Tidak dapat dinafikan bahawa kemusnahan alam sekitar memberi kesan fizikal (zahir) kepada kehidupan manusia. Kesan fizikal ini amat mudah dikenal pasti. Antara kesan fizikal ini termasuklah kecederaan tubuh badan, kehilangan tempat tinggal serta harta, peningkatan kemiskinan, kesukaran mendapatkan sumber air bersih, kehilangan sumber ubat-ubatan daripada tumbuhan, kejadian bencana dan sebagainya.
Namun begitu, kesan penganiayaan alam sekitar tidak terhad kepada yang zahir semata-mata, tetapi turut melibatkan tekanan kepada psikologi manusia. Peningkatan pelbagai masalah alam sekitar terutamanya masalah yang berpunca daripada perubahan iklim telah memberi tekanan jiwa kepada manusia. Keadaan ini berlaku apabila wujudnya kebimbangan melampau terhadap pelbagai bencana alam sekitar akibat daripada perubahan iklim. Secara khususnya, masalah ini dikenali sebagai eco-anxiety.
Menurut American Psychological Association (APA), eco-anxiety merujuk kepada perasaan takut yang kronik terhadap pelbagai kejadian kemusnahan alam yang berlaku di persekitaran manusia. Eco-anxiety tidak dianggap sebagai satu penyakit mental, namun masalah ini boleh meningkatkan tahap kebimbangan individu dan dalam jangka masa panjang akan mempengaruhi tahap kesihatan mental seseorang terutamanya kepada golongan berisiko misalnya mereka yang sedang berhadapan masalah kesihatan mental tertentu.
Istilah eco-anxiety ini pada mulanya dikaitkan dengan isu perubahan iklim, iaitu seseorang yang terlalu takut dengan pelbagai kesan daripada masalah perubahan iklim. Namun kemudiannya, ia turut dikaitkan secara umum kepada masalah-masalah alam sekitar yang lain. Kebimbangan melampau berbeza-beza mengikut keadaan atau individu tetapi secara umumnya kebimbangan itu melibatkan gabungan pelbagai perasaan negatif seperti kebimbangan, rasa bersalah, sedih, tekanan perasaan, gementar, rasa lemas, sakit kepala dan sebagainya. Akhirnya, gabungan perasaan tersebut akan mempengaruhi pencapaian seseorang, mengurangkan kualiti tidur, menjejaskan perhubungan, mengganggu penumpuan dan sebagainya.
Kajian yang diketuai oleh Caroline Hickman dari University of Bath, United Kingdom (UK) terhadap 10,000 anak muda berusia di antara 16 hingga 25 tahun di 10 buah negara seperti Australia, Brazil, Finland, Perancis, India, Nigeria, Filipina, Portugal, UK dan Amerika Syarikat ini menunjukkan bahawa eco-anxiety lebih kerap berlaku dalam kalangan generasi muda. Kajian ini telah dijalankan di antara Mei hingga Jun 2021. Antara penemuan menarik kajian ini menunjukkan bahawa 59 peratus responden menyatakan amat bimbang tentang masalah perubahan iklim masa kini. Manakala 45 peratus responden menyatakan bahawa perasaan mereka terhadap isu perubahan iklim telah memberi kesan negatif terhadap kehidupan seharian.
Kemungkinan keadaan ini berlaku kerana mereka lebih terdedah kepada pelbagai isu alam sekitar terutama yang berkait dengan perubahan iklim. Dengan anggapan bahawa jangka hayat mereka masih panjang, golongan muda merasakan bahawa mereka lebih terdedah kepada kesan alam sekitar serta mereka juga tidak yakin wujudnya jalan penyelesaian yang konkrit bagi mengatasi masalah alam sekitar tersebut.
Selain pengetahuan untuk menangani kebimbangan kronik ini, individu yang menghadapi masalah eco-anxiety memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak. Dalam hal ini, mereka digalakkan terlibat dengan pelbagai kerja kesukarelaan terutamanya yang berkait dengan alam sekitar. Ini bagi meningkatkan pengetahuan serta kefahaman tentang perkara sebenar berkaitan satu-satu isu alam sekitar. Selain itu, wajar juga diwujudkan satu landasan penyaluran idea dan pandangan daripada golongan muda terhadap isu alam sekitar serta penyelesaiannya. Selain itu, lebih banyak ruangan hijau (green spaces) seperti taman atau hutan dalam bandar perlu diwujudkan untuk memberi ruang kepada semua golongan menikmatinya. Ruangan hijau seperti itu boleh membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan rasa tenang.
Penjelasan tentang eco-anxiety ini membuktikan bahawa semua perbuatan buruk manusia terhadap alam ini akan kembali jua kepada manusia. Hal yang demikian ini telah membuka mata kita terhadap sepotong ayat yang disebutkan dalam surah Ar-Rum, ayat 41 yakni Allah SWT berjanji bahawa manusia akan merasai kesan daripada kerosakan yang telah mereka lakukan dalam alam ini dan tujuan pembalasan ini adalah agar manusia kembali insaf dan bertaubat.
Ketika manusia melakukan kerosakan kepada alam, mereka angkuh dan merasakan bahawa mereka mempunyai segala kekuatan untuk melakukan pelbagai perkara ke atas bumi ini. Namun, akhirnya kerosakan alam ini memberi kesan bukan sahaja secara zahir tetapi juga jiwa manusia. Apabila ini semua berlaku, maka terserlahlah kelemahan manusia. Ironinya pula, manusia mencari jalan penyelesaian kepada masalah jiwa mereka dengan kembali kepada alam, iaitu mencari ketenangan melalui kehijauan alam (taman-taman).
Walaupun sering dikaitkan dengan rasa negatif tetapi eco-anxiety juga boleh menjadi faktor pemangkin untuk membawa perubahan ke arah kebaikan. Konsep practical eco-anxiety, iaitu merujuk kepada perasaan bimbang yang dihadapi oleh seseorang akibat ancaman atau cabaran tertentu dan perasaan ini akan membawa seseorang itu untuk melakukan perubahan-perubahan positif. Kebimbangan akan nasib bumi ini, tidak harus berakhir dengan rasa takut dan mengalah semata-mata, namun perlu dijana untuk menghasilkan tindakan-tindakan baik untuk menyelamatkan bumi ini. Malah, perasaan mengalah dan berserah semata-mata bukanlah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Oleh yang demikian, masyarakat perlu dibantu atau disedarkan bahawa perasaan takut semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah tetapi rasa takut atau bimbang itu perlu diangkat lebih tinggi dengan usaha-usaha untuk menyelamatkan bumi daripada pelbagai ancaman masa kini. Dengan hakikat ini, maka sedarlah bahawa diri manusia itu sendiri sangat rapuh. Oleh sebab itu, hindarkanlah keangkuhan dalam urusan kita dengan alam ini. Ketika alam memberontak manusia tidak akan mampu menghadapinya. Berbaiklah dengan alam ini kerana berbuat baik kepada alam dan isinya merupakan satu tuntutan dalam Islam dan kebaikan yang manusia lakukan itu akhirnya akan berbalik kepada mereka.