Hampir majoriti masyarakat umum di negara ini sudah maklum bahawa bulan April pada setiap tahun merupakan satu bulan yang disambut secara khusus untuk kempen meningkatkan kesedaran terhadap autisme. Masyarakat mungkin bersetuju bahawa kesedaran terhadap perkara ini semakin meningkat hasil daripada kempen kesedaran yang telah diadakan saban tahun semenjak sepuluh tahun yang lalu, bermula dengan pewujudan program Psikologi dan Kesihatan di radio IKIMfm berkaitan Masalah Ketidakseimbangan Perkembangan Saraf Kanak-kanak, yang telah bermula sejak tahun 2009, dan seterusnya penubuhan rasmi Pusat PERMATA Kurnia Kuala Lumpur pada tahun 2015.
Masyarakat juga mungkin memahami bahawa autisme sebagai sejenis gangguan ketidakseimbangan perkembangan saraf, yang akan memberi pelbagai kesan tertentu kepada kesejahteraan dan kemajuan fungsi intelek dan pembelajaran, masalah tingkah laku dan isu sosial yang berkaitan kepada penghidap dan juga keluarga. Masyarakat juga mungkin memaklumi bahawa individu autisme ini sebagai kelompok masyarakat istimewa yang memerlukan kepada pelbagai intervensi, program dan pengurusan yang khusus dan istimewa untuk membantu mereka agar dapat menyumbang kepada kemajuan diri, keluarga, bangsa dan negara. Tuntutan maqasid al-syariah dalam Islam melihat bahawa golongan ini perlu dibantu dan ditambahbaik kefungsian diri dan kehidupan serta keluarga mereka.
Namun selepas hampir tempoh sepuluh tahun tersebut, dengan pelbagai kesungguhan dan usaha serta aktiviti berkaitan, kesimpulan yang dapat dirumuskan ialah usaha ini perlu berterusan dan tidak wajar terhenti pada peringkat tertentu sahaja, malah meliputi ruang lingkup yang lebih luas lagi. Hakikatnya, masih terdapat pelbagai kekeliruan dan salah tanggapan yang berlaku terhadap golongan ini, terutamanya individu autisme dan keluarga mereka. Apa yang lebih menyedihkan ialah salah tanggapan tersebut bukan sahaja wujud dalam kalangan ahli keluarga pesakit sendiri, malah juga wujud dalam kalangan masyarakat umum, terutamanya yang berada atau tinggal di sekitar keluarga tersebut. Antara salah tanggapan yang biasa dianuti ialah individu dengan autisme adalah seorang yang cacat mental, tidak boleh belajar atau diajar, berisiko menjadi ganas dan tidak terkawal, merbahaya kepada orang lain, serta sebagai sumber ancaman kepada keharmonian ibu bapa dan keluarga serta masyarakat setempat. Inilah asas kepada stigma yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat. Membanteras stigma dan salah tanggapan umum masyarakat ini perlu digiatkan lagi secara berterusan.
Ketidakseimbangan perkembangan neuro seperti autisme ini berlaku dalam pelbagai bentuk dan spektrum yang menentukan tahap dan peringkat kefungsian mereka dalam menerima pembelajaran dan menjalani kehidupan. Dua orang individu dengan gangguan yang sama dalam kategori ini amat berbeza antara satu sama lain baik dari segi keterukan dan keupayaan masing-masing. Meraka bukan cacat. Perkembangan saraf mereka mungkin terlambat sedikit berbanding dengan individu normal lain. Malah, kajian ada menunjukkan bahawa mereka mampu berfungsi seperti individu normal lain dari segi fungsi intelek dan pembelajaran. Terdapat juga daripada kalangan mereka yang mempunyai kelebihan dan keupayaaan fungsi intelek serta bakat yang lebih baik dari individu normal.
