Agama memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. Agama tidak boleh diabaikan dalam hidup bermasyarakat khususnya dalam konteks Malaysia kerana masyarakatnya sudah terbentuk berdasarkan penerapan Islam sebagai asas sejak dulu lagi.
Agama mempunyai dua dimensi utama. Dimensi pertama ialah keimanan. Aspek yang mengatur hubungan kita dengan Tuhan. Dimensi kedua ialah dimensi sosial yang mengkehendakkan kita mengaplikasikan ajaran agama dalam kehidupan kita agar hidup harmoni bermasyarakat didirikan.
Masalah sosial seperti perjudian, pembuangan bayi, pelacuran, ketagihan dadah, ketagihan arak, perzinaan yang banyak berlaku pada hari ini adalah disebabkan kelekaan mengamalkan ajaran-ajaran atau nilai-nilai murni yang dituntut oleh agama.
Dalam konteks negara kita, hidup beragama begitu sinonim dengan hidup bermasyarakat di negara ini. Setiap dasar yang diambil oleh kerajaan berkaitan kehidupan setiap lapisan masyarakat mengambil kira sensitiviti penganut agama di negara ini. Namun tidak semuanya “perfect”, dalam usaha-usaha kerajaan menjaga sensitiviti dan kemahuan semua penganut agama, tercetus juga beberapa insiden melibatkan isu-isu kontroversi yang menggugat sensitiviti agama dan penganut Islam.
Dalam kalangan orang-orang yang beriman dan berpengetahuan tinggi, isu-isu sensitif dan kontroversi dapat ditangani dengan baik melalui dialog dan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
Isu-isu kontroversi hanya tercetus apabila ‘orang-orang yang kurang ilmu dan imannya’ mentafsir sesuatu perkara itu tanpa landasan ilmu yang betul, ikut emosi sehinggalah sesuatu perkara yang begitu remeh menjadi kontroversi sehingga menyebabkan ketegangan. Isu kontroversi yang tercetus bukanlah disebabkan oleh agama itu tetapi penganut agama tersebut yang jahil.
Di sinilah terletaknya tanggungjawab orang yang berilmu dalam kalangan pemimpin ataupun ketua agama untuk ke hadapan mendampingi ‘golongan yang jahil’ ini memahami ajaran sebenar agama yang menyuruh kita mengelakkan prasangka, pergaduhan dan pembunuhan. Allah SWT melarang umatnya berprasangka buruk; sering mencari kesalahan orang lain; mengaibkan orang; mencaci; mencerca; dan mengumpat seperti mana dijelaskan dalam Surah Al-Hujurat ayat 12. Ayat ini juga mengambarkan betapa perlakuan sebegini, perlakuan jijik menyamai dengan memakan daging saudara mara kita yang telah mati.
Dalam segala hal untuk mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah itu, jalan yang terbaik adalah merujuknya kepada agama. Itu adalah jalan yang sangat baik, kerana hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui baik-buruk untuk kita. Oleh itu, hanya berpegang kepada ajaran agama sahaja jalan terbaik dicapai untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu.
Agama adalah jalan penyelesaian kepada semua permasalahan. Umat Islam dituntut bekerjasama menangani gejala sosial. Dalam konteks ini, Allah SWT telah menyeru umatnya bekerjasama dalam melakukan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan, kebajikan dan ketakwaan. Pada masa yang sama, melarang umatnya bekerjasama ke arah melakukan perkara-perkara yang berkaitan dosa, kerosakan dan pergaduhan.
Kerjasama menangani masalah sosial juga boleh berlaku dalam kalangan penganut agama lain di negara ini dengan mengambil kira nilai-nilai sejagat sebagai asasnya. Kerjasama antara penganut agama menangani masalah sosial adalah landasan kerjasama yang amat baik bagi menyatukan kita dalam banyak hal, sekali gus mengukuhkan hubungan silaturahim di antara pelbagai latar belakang agama.
Sebagai orang yang beriman dan berilmu, kita sepatutnya lebih cenderung kepada melaksanakan tanggungjawab yang telah diwajibkan oleh agama kita lebih daripada soal-soal tuntutan “hak”. Menunaikan ‘tanggungjawab’ yang dituntut agama kita adalah lebih afdal, kerana masyarakat kita pada hari sangat memerlukan “pertanggungjawaban” ini lebih daripada tuntutan-tuntutan hak. Kita harus lebih fokus kepada tanggungjawab agama yang perlu dilaksanakan bagi membendung gejala sosial. Ini adalah lebih penting kerana kesannya kepada masyarakat adalah lebih besar berbanding tuntutan-tuntutan yang tiada kesudahannya.
