Bulan kemerdekaan biasanya menjadi suatu fasa yang bersifat imbauan. Kembali kepada sejarah untuk menilai kecintaan terhadap tanah air. Akan tetapi apa juga bentuk kemerdekaan, ia bermula dari jiwa yang merdeka.
Jiwa yang merdeka akan memberikan suasana hidup yang sejahtera. Sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. Semakin besar peranan seseorang, maka semakin besar nilai kemerdekaan dan kesejahteraan yang akan dinikmati. Begitulah yang dapat kita lihat pada sejarah jiwa merdeka seorang yang bernama Abraham Lincoln. Jiwa merdeka yang dimiliki beliau menjadikan beliau seorang yang teguh berjuang demi kebebasan orang lain kerana pandangan beliau tentang kebebasan menerobosi warna kulit yang berbeza.
Sebaliknya pada suatu fasa, Malcolm X menolak semua orang kulit putih tanpa sebarang pengecualian disebabkan dasar Amerika yang mengamalkan pihak kasih bangsa (racisme). Selama 12 tahun beliau menyampaikan kefahaman berkenaan kulit putih yang disifatkannya sebagai syaitan. Walaupun pada ketika itu Malcolm X telahpun dikatakan memeluk agama Islam, tetapi selama tempoh tersebut kefahaman Islam yang dianutinya tidak benar-benar membebaskan pemikiran dan jiwanya disebabkan kesempitan pengertian Islam yang diterima. Sehinggalah apabila beliau berhijrah ke Mekah, Malcolm menyedari kebenaran Islam yang hakiki sehingga beliau sentiasa memberi pesanan dengan katanya, “Saya bukan seorang yang memegang fahaman perkauman, saya tidak mempercayai sebarang bentuk perkauman, saya tidak mempercayai sebarang bentuk pembezaan (diskriminasi) atau pengasingan. Apa yang saya percaya ialah Islam.”
Perjuangan jiwa merdeka bermula dari penolakan terhadap ketidakseimbangan dan ketidaksejahteraan kehidupan masyarakat sekeliling. Sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul, Baginda telah rasa sangat terganggu dengan amalan buruk yang diamalkan oleh masyarakat Baginda. Akhirnya, wahyu yang diturunkan kepada Baginda agar disampaikan ajaran yang terkandung di dalamnya kepada umat manusia, telah membebaskan pemikiran manusia daripada belenggu kejahilan yang pelbagai bentuknya terutama kejahilan akidah.
Sebelum kedatangan agama Islam, manusia masih terbelenggu dengan penjajahan akal dan hawa nafsu. Orang yang kuat atau kaya akan menindas orang yang lemah atau miskin. Dan kita juga maklum tentang penindasan yang melampau terhadap golongan wanita. Agama Islam diturunkan antaranya dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan-penjajahan ini.
Wahyu yang diturunkan itu kemudiannya disambut oleh Bilal ibn Rabah sekalipun beliau berkedudukan sebagai seorang hamba. Beliau meyakini bahawa setiap individu tanpa mengira keadaan yang dihadapi, harus memerdekakan diri, jiwa dan pemikirannya terlebih dahulu. Beliau meyakini bahawa, dengan menerima ajaran Islam kewujudannya di dunia akan diiktiraf. Haknya sekalipun hanya sebagai seorang hamba akan dilindungi dan dipelihara. Kerana di sisi agama Islam seorang manusia bergelar hamba lebih mulia kedudukannya berbanding bukan Islam sekalipun ia seorang raja.
Sekiranya diamat-amati, inti pati kemerdekaan di sisi Islam ialah maqasid al-Syariah bagi setiap individu manusia kerana ukuran kesejahteraan manusia dilihat dengan kebebasan manusia untuk menikmati kepercayaannya, dengan nyawanya yang dilindungi selain akal yang sejahtera untuk berfikir. Kesejahteraan dan keamanan juga dikira apabila manusia memiliki kebebasan dalam urusan yang berkaitan dengan keturunan, harta dan maruahnya. Maka manusia berjuang demi mencapai kemerdekaan adalah demi kelangsungan hidup agama, nyawa, akal, keturunan dan hartanya.
Sejarah Tanah Melayu telah membuktikan bahawa keadaan akal fikiran yang tidak merdeka menyebabkan agama Islam tidak dapat memainkan peranannya yang sebenar dalam mengatur sistem pemerintahan, ekonomi dan kemasyarakatan Tanah Melayu. Apabila dijajah, dan British memegang perbendaharaan negara, Tanah Melayu menjadi sangat miskin dalam mengurus hal-ehwal agama Islam.
Itu fenomena dan tafsiran belenggu penjajahan dan kemerdekaan jiwa pada ketika itu. Tafsiran kemerdekaan pada hari ini sudah tentunya sangat berbeza sementelah kita telah menurunkan bendera Union Jack 51 tahun yang lalu dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang.
Apa pun keadaan kita pada hari ini, jiwa merdeka perlu sentiasa tersemat di dalam dada. Asas kepada jiwa merdeka ialah akidah yang kukuh. Berpaksikan kepada nur tauhid, manusia bukan sahaja akan sentiasa membebaskan dirinya daripada belenggu penjajahan secara zahiriah, tetapi akan sentiasa memastikan dirinya sebagai manusia atau umat yang memiliki maruah dan ada harga diri.