Mereka juga boleh menjalani kehidupan lain seperti bekerja dan mempunyai keluarga, asalkan mereka dapat dibantu dengan intervensi yang khusus pada peringkat lebih awal lagi. Intervensi yang mereka perlukan perlu sesuai berdasarkan kepada keperluan dengan tahap keupayaan penerimaan mereka. Hal ini demikian kerana objektif intervensi adalah untuk meningkatkan keupayaan kefungsian mereka ke tahap optimum selaras dengan tuntutan umur, pembelajaran, kerjaya dan peranan sosial mereka. Manakala keperluan kepada intervensi dan penentuan tahap keperluan tersebut pula perlulah dinilai oleh golongan pakar yang terbabit dalam pengurusan dan hala tuju kehidupan golongan ini, dan bukan dinilai oleh sebarang individu atau sesiapa sahaja, apatah lagi jika yang tidak bertauliah. Sesuatu yang perlu difahami oleh masyarakat kita ialah terdapat individu autisme ini masih memiliki fungsi intelek yang baik serta boleh menerima input pendidikan dan latihan yang sesuai dengan keupayaan mereka.
Seterusnya, intervensi yang mereka perlukan bukan semata-mata bagi mengoptimakan keupayaan fungsi intelek mereka sahaja, malah, di samping itu, mereka perlu kepada intervensi dalam aspek peningkatan kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi secara sosial serta pengurusan emosi negatif yang mereka alami. Rata-rata individu autisme ini mempunyai isu sensori yang akhirnya akan memberi kesan kepada kecelaruan emosi seperti kebimbangan dan kemurungan serta isu-isu lain berkaitan tingkah laku yang sukar dikawal. Tingkah laku mereka akan kelihatan seperti agresif dan ganas tetapi hakikatnya mereka bertarung dengan kesukaran dalam menguruskan perasaan dalaman mereka akibat dari isu sensori yang mereka alami. Namun, adalah amat jarang untuk mereka bertindak agresif dan menyerang orang lain selagi kehidupan dan aktiviti harian mereka tidak terdedah kepada model atau bentuk perlakuan dan sifat agresif tersebut. Kecelaruan isu emosi yang mereka alami inilah yang perlu dirawat dan diuruskan sebaik-baiknya pada peringkat awal agar tidak berlanjutan atau menjadi lebih teruk dan tidak terkawal di kemudian hari. Amat dikhuatiri sekiranya mereka itu membesar sebagai individu yang cemerlang pencapaian akademik dan fungsi intelek tetapi bermasalah dalam menguruskan emosi negatif yang mereka alami, serta akhirnya menjejaskan keharmonian dalam berinteraksi dan perhubungan mereka bersama keluarga dan masyarakat, walaupun pada hakikatnya mereka itu tidak wajar dilihat sebagai individu yang mendatangkan masalah kepada orang lain sekiranya intervensi telah dapat diberikan pada peringkat awal lagi. Perlu diingat bahawa pengurusan emosi bukan sahaja wajar diberikan kepada ibu bapa dan penjaga individu autisme, malah turut diberikan kepada guru-guru yang terlibat dalam pendidikan individu autisme ini.
Seterusnya, isu kesedaran perlu turut ditumpukan kepada penyebaran maklumat berkaitan penyedia perkhidmatan yang berkaitan dengan rawatan dan pemulihan serta pendidikan dan latihan kepada golongan individu autisme dan keluarga mereka. Ia lebih kepada kemudahan dari segi bagi mendapatkan rawatan dan intervensi yang sesuai pada masa yang tepat. Namun, isu ini memerlukan usaha sistematik dan bersepadu semua pihak dan melibatkan pelbagai agensi pada peringkat negara yang diharapkan akan menjadi lebih terurus dan cemerlang lagi pada masa hadapan.
Individu autisme dan keluarga mereka lebih mengharapkan kepada peluang untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan serta pendidikan yang adil dan saksama. Pendidikan bersifat inklusif adalah lebih menjadi keutamaan. Namun, jumlah dan bilangan sekolah serta pusat latihan tersebut perlu ditingkatkan, manakala bilangan pendidik yang amat terlatih juga perlu ditambah agar dapat menampung keperluan peningkatan bilangan individu autisme. Sesuatu yang amat baik untuk difikirkan ialah memberikan nilai penarafan yang standard berdasarkan merit kepada penyedia perkhidmatan dan institusi yang memberikan pendidikan dan latihan kepada individu autisme sebagai langkah penilaian kepada tahap profesionalisme intervensi yang mereka sediakan kepada individu dan keluarga golongan ini.