Agama Islam melarang umatnya melakukan kerosakan dan kejahatan. Dalam al-Quran diperjelaskan larangan-larangan yang ditegah sekeras-kerasnya dan apabila dilakukan membawa kepada hukuman Hadd dan Qisas. Contohnya, umat Islam dilarang mencuri; merompak; berzina; menfitnah; meminum arak; murtad dan membunuh.
Dalam konteks kepelbagaian agama di negara ini, umumnya semua agama melarang penganutnya melakukan jenayah dan terlibat dalam gejala-gejala sosial. Hakikat ini dinyatakan sendiri oleh setiap wakil agama dari agama Islam, Buddha, Kristian, Sikh dan Hindu yang telah mengutarakan pandangan mereka dalam seminar “Peranan Agama dalam Menangani Masalah Sosial” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini. Seminar ini telah berjaya mengumpul beberapa saranan penting yang diberikan oleh para pemimpin agama untuk menangani masalah sosial di negara ini. Antaranya saranan-saranan penting yang wajar diambil tindakan adalah seperti berikut;
1. Pencegahan adalah lebih baik dari mengubati sesuatu permasalahan itu. Oleh itu, pendekatan pencegahan perlu diberi perhatian dalam setiap pembuatan dasar untuk menangani masalah sosial. Peranan ini perlu diambil oleh kerajaan dan individu. Institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan agar memainkan peranannya untuk meningkat penerapan nilai-nilai agama dalam kalangan ahli keluarga. Masyarakat harus peka untuk menegur kesalahan dan membudayakan atau memberi contoh ikutan terbaik. Dan seterusnya badan-badan bukan kerajaan harus bersungguh-sungguh dan diberi bantuan oleh pihak kerajaan menjalankan peranan mereka mengurangkan gejala sosial.
2. Dibuat satu kajian tentang peranan agama untuk menghalang dan mengatasi masalah ketagihan dadah dan arak. Kajian ini dijadikan sebagai pendekatan alternatif mengubati masalah-masalah ini.
3. Mendesak pihak kerajaan tidak menyokong industri-industri yang membuka ruang kepada berlakunya masalah sosial. Seperti mendesak kerajaan mengharamkan pengeluaran lesen perjudian dan penjualan arak serta pusat-pusat kemaksiatan; mendesak kerajaan megharamkan pengiklanan arak dan perjudian di dalam akhbar-akhbar tempatan.
4. Memperbanyakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan golongan muda agar dapat melatih mereka memainkan peranan kemasyarakatan.
5. Mendesak pihak kerajaan mengambil peranan serius dengan mengambil nilai-nilai keagamaan dalam dasar pembangunan negara (Model Ekonomi Baharu, Proram Transformasi Kerajaan dan Eknomi, dan sebagainya) agar pembangunan seimbang dapat dicapai.
6. Mencadangkan kepada kerajaan agar mengkaji semula dan menggubal undang-undang yang lebih mesra agama. Contohnya, bila penangkapan dibuat terhadap peminum arak ataupun penzina, hukuman harus juga dikenakan kepada yang bukan beragama Islam.
7. Membentuk satu modul pemulihan pesalah sosial yang menekankan aspek peningkatan nilai agama dan budi dalam diri pesalah, lebih dari latihan kemahiran (skill).
Seminar ini telah memperlihatkan dekatnya peranan agama dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Hakikatnya, bila tinggi tahap keimanan sesoran itu, maka tinggi jugalah sifat kebaikan yang ada dalam diri seseorang itu.
Peranan agama dalam masyarakat tidak dapat dinafikan sekiranya kita semua inginkan sebuah negara yang aman damai dan makmur ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’. Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan bagi memastikan negara kita yang kita cintai ini aman dan tenteram serta mendapat restu Ilahi.Kita harus berusaha untuk menyampaikan yang terbaik kepada setiap ahli masyarakat dan komuniti kita tentang amalan murni demi kebaikan bersama.