Dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk pelbagai bangsa, orang Islam dan bukan Islam, mencari kesejahteraan dalam hidup bermasyarakat adalah asas utama dan menjadi satu tuntutan besar. Ini kerana kehidupan tanpa hubungan baik akan membawa kepada ketidakstabilan dalam sistem sosial, politik dan ekonomi sesebuah negara. Dengan itu, setiap pihak perlu mempunyai sikap intergrasi yang positif dengan yang lain agar hidup sejahtera dapat menjadi satu elemen berkekalan dalam masyarakat.
Dalam hubungan orang Islam dengan yang lain, Islam telah memperincikan garis panduan dan teladan untuk umat manusia melihat dan mengambil iktibar daripadanya. Dalam konteks hubungan dengan bukan Islam, Al-Quran jelas memberi panduan kepada umat Islam kriteria penting dalam hubungan dengan bukan Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8 bermaksud:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi kamu di dalam perkara agama dan tidak menghalau kamu daripada kampung halaman kamu.
Imam al-Zuhaili mentafsirkan ayat ini dalam kitab tafsirnya, al-Munir fi al-Aqidah dan al-Syariah wa al-Manhaj bahawa Allah tidak melarang umat Islam daripada bergaul dan berbuat baik kepada orang bukan Islam yang berdamai dengan mereka dan yang tidak pula menyerang atau menghalau mereka. Termasuk dalam perkara yang baik mewujudkan hubungan mesra, menerima mereka sebagai tetamu dan berjiran. Allah SWT juga tidak menghalang orang Islam untuk berlaku adil terhadap mereka termasuklah di dalam menunaikan hak mereka, menunaikan janji dengan mereka, menunaikan amanah, memberi hak harga pembelian dengan tidak mengurangkan hak mereka dan sebagainya.
Ini diperkuatkan lagi dengan sunnah kehidupan nabi Muhammad SAW yang memperlihatkan bagaimana baginda SAW menghormati bukan sahaja di kalangan orang Islam bahkan bukan Islam.
Dalam aspek hubungan orang Islam dan bukan Islam, sejarah Islam turut memperlihatkan teladan Saidina Omar al-Khattab ketika berjaya menawan dan membuka kota Baitul Maqdis daripada Rom. Sebagai pemerintah Islam, beliau memberi jaminan dengan menghormati hak-hak penduduk bukan Islam kota berkenaan yang terdiri daripada golongan Masihi dan Yahudi. Mereka diberikan jaminan keselamatan, boleh kekal tinggal di Baitul Maqdis di samping dapat mengamalkan ajaran agama masing-masing.
Jaminan keselamatan dan perdamaian kepada bukan Islam yang tinggal di negara Islam adalah kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan jaminan berkenaan dan sanggup memberi kerjasama. Maka untuk mereka ini, umat Islam perlu mengelakkan konflik permusuhan, menerima mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat sesebuah negara. Pemerintah Islam pula bertanggungjawab melindungi hak-hak mereka seperti juga menjaga ha-hak orang Islam.
Walaupun begitu, orang bukan Islam perlu tunduk kepada undang-undang negara Islam kecuali dalam urusan yang menyentuh undang-undang diri. Mereka juga perlu membayar cukai kepada negara dan menghindarkan diri daripada mencela dan menyakiti orang Islam.
Untuk kesinambungan jaminan keselamatan dan menikmati hak-hak masing-masing, mereka perlu akur kepada undang-undang negara dan mengelak daripada berkompromi dengan musuh Islam samada di dalam atau pun luar negara untuk meruntuhkan umat Islam. Jika sebaliknya berlaku, maka jaminan keselamatan yang dinikmati boleh terbatal. Dalam keadaan ini mereka akan dianggap sebagai golongan harbi iaitu golongan yang memerangi umat Islam dan undang-undang negara Islam.
Ini merupakan antara prinsip utama dalam hubungan orang Islam dengan bukan Islam di dalam sesebuah negara Islam mengikut prinsip dan tradisi Islam.
Dalam konteks kehidupan masyarakat moden, masyarakat Islam boleh megambil pengajaran daripada teladan ini yang telah pun wujud dalam garis panduan al-Quran, Sunnah kehidupan nabi SAW dan juga para sahabat. Islam secara jelas tidak menindas sesuatu golongan manusia kerana secara fitrah Islam tidak menzalimi sesiapa pun.
Pada masa yang sama, masyarakat bukan Islam perlu menghormati undang-undang negara dan peraturan-peraturan yang adil untuk mewujudkan suatu kehidupan yang sejahtera. Mereka tidak mengambil tindakan bekepentingan diri sendiri sehingga boleh merosakkan kehidupan harmoni sesama ahli masyarakat.
Prinsip aman dan adil ajaran Islam sepatutnya diberi kefahaman secara meluas kepada segenap lapisan masyarakat. Ini kerana Islam merupakan agama universal, fitrah yang sesuai untuk semua orang, masa dan tempat. Apabila mesej aman dan sejahtera yang dibawa oleh Islam menjadi elemen yang diterima dan difahami oleh segenap ahli masyarakat, maka ini akan mencetuskan kestabilan dan kemajuan masyarakat dan negara.
Pertimbangan pelbagai aspek yang menjaga kepentingan umat perlu diambil kira dalam membuat sebarang keputusan dalam pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara Islam.
Sebarang urusan yang mewujudkan dua tiga pilihan yang baik maka pilihlah pilihan yang terbaik. Jika keputusan perlu diambil dalam perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan maka ambil perkara yang kurang keburukannya. Jika keputusan sesuatu perkara yang ada keburukan dan kebaikan, maka sudah jelas kebaikan yang perlu diutamakan demi kebaikan kesejahteraan umat manusia.
Dalam mendepani isu-isu berkaitan masyarakat majmuk di Malaysia, pihak-pihak berkepentingan harus bertindak dengan mengambil perkiraan kebaikan dan keburukan yang timbul akibat sesuatu tindakan yang dibuat.
Pendekatan menjaga kesejahteraan masyarakat dan hubungan umat Islam dengan bukan Islam perlu dilihat dengan lebih teliti berdasarkan kepentingan umat, kebaikan bersama masyarakat dan memenuhi kerperluan Siyasah Syariah.