Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) telah membataskan eksport cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi dari negara berkenaan ke negara-negara tertentu termasuk Malaysia. Di bawah dasar AS ini, Malaysia dan Thailand diklasifikasikan sebagai negara Peringkat 2 (Tier 2) di bawah Kerangka Kerja Penyebaran AI (AI Diffusion Framework).
Sebagai negara Peringkat 2, Malaysia hanya dibenarkan menerima cip AI termaju, seperti cip H100 yang dihasilkan oleh NVIDIA dan cip MI300X keluaran AMD, dalam kuantiti yang terhad dan tertakluk kepada pelbagai syarat kawalan penggunaan. Matlamat dasar AS ini adalah untuk menghalang cip-cip ini dilencongkan ke negara-negara Peringkat 3 seperti China melalui negara pengantara.
Berkenaan hal ini, Islam menekankan prinsip amanah dalam menguruskan sebarang bentuk ilmu dan pembangunan teknologi. Dalam konteks semasa, amanah ini merangkumi urus tadbir pusat data, kawalan terhadap penggunaan cip berkuasa tinggi dan pemantauan agar tiada pihak asing menyalahgunakan kemudahan negara untuk mengelak sekatan.
Laporan antarabangsa telah membangkitkan dakwaan bahawa syarikat dari China menggunakan Malaysia untuk memperoleh cip AI termaju secara tidak langsung. Jika hal ini berlaku tanpa pengetahuan atau kawalan pihak berkuasa, pasti perkara ini boleh menjejaskan imej dan integriti Malaysia sebagai negara yang berdaulat dan bertanggungjawab.
Sekilas pandang, tindakan AS ini bersifat teknikal, namun hakikatnya isu ini menyentuh soal geopolitik yang berkaitan dengan kedaulatan ilmu, kebergantungan teknologi kepada kuasa luar dan keperluan membina kekuatan teknologi umat Islam sendiri. Persoalan yang wajar direnungkan ialah, “Apakah langkah bijak yang patut diambil agar negara tidak terus bergantung dan terikat kepada negara maju yang mempunyai agenda sendiri?”
Sebagai sebuah negara membangun yang sedang meningkat naik dalam sektor ekonomi digital dan teknologi AI, sekatan ini pastinya memberi cabaran. Namun, dalam tradisi Islam, setiap cabaran menjadi medan ujian. Setiap ujian pula mengandungi hikmah bagi mereka yang mahu berfikir.
Sekatan AS ini perlu dilihat sebagai satu isyarat bahawa kebergantungan kepada kuasa teknologi luar tanpa perancangan jangka panjang untuk membina keupayaan sendiri merupakan satu bentuk kelemahan strategik. Malaysia tidak harus sekadar menjadi pengguna teknologi tetapi perlu mula menanam benih sebagai pencipta dan pembangun teknologi dan inovasi.
Allah SWT menerusi firman-Nya dalam ayat 60 Surah al-Anfal di dalam al-Quran menyuruh umat Islam agar mempersiapkan kekuatan dalam menghadapi cabaran, mafhumnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya; dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
Jika dahulu kekuatan yang perlu dibina adalah dari sudut pasukan tentera berkuda, hari ini kekuatan yang perlu ada adalah dalam bentuk pemerkasaan dan pengupayaan teknologi dan inovasi khususnya teknologi digital seperti AI.
Sejarah Islam membuktikan bahawa tamadun tidak berkembang hanya dengan meminjam kekuatan luar, sebaliknya dengan membina keupayaan ilmu dan teknologi sendiri. Umat Islam suatu ketika dahulu menguasai banyak cabang ilmu yang melonjakkan kemajuan tamadun seperti ilmu falak, perubatan, kejuruteraan dan pertanian. Asbab penguasaan ilmu ini menjadikan tamadun Islam sebagai sebuah kuasa yang tiada tolok bandingnya suatu masa dahulu.
Malaysia boleh memanfaatkan kekuatan sedia ada seperti industri semikonduktor, universiti-universiti penyelidikan, institut penyelidikan seperti MIMOS dan bakat muda dalam bidang-bidang seperti sains komputer, AI dan mikroelektronik untuk melangkah ke arah pembangunan cip tempatan.
Sokongan daripada pihak kerajaan pastinya kritikal kerana tanpa polisi yang jelas, dana yang mencukupi dan wawasan yang berpandangan jauh, perkara ini hanya tinggal sebagai impian. Dalam jangka panjang, usaha ini bukan sahaja akan mengurangkan kebergantungan kepada negara maju tetapi juga menjadi satu penzahiran kepada usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berteraskan teknologi AI.
Dalam mengurus hal ini, Malaysia perlu mengimbangi antara sifat keterbukaan dengan menjaga kedaulatan negara. Hubungan dengan AS dan kuasa-kuasa dunia lain wajar diteruskan secara diplomatik tanpa menggadaikan kepentingan negara. Islam menganjurkan hubungan yang adil dan saling hormat-menghormati, dan bukannya hubungan berat sebelah yang menekan satu pihak.
Malaysia juga boleh menerajui suara negara-negara membangun dalam menuntut capaian yang lebih saksama kepada teknologi baharu melalui kerjasama ASEAN atau pertubuhan antarabangsa yang lain seperti OIC. Kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN pada waktu ini menjadikan suara Malaysia lebih berpengaruh berkenaan isu ini.
Sekatan cip AI termaju bukan sekadar isu teknikal atau perdagangan. Isu ini merupakan satu ujian geopolitik dalam era dunia baharu iaitu sebuah dunia yang dikawal oleh pihak yang menguasai data, maklumat dan teknologi AI. Dalam hal ini, sebagai sebuah negara majoriti Muslim yang berwawasan, Malaysia wajar mengorak langkah dengan penuh hikmah dalam mencari penyelesaian terbaik yang mampu melindungi kedaulatan negara dan memelihara kepentingan ekonomi tanpa menggadaikan sebarang kepentingan negara.