanpa perlu berhutang. Menyeru mereka untuk berbelanja secara berhemah berulangkali adalah tidak memadai seandainya mereka tidak diperkasakan dengan kemahiran yang diperlukan untuk melakukannya.
Bagi majikan yang serius mahu mengelakkan pekerjanya dari terlibat dengan hutang yang mampu mengganggu tumpuan kerja mereka pula, dua langkah berikut boleh diambil. Pertama, bagi pekerja muda yang baru melapor diri, majikan boleh menyediakan kursus kemahiran pengurusan kewangan agar mereka mendapat panduan mengenai hal ini. Kedua, untuk pekerja lain, majikan boleh memantau tabiat berhutang mereka melalui slip gaji yang diedarkan pada setiap bulan. Bahagian kewangan boleh diarahkan untuk mengenalpasti para pekerja yang sebahagian besar gajinya dipotong untuk membayar hutang. Pekerja-pekerja ini perlu diberi kaunseling kewangan bagi mengelakkan mereka dari terus terjebak dalam kancah hutang. Pastinya, peratusan tertentu dari gaji yang digunakan untuk membayar hutang perlu dikenalpasti lebih awal agar tindakan intervensi ini tidak terlalu lewat diberikan.