Isu jerebu rentas sempadan yang melanda Malaysia dan beberapa negara jiran lain saban tahun masih belum menemui titik noktah sehingga kini. Punca kepada permasalahan ini juga masih melibatkan isu yang berulang, yakni asap daripada aktiviti pembersihan hutan menggunakan kaedah “tebang dan bakar” yang sebahagian besarnya bertujuan untuk pertanian dan perladangan kelapa sawit, pulpa dan kertas yang berlaku di negara jiran, Indonesia.
Situasi ini tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan dan menjadi satu kebiasaan kerana isu jerebu ini bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada tahap kesihatan manusia, tetapi juga kepada alam sekitar. Antara impak ketara akibat daripada jerebu termasuklah berlakunya kemerosotan dan penurunan terhadap indeks kualiti udara. Dalam konteks ini, partikel-partikel kecil yang terkandung dalam jerebu bertindak merosakkan kualiti udara, sekali gus mencemari bekalan oksigen dalam persekitaran kita. Hal ini pastinya akan merugikan flora dan fauna yang bergantung kepada udara bersih untuk kelangsungan hidup dan berkembang biak. Dalam erti kata lain, kesan jerebu dalam persekitaran turut membawa impak negatif kepada kelestarian biodiversiti.
Kehadiran jerebu yang berterusan juga boleh menyebabkan sumber air tercemar. Dalam konteks ini, partikel jerebu akan bertindak mencemari sungai, tasik dan laut, seterusnya menyebabkan gangguan ke atas ekosistem akuatik. Kesan daripadanya, akan merosakkan habitat hidupan akuatik dan mengancam kelangsungan spesies yang bergantung kepada sumber air dalam ekosistem yang terlibat.
Di samping itu, jerebu juga boleh merosakkan kualiti tanah. Zarah-zarah halus yang terkandung dalam jerebu akan meliputi permukaan tanah, seterusnya mengganggu proses semula jadi tanah seperti penyerapan air dan mineral. Kesannya, boleh mempengaruhi produktiviti tanaman dan kepelbagaian spesies dalam tanah. Secara keseluruhannya, jerebu memberi impak yang besar kepada manusia serta persekitaran dan isu jerebu ini perlu ditangani dengan serius.
Dalam konteks ini, Malaysia dan negara-negara serantau lain yang terjejas akibat jerebu perlu mengambil langkah drastik dan proaktif dalam mendepaninya, kerana kehadiran jerebu memberikan ancaman kepada tahap keselamatan dan kesihatan manusia serta alam sekitar. Sudah tiba masanya negara-negara yang terjejas akibat jerebu rentas sempadan ini bertegas dengan Indonesia bagi memastikan agar perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Bagi Indonesia pula, mereka juga perlu lebih serius bagi mempertingkatkan usaha penguatkuasaan pembakaran hutan dan ladang yang berisiko tinggi di negara berkenaan. Di samping itu, penglibatan dan kerjasama negara-negara anggota ASEAN lain juga diperlukan bagi memastikan aspek penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Isu ini amat penting untuk ditangani secara bersama-sama dengan negara-negara ASEAN kerana aktiviti pembakaran hutan di Indonesia bukan merupakan isu domestik, sebaliknya menjadi isu dan permasalahan serantau apabila impak pencemaran udara akibat jerebu merentasi sempadan ke negara-negara jiran yang lain.
Kesepakatan antara negara anggota ASEAN dalam menangani dan mendepani isu ini amat penting bagi mencegah jerebu daripada berulang agar tidak terus membelenggu dan menjejaskan negara-negara anggota terutamanya dari sudut keselamatan dan kesihatan manusia, keseimbangan alam sekitar, kelancaran aktiviti ekonomi dan sektor pelancongan.
Malaysia misalnya, pernah menyuarakan tentang isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan rakyat negara ini semasa Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-15 mengenai Alam Sekitar (AMME) di Siem Reap, Kemboja pada tahun 2019. Perkara ini telah berjaya menarik perhatian negara-negara anggota untuk menangani bencana jerebu tahunan ini secara bersama. Perkara ini sewajarnya tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya mesyuarat susulan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi membincangkan tentang isu jerebu dengan lebih serius agar kaedah penyelesaian yang konkrit dan berkesan dapat dicapai dalam mendepani isu ini.
Selain itu, negara juga pernah bercadang bagi mewujudkan Akta Jerebu Rentas Sempadan sebagai strategi penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dan penambahbaikan pengurusan pembakaran hutan dalam sektor pertanian dan perladangan. Namun demikian, usaha ke arah merealisasikan inisiatif ini seolah-olah hanya bermusim sahaja, yakni hangat diperkatakan apabila jerebu berlaku, sebaliknya terus “hilang dari radar” apabila jerebu berakhir.
Perkara sedemikian tidak seharusnya hanya menjadi inisiatif yang “hangat-hangat tahi ayam” sahaja, sebaliknya perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh dan berterusan, sehingga akta berkenaan berjaya diwujudkan dan tersedia untuk diguna pakai sekiranya jerebu rentas sempadan berulang lagi pada masa hadapan. Akta berkaitan dengan jerebu rentas sempadan sangat wajar disegerakan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka, sama ada dilakukan oleh entiti dari Indonesia sendiri mahupun entiti dari Malaysia atau negara-negara serantau lain.
Usaha-usaha ke arah mengekang jerebu rentas sempadan ini tidak boleh ditangguh lagi. Usaha ini perlu diperhebatkan agar jerebu rentas sempadan tidak terus menjadi bencana tahunan yang boleh menimbulkan ketegangan pada hubungan antara negara serantau sekiranya isu ini tidak ditangani dengan baik. Sementelah, isu jerebu bukan merupakan isu baharu, sebaliknya telah mula melanda negara sejak tahun 1997 lagi. Sampai bilakah negara-negara serantau perlu berhadapan dengan isu ini yang telah berlarutan sekian lama?
Sudah tiba masanya negara-negara serantau bersepakat dan bertindak tegas terhadap isu ini agar pihak yang terlibat tidak memandang enteng dan lebih bertanggungjawab untuk memastikan jerebu rentas sempadan tidak berulang dan menjadi beban kepada negara anggota yang lain. Penggemblengan usaha secara bersepadu pada peringkat serantau amat diperlukan bagi memastikan usaha dan pendekatan yang diambil secara bersama membuahkan hasil agar prinsip pembangunan lestari terus diperjuangkan demi keharmonian dan kesejahteraan sejagat.