Pendidikan teknikal dan vokasional merupakan komponen yang tidak kurang pentingnya dalam sistem pendidikan negara, malah peranannya juga dalam meningkatkan kemajuan negara. Kepentingannya menjadi semakin agak mendesak dan mencemaskan apabila didapati penglibatan khusus generasi muda Islam dalam bidang ini agak ketinggalan berbanding bangsa lain. Dan dikhuatiri fenomena ini akan mendatangkan polemik dalam negara dan mungkin juga polarisasi perkauman jika terus dibiarkan berlaku. Para pemimpin negara kita amat menyedari perkara ini dan seringkali menekankan betapa golongan muda sewajarnya menyahut seruan mereka dengan menunjukkan minat dalam bidang-bidang berkaitan teknikal, memilih kursus-kursus berkaitan teknikal di institut latihan kemahiran dan pusat-pusat pengajian tinggi, seterusnya menceburi bidang keusahawanan dan kerjaya dalam bidang tersebut. Tetapi hakikatnya agak menyedihkan apabila perkara yang sebaliknya pula terjadi.
Fenomena yang telah mengundang kebimbangan ini bukan semata-mata berpunca dari jumlah dan bilangan terhad umat Islam yang meminati atau menceburi bidang ini, tetapi lebih daripada itu dan jika dibiarkan, kesannya amat buruk terhadap kemajuan umat Islam sendiri. Permasalahan utama yang menutupi minda mereka untuk meninjau peluang baru dunia dan kerjaya teknikal adalah anggapan di kalangan segelintir mereka bahawa bidang teknikal dan vokasional merupakan kerjaya kelas dua dan lantaran itu masyarakat memandang profesion ini dengan sebelah mata sahaja. Bidang ini tidak menjanjikan apa-apa yang menarik, sama ada dari segi pendapatan dan martabat sosialnya dalam masyarakat melainkan satu kerjaya yang hanya berjemur di tengah panas terik ataupun di kilang-kilang. Perkara seperti ini tidak dialami oleh mereka yang memilih bidang akademik. Mereka yang lebih dikenali sebagai ‘ahli profesional kolar putih’ dipandang tinggi dan mempunyai status sosial yang agak mulia dalam masyarakat kerana mempunyai pendapatan yang lumayan serta bekerja dalam pejabat yang selesa dan berhawa dingin pula. Walaupun tanggapan ini tidak sehebat seperti pada 20 tahun yang lalu ketika ekonomi negara masih bergantung kepada sektor pertanian, tetapi mental block ini turut memberi kesan terhadap peranan dan sumbangan umat Islam di bidang teknikal dan kesannya sedang dirasakan kini.
Di samping itu, terdapat juga kecenderungan di kalangan para pelajar dan segelintir ibubapa yang tidak meminati bidang-bidang berkaitan teknikal berbanding bidang akademik yang lain. Anggapan yang biasa kedengaran adalah bidang-bidang teknikal hanya untuk para pelajar yang gagal dalam akademik ataupun bagi mereka yang kurang tahap kecerdasannya dalam bidang akademik. Ini adalah anggapan yang salah yang sudah tentu akan membantutkan usaha dan harapan kerajaan dan negara yang bercita-cita untuk melihat negara ini mencapai status negara maju dalam sektor industri dan pembuatan dalam masa terdekat ini.
Sebenarnya jika diteliti, pendidikan teknikal dan vokasional turut mempunyai komponen akademik sebagaimana bidang akademik yang lain seperti bidang sains, kesusasteraan dan bahasa serta matematik. Tetapi bidang berkaitan vokasional ini mempunyai lebih komponen yang bersifat teknikal dan fizikal seperti kejuruteraan, penyelenggaraan mesin, pengimpalan dan pertukangan yang kurang memerlukan kemahiran bahasa dan lebih disifatkan sebagai kemahiran non-verbal berbanding bidang akademik yang agak verbal. Selain daripada itu, terdapat juga pelajar yang lebih selesa menerima pembelajaran dalam bidang teknikal dan fizikal berbanding kaedah yang biasa digunakan dalam akademik yang lebih menekankan aspek verbal dan teori. Perbezaan pelajar sebagai individu, keselesaan dan kecenderungan mereka seperti inilah yang harus diberi perhatian agar proses pembelajaran itu mencapai matlamatnya. Islam itu sendiri mengakui perbezaan setiap individu dan lantaran itu, tujuan utama pendidikan dalam Islam adalah untuk mendidik individu pelajar secara menyeluruh iaitu dengan mengambil kepentingan semua aspek kejadian manusia demi mengurangi jurang perbezaan yang wujud secara optimum. Firman Allah dalam surah al Isra’,
ayat 84 bermaksud
“katakanlah, setiap orang bertingkahlaku menurut keadaannya masing-masing (yakni bakat dan suasana), maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang mendapat jalan yang terlebih baik.”
