Kemerdekaan memberi erti yang sangat bermakna kepada sebuah negara. Masyarakat Islam di peringkat permulaan di Mekah tidak dapat mengecapi makna kemerdekaan. Nabi sendiri tidak bebas menyebarkan ajaran Islam – terpaksa dilakukan secara senyap-senyap.
Penganut Islam tidak bebas melakukan suruhan agama. Bahkan golongan tertentu menyeksa orang yang memeluk agama Islam seperti yang berlaku ke atas Bilal dan keluarga Yasir. Tali kekeluargaan tidak menjamin kebebasan mengamalkan agama. Bahkan orang Islam dipulau beberapa lama, ditegah daripada berinteraksi. Agama Islam dimusuhi begitu juga dengan pengikutnya.
Latar belakang kepada kemerdekaan dan kedaulatan bangsa yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w. di Madinah bermula dengan beberapa akujanji atau Baiah ketika di Mekah lagi. Kemudian diadakan pula rundingan dan persetujuan dengan kaum-kaum yang ada di Madinah sehingga termeterai Sahifah Madinah.
Dalam Sahifah Madinah ini terdapat beberapa peruntukan menyatakan tentang pembentukan umat (masyarakat) yang satu dan bebas dalam organisasi politik, mempunyai autoriti atau kuasa untuk menentukan bentuk dan corak pemerintahan yang berdaulat.
Dalam konteks semasa, kemerdekaan memberi erti: (i) kebebasan daripada penjajahan; (ii) bebas atau lepas daripada tebusan; (iii) berdikari – tidak bergantung kepada orang lain; (iv) tidak terikat – boleh melakukan sesuatu yang dikehendaki. Daripada pandangan Islam, kebebasan boleh dilihat daripada beberapa aspek seperti politik, spiritual (bebas daripada pengaruh material), falsafah dan tauhid. Islam mengambil berat tentang kebebasan.
Pada suatu ketika Nabi membenarkan satu kumpulan orang Islam di Mekah berhijrah ke Habsyah, baginda bersabda, sehingga Allah membebaskan kamu daripada segala tekanan.
Kebebasan adalah sebahagian daripada hak asasi manusia. Dalam Perlembagaan Malaysia, bahagian 2 adalah mengenai Kebebasan Asasi. Terdapat peruntukan sebagai jaminan terhadap kebebasan diri, kebebasan beragama, memiliki harta, kebebasan melahirkan pendapat, bergerak, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Bagaimanapun kebebasan yang diberikan oleh Perlembagaan bukanlah kebebasan mutlak – lebih-lebih lagi apabila menyentuh hak dan kepentingan orang lain. Dalam Islam dipaparkan bahawa terdapat lima maksud al-Syariah yang perlu diberi jaminan, jika dicabuli boleh dihukum mengikut undang-undang. Perkara-perkara yang dilindungi meliputi nyawa, agama, akal, harta dan keturunan.
Islam memberi garis panduan hidup dalam masyarakat majmuk iaitu taaruf atau berkenalan antara satu dengan lain. Dalam Sahifah Madinah dianjurkan supaya bersahabat tanpa mengenal puak atau asal keturunan, seterusnya menyatakan wajib menolong antara satu sama lain.
Asas-asas tersebut boleh direalisasikan dalam kehidupan masyarakat yang merdeka. Masyarakat yang telah dibebaskan daripada belenggu penjajahan dan membentuk sebuah negara yang berdaulat. Negara Madinah membentuk satu identiti iaitu masyarakat majmuk. Tidak semua negara memiliki identiti masyarakat pelbagai kaum dan agama. Malaysia adalah sebuah negara yang unik dalam konteks komposisi kaum dan penganut agama.
