Berdasarkan mafhum firman Allah SWT dalam Surah at-Tin, ayat 4-5 menjelaskan bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan Allah. Sudah tentu ayat ini memberi maksud bahawa kejadian manusia ini baik dan lebih sempurna berbanding dengan makhluk-makhluk lain yang terdapat di dunia dan alam ini.
Atas kesempurnaan bentuk dan sifat inilah maka manusia diberikan tanggungjawab yang bersesuaian dengan keadaannya untuk memakmurkan dan menguruskan alam ini. Perancangan dan persediaan Allah amat terancang dan teliti supaya aktiviti untuk memakmurkan bumi dan pelaksanaan ibadah itu berada dalam keadaan yang selari. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Zaariyat, ayat 56 bahawa tujuan manusia diwujudkan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah.
Atas kesempurnaan sifat manusia ini jugalah Allah meminta agar manusia memiliki sifat takwa supaya setiap aktiviti yang dilakukan oleh manusia berlaku dengan aman dan tidak mengundang sebarang konflik. Sebarang percanggahan pendapat akan cuba diharmonikan agar ketenteraman dapat dipertahankan. Walaupun kenyataan ini seperti amat ideal tetapi takwa harus menjadi matlamat setiap orang kerana semakin manusia mengusahakannya, maka kebarangkalian timbulnya sebarang konflik akan menjadi lebih rendah dan kehidupan manusia akan menjadi lebih tenang.
Kadangkala kita berasa amat hairan kerana masih terdapat kalangan mereka yang berilmu dan mengakui telah beriman dengan hari pembalasan tetapi rupa-rupanya didapati melakukan penyelewengan terhadap amanah yang diberikan. Barangkali mereka meyakini bahawa ajal mereka masih jauh lagi menunggu mereka dan mereka masih sempat untuk bertaubat dan pulang ke pangkal jalan.
Menurut Imam al-Ghazali takwa berasal daripada perkataan “wiqayah” yang bererti pelindung atau pemelihara yang merujuk sebagai terpeliharanya orang-orang yang bertakwa (muttaqin) itu daripada kejahatan. Manakala Sayidina Ali bin Abi Talib menjelaskan bahawa takwa itu adalah takutkan Allah yang Maha Agung; memiliki jiwa yang bersyukur atas segala nikmat Ilahi; beramal dan melaksanakan segala suruhan Allah; dan sentiasa bersedia untuk menemui Allah.
Ketakwaan akan melahirkan insan atau manusia yang berakhlak mulia, bermula daripada dirinya sendiri; menjaga hubungannya dengan manusia lain; dan menjaga hubungannya dengan Allah SWT sebagai Penciptanya.
Sifat takwa akan membentuk seseorang sebagai insan yang jujur, amanah, tidak membazirkan modal atau rezeki yang dimiliki, tidak memanipulasi kemudahan di bawah jagaannya, menjaga nama baik diri dan maruahnya, serta tidak melakukan sebarang keburukan kerana ia menginsafi bahawa Allah melihat apa sahaja perkara yang ia lakukan. Letakkanlah seseorang yang bertakwa di mana-mana sahaja, ia akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan rasa amanah dan penuh tanggungjawab.
Apabila sesebuah jawatan diserahkan kepada orang yang bertakwa, ia akan menyambutnya sebagai amanah daripada Allah SWT kerana ia mengimani kehidupan selepas kematian, dan perbicaraan ketika di akhirat kelak.
Apabila disebutkan tentang “jawatan” sudah tentu ia melibatkan hal-ehwal tadbir urus sesebuah organisasi. Tadbir urus sesebuah organisasi pula amat sinonim dengan pengamalan nilai integriti. Integriti yang secara umumnya diberi maksud sebagai kejujuran, keadaan yang sempurna dan juga utuh tentunya satu nilai yang mesti diamalkan oleh setiap orang yang menjadi ahli atau kakitangan organisasi tersebut. Bermula daripada bahagian pengurusan atas sehinggalah ke bahagian sokongan yang paling asas.
Dalam hal ini pemimpin atau ketua organisasi yang berintegriti pasti akan mempertahankan nama baik mereka daripada sebarang bentuk penyelewengan. Yakni, bukan sahaja bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, bahkan juga dalam menjaga nama baik dan maruah diri serta organisasi.
Selepas kita dapat memahami maksud takwa, maka sudah tentu kita boleh merumuskan bahawa integriti yang sebenar hanya boleh dicapai apabila seorang penjawat itu beriman dan bertakwa. Dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah beriman itu ialah seseorang itu meletakkan dorongan nafsu syahwatnya mengikut suruhan agama, manakala seseorang yang bertakwa itu adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali dan Sayidina Ali bin Abi Talib. Dalam hal ini, bagaimanakah kita dapat melihat seseorang itu sebagai seorang yang bertakwa? Jawapannya boleh dilihat melalui sebuah Khutbah Jumaat yang pernah diperdengarkan kepada jemaah. Khatib menyebut bahawa terdapat lima ciri insan yang bertakwa, iaitu:
Pertama: Sentiasa memelihara diri daripada melakukan kemungkaran; kedua: sentiasa menentang dorongan hawa nafsu dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara mungkar; ketiga: sentiasa memelihara lisan dan tindakannya daripada sesuatu yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT; keempat: sentiasa mengharapkan rahmat dan keredaaan Allah dengan melaksanakan nilai hidup yang Islamik; dan kelima: sentiasa menjaga hubungan mereka dengan Allah dan memelihara hubungan sesama manusia.
Dengan ciri-ciri yang diperlihatkan ini jelas merumuskan bahawa ketakwaan mampu membentuk insan yang berintegriti tinggi.