Sebenarnya kepintaran dan kemahiran itu tidak lahir dengan sendiri, tetapi dibentuk dan dipelajari. Apa yang ada hanyalah kecenderungan yang akan memudahkan lagi proses pembelajaran serta minat yang harus dipupuk. Minat yang hendak dipupuk sewajarnya seiring dengan kecenderungan yang sedia ada. Dan jika mereka belajar sudah tentu mereka akan lebih pintar dan lebih mahir dari orang lain yang tidak belajar. Mereka menjadi lebih berilmu dan berpengetahuan. Lihat sahaja suruhan Islam pada umatnya agar sentiasa memajukan diri dengan ilmu dan pengetahuan sebagaimana menurut firman Allah dalam surah yang mula-mula diturunkan kepada umat manusia, surah al Alaq, ayat 1-5. Walaupun secara jelas ia menuntut umatnya belajar dan menuntut ilmu, tetapi di kalangan umat Islam sendiri, mencari sesuap nasi itu lebih penting daripada belajar akibat hambatan kemiskinan dan kebuluran. Manakala saudara mereka yang hidup mewah pula menjadi alpa dan lalai dengan keseronokan dan kemewahan yang dikecapi lalu mengabaikan tuntutan menuntut ilmu ini. Minat untuk menuntut ilmu yang sewajarnya dipupuk tidak wujud dalam agenda kehidupan mereka akibat kekangan gaya hidup berteraskan adat resam dan budaya yang tidak membantu ke arah itu tetapi telah sebati sejak turun temurun sebagai satu warisan anak bangsa. Inilah antara cabaran khusus umat Islam yang sewajarnya berusaha untuk memerdekakan belenggu pemikiran mereka dari pengaruh budaya yang bertentangan dengan kehendak Islam. Tokoh pendidikan Islam, Abdullah Nasih Ulwan mengakui bahawa persekitaran turut membantu dalam membentuk minat anak-anak dan meningkatkan potensi semulajadi mereka untuk maju.
Kemusykilan yang membelenggu kini ialah adakah mereka mempunyai keinginan untuk memajukan diri. Atau mampukah mereka membawa kemajuan yang dimiliki untuk dikongsi bersama oleh masyarakat dan negara. Persoalan ini penting kerana jika mereka tiada keinginan untuk memajukan diri dan negara, maka potensi diri dan minat yang cuba disemai hanyalah sia-sia belaka. Memang tidak dapat dinafikan jika ditinjau dari segi pembangunan material, kemajuan akan dinisbahkan kepada kekayaan atau pemilikan aset seperti berapa jumlah wang yang dikumpul atau berapa buah rumah dan kenderaan yang dimiliki ataupun apa bentuk perniagaan yang diusahakan.
Mungkin terdapat ramai teknorat Islam ataupun lulusan dari aliran teknikal kini, tetapi bilangan mereka yang menceburi bidang keusahawanan terlalu rendah dan ada yang lebih selesa menjadi pekerja bawahan sahaja. Perniagaan yang berasaskan kepintaran dan kemahiran teknikal di kalangan umat Islam sewajarnya diringkatkan, tetapi ini juga memerlukan kepada kecenderungan dan minat serta pengetahuan berkaitan untuk berniaga. Lihatlah betapa suasana yang mendorong minat berniaga di kalangan umat Islam amat rendah berbanding bangsa lain. Boleh dikatakan minat untuk berniaga amat asing sekali dalam aktiviti hidup umat Islam di sini. Islam sendiri mengiktiraf bahawa 90% pembangunan aset berpunca daripada perniagaan. Rasullullah S.A.W sendiri telah menunjukkan kepada kita semua bahawa Baginda turut pernah terlibat dalam sektor perniagaan. Dan mungkin juga umat Islam negara ini perlu menjadikan minat untuk berniaga bagi meningkatkan kemajuan diri, agama, bangsa dan negara sebagai satu agenda keluarga yang seharusnya diwarisi turun-temurun.