Dalam sebuah negara yang merdeka, perpaduan adalah asas kepada pembangunan. Justeru, apabila Rasulullah s.a.w. mendirikan negara Madinah, baginda telah memberi tumpuan utama sebelum membangunkan negara. Perpaduan dirancang dalam dua peringkat. Pertama, di kalangan orang Islam – Muhajirin dan Ansar dieratkan perhubungan dan setelah itu di kalangan golongan Yahudi dan penduduk Madinah keseluruhannya. Jelas bahawa dalam masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza, budaya yang berbeza dan agama yang berlainan – tuntutan perpaduan amatlah penting.
Pada hari ini pun kita dapat menyaksikan sengketa dan permusuhan berlaku dalam negara oleh sebab berbeza fahaman agama atau perbezaan aliran pegangan agama.
Di Malaysia, perpaduan kaum adalah suatu yang tidak boleh dipandang remeh atau diabaikan.
Perpaduan hendaklah merentasi segala aspek perjuangan bangsa. Di samping perpaduan, perlu ada semangat kesetiaan kepada negara. Dengan semangat kesetiaan akan lahir sikap patriotik iaitu mempertahankan negara. Orang yang tidak setia akan membiarkan negaranya dikuasai oleh anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara.
Di ambang sambutan hari kemerdekaan ke-45 tahun baru-baru ini, rombongan dari Congressional Staffers Amerika Syarikat berkunjung ke Malaysia. Sempena dengan rombongan ini di Kuala Lumpur, pihak Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) telah memilih IKIM sebagai antara tempat kunjungan delegasi ni. Saya bertanya kepada seorang daripada delegasi tersebut pandangannya tentang Malaysia.
Katanya, ini adalah kunjungan pertamanya ke Kuala Lumpur dan selepas ini ke Pulau Pinang dan akan melihat perayaan kemerdekaan Malaysia dari sana. Baginya Malaysia sebuah negara yang membangun, maju, pelbagai kaum hidup bersama, aman dan berasa senang berada di Kuala Lumpur. Mereka yang belum berkunjung atau pernah berkunjung 10 tahun yang lepas ke Malaysia, akan mendapati Kuala Lumpur telah berubah wajah dengan kemunculan pusat pentadbiran baru di Putrajaya.
Dahulu ada pihak mengatakan Putrajaya adalah satu pembaziran. Kini Putrajaya muncul sebagai mercu identiti pusat pentadbiran kerajaan Malaysia yang tidak lagi mempunyai imej penjajahan. Kini Malaysia mempunyai lebuh raya menghubungkan utara dan selatan, bangunan tinggi termasuk Menara Berkembar Petronas yang diakui sebagai bangunan tertinggi di dunia, Menara Kuala Lumpur, sistem pengangkutan rel – komuter, LRT, hubungan terus dari KL Sentral ke KLIA dan tidak berapa lama lagi monorail. Kalau kita pernah berkunjung ke negara maju seperti Perancis, England dan Amerika, Malaysia tidak ketinggalan daripada aspek pembangunan dan kemudahan awam.
Pembangunan ini telah dicipta dan diadakan untuk rakyat Malaysia. Pembangunan yang pesat ini tidak berlaku dalam tempoh setahun dua bahkan memakan masa yang lama dengan perancangan yang berterusan. Semuanya ini tidak mungkin diadakan jika negara lemah, ketidakstabilan pemerintah dan negara tidak aman.
Apa yang kita lihat di sekeliling ketika ini adalah berbeza sama sekali dengan keadaan negara sebelum mencapai kemerdekaan. Penjajah tidak memberi tumpuan kepada aspek pembangunan yang menyeluruh.
Untuk mengekalkan dan menjamin kemakmuran, kestabilan, keharmonian dan keamanan negara, ia tidak hanya terletak di atas bahu pemerintah, ia adalah menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat untuk memeliharanya.
Pemimpin negara selalu mengingatkan supaya kita perlu berkorban untuk negara. Kita boleh memiliki sesuatu yang berharga, tetapi tidak memadai setakat memilikinya jika tidak tahu menjaga dan menghargainya. Ia akan hilang jika tidak dijaga dengan baik. Begitu juga dengan kemerdekaan dan kemakmuran yang dikecapi. Ia perlu dipelihara dengan baik. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua menjaganya.