Ketibaan Aidilfitri amatlah dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Ia menandakan kemenangan mereka selepas menempuhi ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Namun perlu diingati bahawa amalan di hari lebaran dalam bulan Syawal adalah kesinambungan daripada amalan dan ketakwaan yang telah dijana ketika di bulan Ramadhan. Sebagai renungan, kehadiran bulan Ramadhan menandakan tibanya satu bulan di mana ibadah berpuasa diwajibkan bagi seluruh umat Islam. Memang tidak dapat dinafikan bahawa matlamat khusus dari ibadah ini ialah untuk mewujudkan atau menimbulkan rasa ketakwaan kepada Tuhan Rabbul Alamin, iaitu menjauh dan meninggalkan terus segala larangan dan menuruti segala perintah-Nya. Boleh jadi timbul persoalan, adakah sifat ketakwaan itu hanya wujud di sepanjang tempoh bulan ini? Atau adakah sifat ketakwaan itu dapat dijamin mampu untuk berterusan dalam bulan Syawal dan bulan-bulan yang berikutnya?
Ini kerana, secara totalnya, jika diamati dengan penuh kesungguhan, jawapannya adalah benar. Sesungguhnya inilah matlamat Ramadhan iaitu mendidik umatnya agar menjadi individu yang lebih beriman dan bertakwa sepanjang masa, bukan sekali-sekala. Atau dalam ertikata yang lain, kejayaan tarbiah Ramadhan ke atas individu boleh dilihat sebahagiannya daripada tingkahlaku dan amalan dalam aktiviti kehidupannya. Walaubagaimanapun, konteks ini tidak wajar digunakan untuk mensabit atau menilai darjah keimanan atau ketakwaan seseorang individu muslim. Hak untuk menilai atau menentukan tahap ketakwaan mereka adalah tugas Ilahi, bukan tugas manusia. Malah, ini juga bukanlah merupakan matlamat utama penulisan ini. Sebaliknya, ia ingin menarik perhatian untuk melihat bagaimana latihan dan pendidikan Ramadhan berupaya memberi kekuatan kerohanian dan spiritual kepada individu muslim, yang akhirnya mempengaruhi tingkahlaku mereka secara lebih positif dan proaktif.
Sudah dimaklumi bahawa matlamat utama berpuasa dan beribadah di bulan Ramadhan ialah untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan. Sifat dan rasa ketakwaan itu pula sebenarnya perlu dilatih dan dipupuk, serta dikekalkan sepanjang masa. Ia bukanlah sekadar ikut-ikutan, tetapi turut didorong oleh keilmuan. Dalam bulan yang turut dikenali sebagai bulan latihan dan pendidikan ini, umat Islam dilatih untuk menjadi insan yang lebih bertakwa. Mereka dilatih untuk melaksanakan ibadah puasa secara lebih istiqamah, dengan memelihara batas-batas syariat agar ibadah puasa yang dijalankan itu tidak menjadi sia-sia, atau hilang pahalanya, atau sekadar lapar, dahaga dan letih semata-mata yang diperolehi.
Di samping memelihara ketaatan dan hubungan takwa dengan Ilahi dalam berpuasa ini, ia sebenarnya turut mempunyai maksud tersirat dalam mendidik dan membentuk jiwa dan mentaliti manusia ke arah tingkahlaku yang lebih baik dan positif. Pertamanya berkaitan konsep istiqamah atau konsistensi dalam melaksanakan ibadah puasa. Dalam konteks berpuasa Ramadhan, ia melibatkan tempoh waktu tertentu iaitu selama hampir 13 jam jika di negara ini. Bukan sekadar tempoh seperti itu, tetapi ia menjadi wajib untuk dilakukan hanya dalam bulan Ramadhan. Iaitu ia wajib dijalankan dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan atau ditentukan dan perlu dijalankan secara konsisten dalam waktunya, selain beristiqamah untuk memelihara agar puasa itu tidak mungkin akan terbatal.
Faktor konsistensi sememangnya perlu wujud untuk mengekalkan ketinggian darjat dan martabat puasa individu muslim di tahap terbaik iaitu puasa khususil khusus. Sekali lagi, bagi mencapai ke tahap ini, mereka perlu sentiasa beristiqamah dalam setiap amalan harian yang lain di sepanjang bulan ini yang menjurus kepada kemakrufan dan menentang kemungkaran, iaitu nilai-nilai yang murni menuju gaya hidup yang harmoni. Dalam konteks psikologi, ini amat memberi implikasi iaitu sesuatu pembentukan tingkahlaku itu perlu dibentuk dan dibimbing. Bagi menghasilkan kesan yang lebih positif dan bermakna, ia perlu dibimbing dan diaturkan secara lebih sistematik dan konsisten. Manakala tahap konsistensi yang tidak dipelihara sudah pasti akan menjejaskan atau menggagalkan matlamat sesuatu perbuatan atau tingkahlaku yang diingini. Konsistensi merupakan faktor penting yamg menjamin kejayaan sesuatu amalan atau tingkahlaku yang diingini.
Di samping istiqamah dan konsistensi, faktor ganjaran turut memainkan peranan penting dalam membentuk tingkahlaku dan amalan manusia di sepanjang Ramadhan. Terdapat pelbagai hikmah dan ganjaran dalam bulan ini yang tidak tercapai oleh mata kasar. Ia bermula dengan kehadirannya dipenuhi rahmah, diiringi keampunan dan diakhiri dengan kebebasan dari kesengsaraan serta kemusnahan oleh api neraka, di samping ganjaran malam Al Qadr. Ganjaran pahala yang amat besar, walaupun tidak dapat dilihat oleh mata kasar, namun kepercayaan terhadapnya adalah berasaskan keimanan, dan bukan kepercayaan delusi atau fantasi, tetapi berdasarkan kepada nas dan dalil. Memupuk keimanan terhadap ganjaran spiritual seperti ini turut membantu dalam membentuk sikap, mentaliti dan tingkahlaku seseorang muslim dan ia mendorong kepada lahirnya amalan serta tingkahlaku yang baik, positif dan harmoni. Di samping ganjaran spiritual, terdapat pelbagai ganjaran lain seperti kesan baik amalan berpuasa terhadap sistem diet dan tubuh badan, meningkatkan kesihatan fizikal dan ketahanan mental serta emosi, di samping ganjaran positif terhadap aspek sosial dan meningkatkan silaturrahim individu dan kelompok.
Bagaimana faktor istaqamah dan kelebihan ganjaran dapat membantu membentuk gaya hidup murni dan sejahtera menjelang Aidilfitri? Ketakwaan yang telah dibentuk sepanjang Ramadhan perlu dipupuk dan dipelihara sehinggalah munculnya Syawal dan untuk hari-hari seterusnya. Ia memerlukan sikap dan komitmen yang tinggi untuk beristaqamah dalam mengekalkan tahap ketakwaan yang dimiliki yang akhirnya diserlahkan di dalam akhlak dan sahsiah serta ketrampilan diri dan tingkahlaku. Sikap istiqamah dalam ketakwaan dan pelbagai ganjaran lain yang diperolehi sepanjang Ramadhan perlu dikekalkan ketika menyambut Aidilfitri. Ia dapat dicapai dengan menjauhkan diri dari sebarang amalan dan aktiviti yang menjurus kepada kemungkaran. Teruskan sikap bersederhana dan tidak membazir, makan secara ala kadar dan tidak berlebihan, perbanyakkan amalan yang menjurus kepada sikap persaudaraan dan bermaafan serta lain-lain.