“Scammer” atau penipu terutamanya secara dalam talian kini semakin bermaharajalela dan berani penipu siapa sahaja yang akhirnya akan menjejaskan pembangunan negara. Setiap hari semakin bertambah orang yang terpedaya dengan berbagai-bagai tipu daya mereka. Menyamar sebagai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kakitangan mahkamah, pegawai kanan Bank Negara, pegawai bank, tawaran pinjaman, tawaran kerja dan berbagai-bagai cara lagi.
Apa yang semakin membimbangkan kita ialah dari segi keselamatan iaitu apabila scammer ini terlalu mudah mendapat maklumat peribadi kita seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat rumah, alamat pejabat, pekerjaan kita, maklumat keluarga kita dan lain-lain. Mereka mempunyai maklumat sesiapa sahaja yang mereka kehendaki iaitu apabila berlaku ketirisan data kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya perbuatan keji mereka.
Semenjak tahun 2019-2021 sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian yang telah direkodkan melibatkan kerugian sebanyak RM1.61 bilion. Kes belian dalam talian mencatatkan kes tertinggi sebanyak 18,857, diikuti kes pinjaman tidak wujud sebanyak 15.546 kes. (Berita Harian 14 Mac 2022).
Di Selangor sahaja kerugian sebanyak RM59.6 juta direkodkan akibat penipuan secara dalam talian dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022. Menurut ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, kebanyakan daripada RM59.6 juta itu telah dipindahkan keluar negara yang seterusnya mengakibatkan kerugian terhadap negara.
Terdapat 7 jenis penipuan yang popular di Malaysia ini. Pertama, Macau Scam iaitu menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai kastam dan lain-lain. Kedua, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Scam iaitu scammer yang menyamar sebagai pegawai KWSP. Ketiga, Love Scam yang menggunakan platfom online dating dan menjalinkan percintaan. Scammer biasanya dari warga kulit hitam tetapi menyamar menggunakan profile warga kulit putih. Antara taktik yang digunakan ialah berpura-pura menyatakan ada kecemasan kewangan atau ada barang yang ditahan kastam. Keempat, scam pinjaman peribadi yang kononnya menawarkan pinjaman dengan kadar faedah 0% dan dijamin kelulusannya. Taktik mereka ialah meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan dan mangsa didesak untuk membuat keputusan secara terburu-buru. Ada juga taktik yang menawarkan pinjaman walau pun tidak memohon. Kelima, scam pelaburan iaitu kononnya pelaburan mereka tidak mempunyai risiko dan jaminan keuntungan yang lumayan, Keenam, scam skim cepat kaya. Scam ini menjanjikan pulangan yang tak masuk akal dan selalunya digerakkan menggunakan taktik MLM (Multi-Level Markting) dan ketujuh ialah skim Parcel. Antara taktik yang digunakan oleh skim parcel atau bungkusan ini ialah mereka menghubungi mangsa dan memberitahu kononnya ada bungkusan dari luar negara kepada kita dan kita dikehendaki membuat bayaran untuk menuntut bungkusan tersebut.
Namun begitu apa yang lebih memeranjatkan ialah wujudnya scammer Islamik atau scammer yang bertopengkan agama. Antara modus operandi mereka ialah mengiklankan pakej umrah dengan janji-janji manis seperti hotel di Tanah Haram hanya 50 meter sahaja dari masjid. Menurut mereka turun sahaja lif jalan sedikit sudah sampai tetapi hakikatnya hotel tersebut jauh di atas bukit. Saya sendiri pernah mengalaminya. Apabila ditanya mengapa tidak seperti yang diiklankan maka scammer Islamik akan menjawab kita patut bersyukur dan bersabar telah berada di bumi Mekah ini kerana berapa ramai lagi yang tidak dapat datang ke Mekah.
Begitu juga kutipan derma pusat tahfiz. Kutipan yang dibuat tanpa resit, tidak mempunyai surat untuk mengutip derma, akaun tidak diaudit dan lain-lain. Kutipan derma tabung Palestin, tabung bencana alam, tabung Syria dan berbagai-bagai lagi tabung yang dilancarkan tetapi akhirnya kita tidak tahu bagaimana sumbangan yang diberikan oleh orang ramai sampai terus kepada sasaran.
Penulis berpandangan pihak-pihak tertentu perlu memantau kesemua kutipan derma yang melibatkan duit orang ramai ini agar scammer dapat dibawa ke muka pengadilan. Pengutip derma ini perlu “install” atau pasang satu perisian software yang boleh jejak trace ke mana perginya duit derma tersebut kerana dibimbangi derma tersebut diselewengkan atau membiayai keganasan.
Penulis cuba mencari jawapan kepada persoalan ini. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes penipuan oleh scammer tetapi yang ingin penulis kongsikan di sini ialah berkaitan dua perkara sahaja iaitu ‘believe system” atau sistem kepercayaan individu dan ketirisan data peribadi. Pertama, sistem kepercayaan individu ini dapat kita huraikan secara ringkas ialah bagaimana cara kita berfikir dan bertindak mengenai sesuatu perkara. Sistem kepercayaan masyarakat kita yang mudah percaya, terpedaya atau cepat simpati walaupun tanpa bukti atau fakta yang konkrit. Dalam pemikiran saintifik menerima atau menolak sesuatu hujah itu mesti berdasarkan kepada data dan fakta yang kukuh secara saintifik.
Begitu juga dengan Islam yang mengajar kita supaya merujuk daripada sumber yang sahih mengenai sesuatu perkara itu “Wahai orang yang beriman Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesal apa yang telah kamu lakukan”. (al-Hujuraat:6).
Kedua, ialah berkaitan dengan kebocoran data yang semakin menjadi-jadi. Kebocoran data peribadi ini boleh berlaku dalam berbagai cara. Sebagai contoh, apabila kita mendaftar untuk menghadiri kursus, menyertai seminar, membeli barangan secara atas talian, khidmat penghantaran, melanggan talian mudah alih, membuka apa sahaja akuan serta lain-lain perkhidmatan maka data kita sebenarnya akan terdedah dengan kebocoran.
Data-data peribadi ini seterusnya dijual kepada pihak ketiga seperti agensi pengutip hutang, Ah Long dan syarikat-syarikat yang memerlukan data peribadi. Data peribadi ini juga dijual ke seluruh dunia melalui “dark web”. Dikatakan saiz dark web ini adalah 400 kali ganda lebih besar daripada saiz laman web yang biasa lawati iaitu seperti mana teori “iceberg” dan kebiasaanya urusniaga dilakukan menggunakan bitcoin. Akhir sekali kesan daripada penipuan oleh scammer ini memberi kesan jangka masa panjang dan pendek pada diri kita dan ada yang terpaksa memulakan hidup baru setelah ditipu habis kesemua wang simpanan untuk hari tua. Jadi, sebagai panduan kita boleh menyemak terlebih dahulu nombor akaun bank individu atau syarikat tersebut dan juga menyemak nombor telefon dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia melalui link atau URL https://semakmule.rmp.gov.my. Cara membuat semakan ialah dengan memasukkan nombor akaun atau nombor telefon orang yang ingin kita berurusan sebelum membuat sebarang transaksi. Kita juga boleh melihat banyak video-video pesanan dan nasihat kepada masyarakat berkaitan aktiviti scammer yang dimuat naik di Tik Tok oleh akaun ASP Rahmat Fitri bin Abdullah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia.